Thursday, September 26, 2013

Bekas MB Kedah, Azizan Razak meninggal dunia


Bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Razak (gambar) meninggal dunia kira-kira jam 11.10 pagi ini di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada umur 69 tahun selepas menghadapi komplikasi jantung sejak dua hari lalu.

Bekas Setiausaha Akhbarnya, Helmi Khalid mengesahkan kematian Azizan kepada The Malaysian Insider pagi ini. "Ye, Ustaz sudah meninggal kira-kira lima minit lalu di hospital," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Jenazah beliau akan disembahyangkan di Kompleks PAS kedah, Pokok Sena dan akan dikebumikan di Muassasah Darul Ulum selepas solat Asar nanti.
Sejak dua hari lalu, Azizan berada dalam keadaan kritikal apabila kadang-kadang jantungnya berhenti berfungsi dan terpaksa digunakan alat bantuan untuk berfungsi semula.


Pada 9 Mei lalu, selepas pilihan raya umum ke -13, Azizan menjalani pembedahan untuk memotong untuk kedua-dua belah kakinya di Hospital Pulau Pinang akibat kencing manis.  Beliau kemudiannya dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah pada 4 Ogos selepas keadaannya agak stabil.

Azizan meninggalkan dua isteri iaitu Puan Sri Faikah Syeikh Hamzah dan Shamsiah Shafie serta lapan anak. Azizan sebelum ini adalah Pesuruhjaya PAS Kedah sebelum diambil alih oleh Datuk Mahfuz Omar.

Beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah pada 9 Mac 2008 selepas PAS dan rakannya dalam Pakatan Rakyat, PKR dan DAP menang majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.

Namun kerajaan Kedah yang dipimpinnya tumbang dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei lalu apabila BN berjaya menang dengan majoriti di DUN Kedah. Dua hari selepas itu, Azizan dimasukkan ke hospital dan menjalankan pembedahan pada kakinya.  Pada PRU13, Azizan menang di kerusi DUN Sungai Limau menewaskan calon BN, Mohd Fazilah Mohd Ali dan dua calon bebas, Sobri Ahmad dan Abdullah Hashim.

Sebelum menyertai politik sepenuh masa, Azizan adalah pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang perundangan Islam dan beliau pernah menjadi pensyarah pelawat di sebuah universiti di Filipina.
Ketika masih bertugas dengan UKM, Azizan pernah menjadi wakil PAS dalam Majlis Perunding Ekonomi Negara (MAPEN) dan menghasilkan satu kertas dasar yang penting untuk badan perunding yang dibentuk kerajaan pada 1989.
Sejak itu nama beliau mula bersinar dalam PAS. Azizan kemudiannya menyertai Lembaga Pengarah Harakah, organisasi media PAS dan seterusnya menjadi Pengarah Urusan Harakah bagi menggantikan rakannya, Dr Sanusi Daeng Mariok yang menang pilihan raya umum 1990 di kerusi Parlimen Rantau Panjang.

Azizan melepaskan jawatan itu pada tahun 1995 apabila menjadi wakil rakyat selepas menyertai pilihan raya umum pada tahun itu dan menang. Azizan terus menjadi Adun apabila menang lagi pada tahun 1999 dan juga 2004 dan seterusnya menang lagi pada pilihan raya umum 2008 sebelum dilantik menjadi Menteri Besar. - 26 September, 2013.

sumber - yahoo

No comments: