Wednesday, December 25, 2013

I'TIBAR KEPIMPINAN ISLAM


MADRASATUL ISLAMIAH JALAN KUARI
Khutbah Jumaat : 20.12..2013 / 17 Safar 1435
Penyampai : Ustaz Husnul Yaqin Bin Jalius ( Imam 1 )
Bilal : En Ismail Bin Abdul Ghani
Tajuk : I'tibar Kepimpinan Islam


الَّذِى خَلقَ الموْتَ وَالحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أيُّكُمْ أحْسَنُ عَمَلا، َأَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَـهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللهَ أُوصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ


Saudara-saudaraku sidang jumaat yang dikasihi,


Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah S.W.T dengan tunduk dan patuh kepada segala titah perintahNya, dan dalam masa yang sama kita meninggalkan setiap larangan dan tegahanNya. Sesungguhnya kejayaan hidup sama ada di dunia mahupun di akhirat adalah ditentukan oleh keimanan dan ketaqwaan kita kepadaNya.

Allah S.W.T berfirman :


(al-Hajj 41)


Yang bermaksud : Iaitu mereka yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta mengeluarkan zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. (al-Hajj 41)

Saudara-saudaraku sidang jumaat yang dikasihi,


Pada suatu hari ketika Khalifah Harun al-Rasyid menaiki Bukit Safa sewaktu beliau menjadi Khalifah Islam, seorang tokoh ilmuan yang terkenal pada ketika itu iaitu ‘Abdullah bin ‘Abd al-Aziz al-‘Umari telah berkata kepadanya, “Lihatlah kamu ke arah Ka’bah.” Lalu Harun al-Rasyid menjawab: “Ya, aku sedang melihat ke arah sana.” Kata ‘Abdullah lagi: “Berapakah jumlah manusia yang sedang engkau lihat?” Jawab Harun al-Rasyid: “Tiada siapa yang mampu membilangnya (kerana terlalu ramai).” 


Kata ‘Abdullah lagi: “Berapakah jumlah manusia yang seperti mereka?” Jawab Harun al-Rasyid: “Hanya Allah yang mampu menghitungnya.” Lalu kata ‘Abdullah: “Ketahuilah engkau bahawa sesungguhnya setiap mereka itu hanya akan disoal pada hari kiamat nanti tentang diri mereka sahaja, tetapi engkau akan disoal tentang dirimu dan juga tentang diri mereka semua, maka berhati-hatilah engkau tentang nasibmu di akhirat nanti.” Mendengar kata-kata ‘Abdullah itu maka terduduk lalu menangislah Khalifah Harun al-Rasyid kerana mengenangkan masa depan nasibnya di akhirat kelak.

Saudara-saudaraku sidang jumaat yang dikasihi,


Menjadi khalifah atau pemimpin bererti seseorang itu telah memikul satu bebanan atau tanggungjawab yang amat berat dan terpaksa berhadapan dengan soal jawap di hadapan Allah S.W.T di akhirat nanti, dia bukan sahaja bertanggungjawab terhadap dirinya tetapi juga akan turut disoal tentang mereka yang dipimpinnya. Ianya menimbulkan ketakutan dan rasa gerun di dalam setiap hati mereka yang menyedari betapa besarnya bebanan yang terpaksa mereka tanggung apabila mereka berkuasa. Namun bagi mereka yang tidak sedarkan diri, kedudukan dan kekuasaan adalah satu kegilaan bahkan menjadi rebutan buat mereka. Sehinggakan kadang-kadang harga diri, bahkan agama pun sanggup dipertaruhkan demi untuk mendapatkan kedudukan dan kekuasaan yang diimpikan. Ada yang melihatnya sebagai amanah Allah, namun tidak kurang pula yang melihat ianya sebagai satu kesempatan dan peluang untuk mereka mencapai kemasyhuran, kedudukan serta mengaut kekayaan sebanyak mungkin. Digunakan kekuasaan untuk memerah keringat rakyat jelata… Tidak cukup satu cukai maka diperkenalkan cukai lain untuk mereka menutup kelemahan mereka dalam memerintah..

Saudara-saudaraku sidang jumaat yang dikasihi,


Khalifah ‘Umar bin Abdul ‘Aziz, seorang pemimpin Islam yang telah berjaya melakarkan sejarahnya yang tersendiri walaupun mengikut catatan sejarahnya beliau hanya sempat memerintah selama dua tahun sahaja, tetapi beliau telah berjaya mengukir namanya dengan penuh keindahan di persada sejarah yang tetap dikenang sehingga ke hari ini. Hubungan jiwanya yang mengharapkan habuan dan balasan yang kekal di sisi Allah pada hari akhirat kelak telah menjadikan kepimpinannya penuh dengan keadilan dan mengundang rahmat dari Allah S.W.T yang mencurah-curah. Sekalipun pakaiannya hanyalah dari kain murahan, kehidupannya amatlah sederhana walaupun hidupnya dikelilingi dengan segala jenis kemewahan tetapi keadilannya tidak dapat dibeli dengan apa-apa harga sekali pun. Sejarah tidak pernah mengenangkan kemewahan harga pakaian atau kediaman seseorang khalifah atau pemimpin dengan kenangan yang indah. Bahkan dalam sejarah, sikap suka bermewah-mewah telah banyak menghasilkan sejarah hitam buat mereka. Ini kerana, sejarah indah hanya akan mengingati keadilan dan kejujuran mereka.

Saudara-saudaraku sidang jumaat yang dikasihi,


Terasa amat sebak apabila kita membaca kisah Khalifah ‘Umar bin ‘Abd ‘Aziz ketika beliau dilantik menjadi khalifah. Jelas di wajahnya perasaan sedih dan hiba walaupun pada tanggapan orang lain dia sepatutnya bergembira dengan pangkat dan kedudukan yang telah diberikan kepadanya. Ketika para pembesar negeri ternanti-nanti kemunculannya di khalayak ramai setelah beliau baru dilantik menjadi khalifah, mereka bertanya kepada anaknya, “Kenapa ayahmu belum keluar untuk bertemu dengan kami?”. Lalu jawap anaknya: “Sejak ayahku dilantik menjadi khalifah, beliau terus bersendirian bersolat dan menangis. Apabila ibuku masuk kepadanya, airmatanya bercucuran hingga ke janggutnya, dan apabila ibuku bertanya kepadanya dia berkata: “Wahai Fatimah! Aku telah dikalungkan dengan urusan umat Muhammad ini yang berbagai bangsa. Maka aku sedang memikirkan tentang nasib rakyatku yang fakir, mereka yang kelaparan, mereka yang sakit lagi menderita, orang-orang kampung yang susah, mereka yang dizalimi dan dipaksa, tawanan perang, orang tua yang uzur, mereka yang mempunyai ahli keluarga yang ramai sedangkan wangnya sedikit, dan seumpama mereka yang berada di segala tempat dan penjuru negara. Aku sedar bahawa Tuhanku akan bertanya kepadaku mengenai mereka semua pada hari kiamat kelak, tetapi aku bimbang alasanku tidak cukup kukuh untuk menjawab setiap soalan itu, lalu aku pun menangis kerana mengenangkan nasibku di akhirat nanti” 

Saudara-saudaraku sidang jumaat yang dikasihi,


Terasa kerinduan yang amat sangat untuk kita melihat dan memiliki pemimpin yang penuh dengan keikhlasan dan kejujuran seperti ini. Alangkah indahnya dunia ini jika kita dikurniakan pemimpin yang takutkan Allah serta sanggup meletakkan keadilan mengatasi segala-galanya walaupun terpaksa mengorbankan kepentingan diri mereka.


Lihatlah bagaimana sikap yang ditunjukkan oleh Khalifah ‘Umar al-Khattab ketika beliau berkuasa sebagai khalifah, lalu berlaku perselisihan antara beliau dengan seorang ya hudi yang merupakan rakyat di bawah pemerintahannya. Petikaian berlaku apabila yahu di berkenaan hendak menjualkan kudanya, lalu ‘Umar yang nampaknya berminat dengan kuda tersebut mencubanya sehingga cacat kuda ya hudi itu. Lalu ‘Umar berkata kepada yahu di itu “Carilah seseorang yang dapat menghakimi kes ini”. Yahu di itu berkata, “Aku redha dengan Shuraih al-‘Iraqi sebagai hakim”. Shuraih al-‘Iraqi adalah seorang sahabat yang bertakwa lagi bijaksana dalam penghakiman, dan apabila diangkat kes ini kepada Shuraih lalu dia berkata kepada ‘Umar yang merupakan khalifah yang berkuasa pada waktu itu, “Wahai ‘Umar, engkau telah mengambilnya dalam keadaan yang elok dan engkau bertanggungjawap ke atasnya maka hendaklah engkau pulangkannya semula dalam keadaan yang elok dan tidak cacat”. Di atas ketegasan Shuraih menegakkan keadilan sekalipun melibatkan peribadi ‘Umar maka Shuraih telah dilantik menjadi hakim besar pada ketika itu. 


Setelah mendengar beberapa kisah tentang keadilan dan juga ketelusan khalifah-khalifah Islam yang terdahulu maka tidak hairanlah mengapa umat ini amat merindui dan mencintai suasana pemerintahan mereka terutamanya Khalifah ‘Umar al-Khattab r.a. Beliau juga pernah berkata kepada Abu Musa al-‘Asy’ari sewaktu beliau dilantik menjadi Gabenor, “Wahai Abu Musa! Sesungguhnya engkau hanyalah salah seorang daripada orang ramai, melainkan Allah S.W.Tmenjadikan engkau yang paling berat menanggung beban di antara mereka”. 

Saudara-saudaraku sidang jumaat yang dikasihi,


Justeru itulah keadilan dan kesaksamaan adalah teras utama kepada pemerintahan dalam Islam. Disebabkan keadilan yang pernah ditunjukkan oleh para khalifah yang adil maka ribuan manusia menganut Islam atau paling tidak pun mereka ingin berlindung di bawah pemerintahan Islam. Namun, apabila umat Islam gagal untuk mempamerkan sistem dan perlaksanaan pemerintahan yang adil lagi saksama, maka bukan umat Islam sahaja yang tidak mahu menerima Islam, bahkan mereka yang bukan Islam pun tidak memandang hormat kepada Islam. 


Jika ada khalifah atau pemimpin yang menangis di dunia ini kerana mengenangkan nasib mereka di akhirat, maka rakyat akan tersenyum gembira disebabkan keadilan dan kasih sayang yang mereka nikmati daripada pemimpin-pemimpin mereka, dan pemimpin-pemimpin ini pula tidak akan menangis lagi di akhirat kelak. Namun, jika ada khalifah atau pemimpin yang asyik ketawa dan bergembira di dunia ini sedangkan rakyat mereka menangis menderita, maka pemimpin-pemimpin ini dibimbangi akan menangis besar di akhirat nanti. 


Yang bermaksud : Dan janganlah engkau (Wahai Muhammad) menyangka Allah itu lalai terhadap apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim, Sesungguhnya Allah hanya melambatkan balasan buat mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun dan gementar melihat keadaan yang berlaku). (dalam pada itu) mereka terburu-buru (menyahut panggilan ke padang Mahsyar) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata tidak berkelip, dan hati mereka tidak bersemangat (kerana bingung dan cemas). (Ibrahim 42-43)


بَارَكَ اللهُ لِى وَلَكُمْ بالْقُرْءَآنِ الْعَظِيْمِ, وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ, وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ, إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِى هَذَا, وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِى وَلَكُمْ, وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ, وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ, فَاسْتَغْفِرُوْهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ




~~~~~ info ~~~~ iklan ~~~~ makluman ~~~~ 









No comments: