Assalamualaikum Dato’ seri.
Tujuan saya
menulis surat ini adalah sebagai seorang anak Malaysia yang ingin
negaranya membangun dan mengurangkan kemiskinan di negara sendiri. Beberapa isu ingin saya ketengahkan kepada Dato’ Seri dan saya berharap
apa yang saya perkatakan ini memberi idea dan impak kepada semua rakyat
Malaysia. Saya menulis surat ini adalah atas sifat keberanian dalam diri saya
dimana saya ingin menjadikan Malaysia ini sebuah Negara Membangun Pesat
bukan Negara Yang Sedang Membangun.
Sejak akhir-akhir ini isu minyak
diperkatakan. Ada yang mengatakan negara-negara jiran kita lebih mahal
minyak jika dibandingkan di Malaysia. Ya. Saya setuju tentang kenyataan
itu tetapi idea untuk menaikkan harga minyak adalah sesuatu yang memang
terang lagi bersuluh bukan idea yang bijak. Jika hari ini kerajaan telah
menaikkan harga minyak sebanyak 20 sen, ia bukan sekadar memberi impak
kepada golongan muda sahaja tetapi juga golongan miskin dan juga seluruh
rakyat Malaysia. Hari pertama harga minyak naik, food court ditempat
kerja saya menaikkan harta roti sebanyak 30 sen. Lihat! Impak terhadap
kenaikan minyak. Tetapi jika satu hari nanti harga minyak turun walaupun
sebanyak 50 sen sekalipun, harga roti yang naik 30 sen ketika harga
minyak naik akan kekal sama dan tiada pengurangan. Mungkin ianya kecil
pada mata orang-orang yang kaya nilai 20 sen itu tetapi ia cukup
berharga kepada kami yang baru sahaja memulakan kehidupan.
Perjalanan hidup saya masih jauh. Umur
baru 27 tahun. Belum berkahwin. Tetapi saya dah rasakan bebanan yang saya
akan hadapi untuk 10 tahun akan datang. Bagaimana pula sahabat-sahabat
saya yang sebaya dengan saya, yang telah berumahtangga? Pasti mereka
lebih terbeban akibat krisis kenaikan harga minyak. Boleh dikatakan
golongan muda belia ini sangat diperlukan bagi menjamin kesejahteraan
Negara pada masa akan datang, tetapi saya tidak nampak bagaimana kami
mampu memajukan Negara sedangkan saya sendiri rasa ianya satu penindasan
ke atas kami. Apa yang dikatakan penindasan?
Mengenai BR1M. Pada mereka yang
diberikan BR1M, pasti mereka akan gembira. Kenaikan BR1M telah memberi
impak positif yang besar kepada kerajaan kerana kerajaan telah
melaksanakan sebahagian tanggungjawab untuk membantu rakyat, tetapi pada
masa yang sama kenaikan harga memberi impak negatif yang lebih besar
kepada seluruh rakyat Malaysia baik yang menerima BR1M atau tidak.
Mengapa tidak bajet BR1M itu digunakan bagi memberi subsidi minyak?
Kerajaan mengatakan bahawa pemberian
BR1M kepada rakyat bagi mengurangkan bebanan terhadap mereka yang
berpendapatan rendah. Tetapi saya tidak nampak semua itu. Seperti saya
katakan tadi, apabila harga minyak melambung, maka harga barang juga
turut melambung. Jadi pemberian itu tidak memberi makna apa-apa terhadap
rakyat. Ia umpama buruk siku. Lepas bagi, ambil balik.
Dato Seri,
Kadang-kadang saya terfikir, apakah keistimewaan saya sebagai rakyat
Malaysia? Adakah hanya sekadar penyumbang ekonomi negara tanpa mendapat
sebarang kebaikan daripada negara sendiri? Gaji saya di dalam golongan
middle income (RM3,000 – RM5,000). Saya tidak layak menerima BR1M malah
saya juga di dalam kategori pembayar tax kepada kerajaan. Golongan
middle income pada hari ini masih sukar untuk membeli rumah kerana kos
sara hidup yang tinggi. Apakah keistimewaan kami yang mana suatu hari
nanti bakal menerajui negara sendiri?
Seterusnya pula, Boleh dikatakan
golongan lepasan Ijazah yang belum berkahwin, gaji permulaan bermula
RM2200. Maka mereka tidak layak untuk menerima BR1M. Syarat untuk
menerima BR1M bagi individu adalah bawah RM2000. Manakala bagi mereka
yang telah berkahwin dibawah RM3000. Walaupun gaji mereka Bawah RM3000
dan layak untuk menerima BR1M, ia masih tidak mencukupi kerana mereka
ada tanggungan yang perlu ditanggung bukan setakat anak isteri tetapi
juga pinjaman pembiayaan pelajaran. Untuk memulakan hidup, saya pasti
Dato’ Seri pun tahu bagaimana gigihnya seseorang untuk menanggung
keluarga.
Beban atas kenaikan minyak amat dirasai pada golongan kami.
- Gaji kasar : RM2300 (fresh graduate)
- Gaji bersih : RM2032 (masih tidak layak menerima BR1M)
- Kereta : RM 400 (Kawasan yang sukar mendapatkan public transport seperti di kawasan Damansara, maka kami memerlukan kereta)
- Tol: RM1.60 x 2 kali sehari : RM 3.20 x 23 hari = RM73.60 (melalui LDP, masih tidak menerima 20% rebate touch n go)
- Parking : 23 hari x RM5 = RM115
- Minyak : RM 12 x 23 hari = RM230 (dari Taman Melati ke Damansara dan untuk ke kerja sahaja)
- Sewa : RM 200 (paling murah di Kuala Lumpur untuk satu bilik)
- PTPTN : RM150 (minimum)
- Makan untuk sebulan = RM 450 (sehari RM15)
- Ibu Ayah = RM200
- Baki : RM2032 – RM400 – RM73.60 – RM115 – RM230 – RM200 – RM150 – RM450 – RM200
- TOTAL BAKI : RM213.40
Ini apa yang pernah saya lalui. Tak dinafikan ada juga beberapa bulan saya tidak dapat membayar PTPTN apabila dalam keadaan yang terdesak seperti memperbaharui roadtax dan insurans kereta dan apabila hari Raya menjelma. Dua keadaan yang perlu dilalui yang memerlukan duit tambahan.
Apabila kita melihat baki bulanan yang
sebanyak RM213.40, maka pembelian rumah untuk kami memang jauh sekali.
Cuba Dato’ Seri lihat harga rumah pada hari ini. Di Taman Melati,
Setapak harga rumah bagi 660 sqf adalah RM150,000 dan interest rate
sebanyak 4% untuk 30 tahun,maka setiap bulan perlu membayar RM717.
Bagaimana golongan belia pada hari ini mahu memangkin ekonomi masa
hadapan? Sedangkan perlaburan terbaik datangnya daripada Pelaburan
Hartanah.
Saya telah kira RM213 hanya mampu
membeli rumah berharga RM40,000 dengan interest rate sebanyak 4% untuk
30 tahun. Bagaimana kami mampu membantu menjana ekonomi Negara sedangkan
gaji kami hanya mampu membayar rumah RM40,000 sahaja? Dan dimanakah
rumah yang berharga RM40,000 ini? Di kawasan pedalaman yang memang tidak
boleh untuk membuat pelaburan. Kita perlu melihat ke hadapan. 10 tahun
akan datang, kami golongan belia bakal menerajui Malaysia. Tetapi ianya
tak akan berjaya jika pihak atasan tidak memandang idea dan mendengar
suara kami.
Seterusnya lagi, berkaitan tentang gaji
lepasan Ijazah dan diploma. Boleh dikatakan kebanyakan syarikat swasta
tidak mahu membayar gaji mengikut qualification yang kami ada. Mereka
menganggap kami lepasan ijazah sama seperti lepasan SPM. Gaji yang
ditawarkan tidak sepadan dengan gaji yang sepatutnya. Alhamdulillah,
saya bekerja di sektor GLC dan gaji yang saya perolehi dianggap
memuaskan. Tetapi bagaimana rakan-rakan saya dan belia lain pula? Nasib
mereka tidak seperti saya. Saya mencadangkan Dato’ Seri melihat
bagaimana pekerja di US. Mungkin US telah maju sekarang ni. Kita buat
perbandingan di negara Australia menerima gaji bulanan bagi lepasan
ijazah. Sangat berbeza jika dibandingkan di negara kita.
Seterusnya, mengenai status penjawat
awam mahupun swasta. Ini masalah yang besar kami hadapi. Kebanyakan
syarikat-syarikat baik GLC mahupun Semi- Government mahupun swasta,
mereka akan menetapkan setahun kontrak dan selepas itu diserap menjadi
penjawat tetap dan ada juga sesetengah syarikat langsung tidak
menjadikan penjawat tetap malah akan kekal sebagai penjawat kontrak. Apa
masalah yang ingin saya ketengahkan ini adalah berkaitan dengan
pinjaman perumahan yang amat sukar. Walaupun sebelum ini telah lama
bekerja tetap dan selepas itu mendapat tawaran lebih baik tetapi ianya
kontrak, apabila membuat pinjaman perumahan, ia akan ditolak atas alasan
pekerja kontrak. Maka harga rumah semakin hari semakin meningkat. Jika
ingin menunggu setahun kemudian setelah disahkan penjawat tetap, harga
rumah itu juga telah melambung tinggi dan kami tidak dapat membelinya.
Ini masalah yang saya hadapi sekarang ini.
Saya sebagai seorang rakyat Malaysia dan
juga sebagai seorang yang berpegang kepada pucuk pimpinan Barisan
Nasional, saya merayu agar Dato’ Seri dapat memikirkan masalah yang kami
hadapi sekarang ini. Sebagai pemimpin disegani di seluruh dunia, saya
pasti Dato’ Seri mampu mengubah dan memperbetulkan apa yang dirasakan
membebankan kami.
Terima kasih
Ikhlas,Siti Hajar binti Aladin
Bantu Warga OKU dengan mengiklankan Produkatau Perniagaan anda di BLOG ini - KLIK GAMBAR |
No comments:
Post a Comment