Assalamualaikum Dato’ seri.
Tujuan saya
 menulis surat ini adalah sebagai seorang anak Malaysia yang ingin 
negaranya membangun dan mengurangkan kemiskinan di negara sendiri. Beberapa isu ingin saya ketengahkan kepada Dato’ Seri dan saya berharap 
apa yang saya perkatakan ini memberi idea dan impak kepada semua rakyat 
Malaysia. Saya menulis surat ini adalah atas sifat keberanian dalam diri saya
 dimana saya ingin menjadikan Malaysia ini sebuah Negara Membangun Pesat
 bukan Negara Yang Sedang Membangun.
Sejak akhir-akhir ini isu minyak 
diperkatakan. Ada yang mengatakan negara-negara jiran kita lebih mahal 
minyak jika dibandingkan di Malaysia. Ya. Saya setuju tentang kenyataan 
itu tetapi idea untuk menaikkan harga minyak adalah sesuatu yang memang 
terang lagi bersuluh bukan idea yang bijak. Jika hari ini kerajaan telah
 menaikkan harga minyak sebanyak 20 sen, ia bukan sekadar memberi impak 
kepada golongan muda sahaja tetapi juga golongan miskin dan juga seluruh
 rakyat Malaysia. Hari pertama harga minyak naik, food court ditempat 
kerja saya menaikkan harta roti sebanyak 30 sen. Lihat! Impak terhadap 
kenaikan minyak. Tetapi jika satu hari nanti harga minyak turun walaupun
 sebanyak 50 sen sekalipun, harga roti yang naik 30 sen ketika harga 
minyak naik akan kekal sama dan tiada pengurangan. Mungkin ianya kecil 
pada mata orang-orang yang kaya nilai 20 sen itu tetapi ia cukup 
berharga kepada kami yang baru sahaja memulakan kehidupan.
Perjalanan hidup saya masih jauh. Umur 
baru 27 tahun. Belum berkahwin. Tetapi saya dah rasakan bebanan yang saya
 akan hadapi untuk 10 tahun akan datang. Bagaimana pula sahabat-sahabat 
saya yang sebaya dengan saya, yang telah berumahtangga?  Pasti mereka 
lebih terbeban akibat krisis kenaikan harga minyak. Boleh dikatakan 
golongan muda belia ini sangat diperlukan bagi menjamin kesejahteraan 
Negara pada masa akan datang, tetapi saya tidak nampak bagaimana kami 
mampu memajukan Negara sedangkan saya sendiri rasa ianya satu penindasan
 ke atas kami. Apa yang dikatakan penindasan?
Mengenai BR1M. Pada mereka yang 
diberikan BR1M, pasti mereka akan gembira. Kenaikan BR1M telah memberi 
impak positif yang besar kepada kerajaan kerana kerajaan telah 
melaksanakan sebahagian tanggungjawab untuk membantu rakyat, tetapi pada
 masa yang sama kenaikan harga memberi impak negatif yang lebih besar 
kepada seluruh rakyat Malaysia baik yang menerima BR1M atau tidak. 
Mengapa tidak bajet BR1M itu digunakan bagi memberi subsidi minyak?
Kerajaan mengatakan bahawa pemberian 
BR1M kepada rakyat bagi mengurangkan bebanan terhadap mereka yang 
berpendapatan rendah. Tetapi saya tidak nampak semua itu. Seperti saya 
katakan tadi, apabila harga minyak melambung, maka harga barang juga 
turut melambung. Jadi pemberian itu tidak memberi makna apa-apa terhadap
 rakyat. Ia umpama buruk siku. Lepas bagi, ambil balik.