Monday, September 30, 2013

Bekas pengiring anggap Azizan seperti bapa

NOOR FAIZAL GHAZALI
30 September 2013

Bekas pengiring anggap Azizan seperti bapa
Shahril memimpin tangan Ustaz Azizan
ketika melaksanakan tugasnya
sebagai pengiring peribadi
Allahyarham bekas Menteri Besar Kedah itu.

ALOR SETAR - Kesederhanaan cara hidup bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak banyak memberi pengajaran dan pengalaman kepada bekas pengiring peribadinya, Koperal Shahril Rizal Ismail, 33.

Bahkan beliau turut menganggap Azizan seperti bapanya sendiri.

Menceritakan pengalaman ke sana ke mari bekerja dengan pemimpin itu yang lebih mesra dikenali sebagai Ustaz Azizan, Shahril berkata, pemikiran Ustaz Azizan dalam sesuatu perkara sukar untuk dibaca dan dijangka.

Menurutnya, keperibadian Ustaz Azizan yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Kedah itu, akan menyentuh hati sesiapa sahaja terutama bagi mereka yang baru kenal dan rapat dengan kehidupannya.



“Walaupun sebagai menteri besar, kehidupan Ustaz Azizan adalah biasa dan mudah dari aspek keperibadiannya. Makan-minum, pakai, bahkan tidurnya juga sekadar berbaring di atas sofa.

“Kalau hari tak ada tugasan rasmi, ustaz akan habiskan masa duduk di atas sofa di rumahnya. Baca buku, kitab, surat khabar atau menonton televisyen, jika ada kawan-kawan mahu berjumpa pun ustaz lebih suka orang datang ke rumah,” katanya ketika diminta menyingkap kembali nostalgia bersama Ustaz Azizan.

Shahril berkata, secara tidak langsung banyak aspek kehidupan dapat dipelajarinya di sebalik perwatakan Ustaz Azizan yang tegas malah dikatakan agak garang.

Menurut Shahril, Ustaz Azizan memiliki ego tersendiri tetapi sikapnya itu akan membuatkan seseorang berasa malu terhadap beliau.

“Dia kalau marah orang, marah sungguh...tapi bijak kawal emosi. Misalnya dia marah orang lain di dalam pejabat, saya di luar yang dengar sudah kecut perut...tapi bila keluar dia tegur saya biasa saja, tak nampak macam orang baru lepas marah.

“Ustaz lain daripada orang lain...fikiran dan tindakan dia sukar untuk saya jangka walaupun ke hulur ke hilir bersama. Arwah selalu bagi tahu saya, 'hangpa takleh baca kepala otak aku haih',” katanya.

Tambah Shahril lagi, walaupun Ustaz Azizan seorang yang garang tetapi beliau pandai ambil hati orang.

“Saya sendiri hairan, kalau orang lain marah pada kita...pasti kita tak mahu dekat lagi dengan orang itu. Tapi dengan ustaz tak begitu... walaupun dia marah tapi kita tak rasa nak larikan diri... rasa semakin nak dekat lagi.

“Saya akui hubungan kami sangat rapat dan saya rasa sudah jalankan tugas saya sebaik mungkin. Selama kira-kira lima tahun ustaz jadi Menteri Besar, saya adalah orang yang paling rapat dengan arwah,” akhirinya.

sumber - sinar

JOM BELAJAR KOMPUTER CARA MUDAH

No comments: