Oleh Muhamad Mat Yakim
"ASSALAMUALAIKUM," laung
seorang anak muda sambil tertinjau-tinjau di sisi bangunan pinggir
Terusan Wan Mat Saman yang selari dengan Jalan Alor Setar - Sungai
Petani, pada suatu pagi dua tahun lalu.
Seketika kemudian,
kedengaran suara salam dijawab dari belakang bangunan. Anak muda
bertubuh tinggi, berambut lebat itu segera mencari arah datangnya suara.
Tiba
di sana, dilihat sekumpulan empat lelaki agak baya sedang bersembang di
satu ruang yang pintunya terbuka. Seorang daripada mereka - yang paling
tua - berbaring di pangkin.
“Saya Rizal, skuad Sinar (Harian)
baru di kawasan Yan,” kata anak muda itu dengan senyuman seperti
dipaksa. Dia dipersilakan masuk.
Lelaki yang berbaring di pangkin bangun. Setelah berbasa basi untuk seketika, lelaki itu bertanya: “Hang tau dak saya ni sapa?”
“Minta maaf pakcik, saya tak tau...,” jawab si anak muda, jujur.
“Tak pa, hang boleh tanya depa ni,” balas lelaki itu yang berkain pelikat dengan baju pagoda.
Barang
kali kerana kasihan kepada si anak muda, seorang lelaki lain kemudian
berkata: “Inilah Ustaz Azizan, Menteri Besaq Kedah.”
Anak muda itu hilang kata-kata! Dia seperti tidak percaya.
“Saya
bukan tak kenal MB Kedah, tapi hari tu dia nampak lain sangat. Dengan
baju pagoda, kain pelikat, tak pakai cermin mata, kopiah pun tak
pakai... itu yang saya panggil dia Pakcik,” kata Rizal mengimbas
peristiwa itu kepada saya beberapa minggu kemudian.
Ya, mungkin
ramai yang tidak tahu, Ustaz Azizan sejak dilantik menteri besar, tidak
pernah menghuni Seri Mentaloon di Alor Setar. Kediaman rasmi MB Kedah
itu hanya diguna untuk acara rasmi.
Markas Pas Kawasan Jerai, rumah Ustaz Azizan di bangunan ini.
Dia
masih tinggal di rumah lamanya di bahagian belakang bangunan Markas Pas
Jerai di Batu 15, Padang Lumat, dekat Guar Chempedak itu selain sebuah
lagi rumah di Jalan Sultanah, Alor Setar yang dibeli daripada keluarga
mertuanya.
Walaupun sudah bergelar MB, Ustaz Azizan masih mengekalkan gaya hidup biasa.
Setiausaha
akhbarnya, Helmi pernah menceritakan, Azizan hingga sekarang jika mahu
beli seluar, baju, tempatnya adalah sebuah kedai di Pekan Simpang Empat
Kangkong.
Kedai Pakaian Timor di Pekan Simpang Empat Kangkong yang jadi pilihan Ustaz Azizan.
“Dia
selalu suruh aku pi kedai tu, Kedai Timor. Kata dia, baju, seluaq di
kedai tu murah-murah. Kita sendiri tak sanggup pakai yang tak dak brand
macam tu,” kata Helmi. Difahamkan, kebanyakan baju yang dipakainya
berharga tidak lebih RM20 sehelai.
Selain Kedai Timor, Azizan juga biasa beli pakaian di sebuah kedai India Muslim di Lebuh Chowrasta di Pulau Pinang.
“Satu
hari, mamak kedai tu mungkin sebab baru perasan tengok muka Ustaz di
TV, dia kata, Haji, ini hari saya tak mau jual lagi pada Haji. Ustaz
tanya, sebab apa? Dia kata, sekarang Haji sudah jadi menteri, orang
besaq. Elok pakai baju, seluaq yang tempah, bukan yang dia jual,”
katanya.
Ustaz Azizan tetap Ustaz Azizan.
Tidak lama dulu,
saya dijemput hadir kenduri kahwin anaknya di Kampung Teras Jernang,
Bangi. Lokasi kenduri sebuah rumah kampung tidak jauh dari kampus UKM.
Ketika bersalam, Ustaz Azizan berpesan, “mai makan kenuri sudah naa, jang dok buat berita buh dalam surat habaq.”
Selepas makan, saya bertanya kepada setiausaha politiknya, Sanusi, apa sebab Ustaz tak buat kenduri di Alor Setar?
Jawab
Sanusi: “Ini kenduri kahwin anak yang kedua dia buat lepas jadi MB.
Kali pertama di Kedah. Belanja terlalu tinggi (sebab nak kena sedia
hidangan banquet). Untuk tampung kos, Ustaz terpaksa pinjam dari
beberapa orang exco RM20,000 seorang.
“Kali ni dia tak sanggup
nak meminjam lagi, sebab itu dia buat di sini. Di sini tak perlu nak
jemput orang-orang besar sebab kenduri kampung saja,” katanya.
Ujar Sanusi lagi, Ustaz Azizan cukup menjaga integriti dan dia tidak mahu ada pihak ambil kesempatan menaja majlis peribadinya.
“Sebagai
menteri besar, apa yang dia buat ini memang ambik risiko. Mungkin ada
yang berkecil hati apabila dia tidak buat kenduri kahwin anak di Kedah.
Tetapi inilah prinsip Ustaz yang tidak mahu timbul fitnah dalam
pentadbirannya,” katanya.
Cerita mengenai Ustaz Azizan
mengingatkan saya kepada Datuk Seri Syed Razak Syed Zain, MB Kedah
kelapan yang memerintah antara 1999 hingga 2005.
Syed Razak adalah contoh pemimpin yang sangat ‘down to earth’.
Sudah
banyak kali saya lihat sendiri cara Syed Razak berdepan dengan rakyat
yang mendorong saya buat kesimpulan, dia pemimpin yang sangat baik,
bukan buat-buat baik!
Ketika hadir kenduri di sebuah kampung di
Kubang Rotan, belum pun kami yang lain sempat keluar dari kereta, dia
awal-awal saya lihat sudah menyeberang titi usang untuk ke rumah kenduri
di seberang tali air.
Tiba di rumah itu, dia cuba bersalam
dengan 100 peratus orang yang ada, tidak kira siapa pun mereka hingga
ditegur oleh seorang lelaki, “Datuk tok sah (tak usahlah) dok mai la
bersalam dengan kami ni, Datuk tu menteri, kami ni gedohok (pembantu
kenduri) saja. Datuk tok sah mai tang ni, sat gi kotoq habih seluaq
kasut!”
Lalu dijawab oleh Syed Razak: “Hangpa jangan dok kata lagu tu! Tak dak hangpa, tak dak kenduri.”
Selepas
habis bersalam, dia melangkah masuk ke dalam rumah kenduri tanpa
sebarang rasa kekok. Gayanya menunjukkan dia sudah terlalu biasa dengan
tuan rumah, orang kampung dan juga keadaan di rumah itu.
Rupa-rupanya Syed Razak mencari seseorang - tuan rumah - yang uzur dan terbaring di katil berhampiran dapur.
Melihat menteri besar datang, lelaki warga emas yang membahasakan dirinya sebagai Pak Long cuba untuk bangun.
Ketika
tangannya diurut-urut oleh sang menteri, Pak Long berkata: “Pak Long ni
sabit (bersebab) tak mengaji (bersekolah tinggi). Kalau tidak, Pak Long
tak biaq kat dia ni (Syed Razak) jadi menteri besaq, Pak Long pun nak
jadi (menteri besar) jugak.”
Kata-kata Pak Long dibalas oleh Syed
Razak: “Orang tua ni, dok terkedang (terbaring) atas katil pun nak
bercakap politik lagi. Sudah-sudahlah tu ...”
Kami semua tertawa.
Apa yang dapat anda simpulkan jika anda berada di tempat saya?
Ini satu daripada banyak peristiwa menyentuh hati saya mengenai kemesraan Syed Razak.
Rakyat
Kedah kini di persimpangan sama ada mahu mengekalkan kerajaan sekarang
dengan Ustaz Azizan juga dikekalkan sebagai menteri besar, ataupun ini
kali mahu tukar kepada menteri besar yang baru pula.
Soalnya,
jika mereka mahu tukar kepada BN, apakah Datuk Mukhriz Mahathir sedia
untuk jadi pemimpin yang ‘down to earth’ seperti Syed Razak?
SUMBER -TRANUNG
Sinar Harian
30 April 2013
KLIK UNTUK SUMBANGAN PENGENDALIAN BLOK YANG DIKENDALIKAN OLEH WARGA OKU
No comments:
Post a Comment