Friday, December 20, 2013

Coretan Ustaz Hasrizal - Meyentuh Peperiksaan PMR, SPM.


CORETAN 1

Teringat kisah, semasa saya diminta mengendalikan kursus bersama calon PMR di sebuah sekolah. Kata guru, ini kumpulan paling teruk dalam sejarah sekolah. Semua D dan E. Saya teruja. Jika B atau C, itu kerja cikgu akademik. Tetapi jika D dan E, ini pemberontakan. Mesti ada sesuatu yang menarik.

Saya hadir. Cikgu minta mahu menyertai kursus. Saya tidak benarkan. Hanya saya bersama 'pelajar bermasalah' berkenaan.


Selepas berjaya meyakinkan mereka bahawa saya bukan orang upahan sekolah, perbualan jadi makin menarik.

Ringkasannya, saya bertanya kepada setiap seorang, apakah visi dan misi mereka berkaitan dengan PMR. Antara jawapan yang saya terima:

"Saya mahu buktikan dalam PMR ini bahawa tidak lulus PMR tidak semestinya bodoh!"

Wah! Teruja saya.

"Maknanya, kalau PMR straight A's, tak semestinya pandai, betul tak?" saya tanya semula.

"Betul! Betul! Saya suka ustaz ini!" kata pelajar berkenaan.

"Saya tak nak score tinggi-tinggi. Biar cukup-cukup sahaja untuk masuk sekolah ***. Sekolah ini tak best. Tak ada rugby. Saya minat rugby!" kata seorang lagi.

"Kerajaan sudah nak mansuhkan PMR, ustaz. Maknanya PMR ini tidak penting. Saya tidak mahu korbankan usia muda saya untuk benda yang tidak penting. Masa yang berlalu tidak boleh diulang kembali!" hujah seorang lagi.

Ada sekitar 20 set jawapan yang saya terima daripada mereka. Kesimpulan saya, mereka tidak bodoh. Kepandaian mereka tidak dapat ditampung dan diuruskan oleh sistem yang ada.

Tahniah kepada semua pelajar PMR yang mendapat keputusan peperiksaan kalian hari ini. Apa sahaja keputusan, kalian wajib lebih pintar dari PMR. Jangan biarkan PMR membataskan potensi semua.


Kejayaan adalah sebuah perjalanan, bukan destinasi.


CORETAN 2

"Saya harap ustaz dapat beri motivasi kepada ibu bapa calon PMR dan SPM kita agar mereka boleh tekankan lebih sedikit kepada anak-anak mereka"

Ibu bapa dikumpul di sekolah, sekolah asrama, ibu bapa datang dari jauh, untuk pastikan dapat menekan anak-anak menduduki peperiksaan.

Guru bentang statistik perbandingan keputusan PMR dan SPM tahun-tahun lalu, dan merumuskan "harap kamu tidak menghampakan sekolah tahun ini"

"Ini pelajar terbaik peperiksaan percubaan tahun ini. Walaupun beliau pendiam dan jarang bersuara atau bertanya di dalam kelas, apa sahaja yang cikgu ajar, dia faham dengan begitu baik. Contohilah dia" kata pengerusi majlis selepas mempelawa pelajar berkenaan naik ke pentas.

Beliau berjalan lesu. Bahu jatuh, tengok lantai.

"Calon-calon PRM dan SPM sila naik ke atas pentas untuk upacara ikrar, tanda memberi sepenuh diri kepada peperiksaan" pelawa guru.

Bagaimanakah saya hendak berceramah di dalam setting yang saya bantah? 

Biodata penceramah: Saya menjadi pelajar pertama di dalam sejarah sekolah, dan satu-satunya pelajar pada masa itu, mendapat 8A1 di dalam SRP 1990. Pengalaman itu diharapkan boleh menjadi bekal untuk saya 'boost' calon PMR, juga SPM mendapat keputusan sebegitu. Itu harapannya. 

Namun semua ritual itu tiada pada masa tersebut. Kami sesama pelajar belajar dengan bimbingan guru yang melebihkan sedikit kelas menjelang bulan akhir peperiksaan. Saya juga tidak mensasarkan keputusan tertentu. Hanya berusaha membuat yang terbaik. Ceramah motivasi pun tiada. Hanya nasihat ikhlas guru-guru yang kepuasannya ialah selesai mengajar kami.

Apabila keputusan keluar, saya ambil keputusan peperiksaan di tingkap kerani sekolah. Tiada banner, tiada surat khabar, hanya salam salam persahabatan dengan rakan-rakan, tahniah para guru semasa saya lalu di hadapan bilik guru, bawa keputusan balik rumah, ibu bapa senyum, kata Alhamdulillah, dan hidup diteruskan seperti biasa. Dan selepas SRP, ada banyak lagi peperiksaan lain. Manakala saya yang dapat 8A1 pada tahun 1990 itu, bukanlah insan paling berjaya di kalangan rakan-rakan saya pada hari ini, 23 tahun selepas ia berlalu.

Saya merayu kepada ibu bapa, jangan hina anak-anak anda dengan muka kecewa, apabila anak anda gagal mendapat keputusan idaman anda. Jika ibu bapa gagal menjadi benteng terakhir anak menyelamatkan diri daripada kegilaan peperiksaan di sekolah, memang wajar anak-anak melebihkan kawan-kawan berbanding ibu bapa mereka sendiri.

------

Semasa saya ke hadapan pelajar, pesan saya satu sahaja, iaitu pesanan saya kepada diri saya sendiri, "jadikan PMR dan SPM ini cita-cita kamu, bukan cita-cita ibu bapa atau guru atau pegawai pendidikan daerah atau negeri, atau menteri. Kamu bukan pekerja untuk menghasilkan A di dalam industri pendidikan"

"Bagaimana PMR dan SPM boleh kamu tukar ia menjadi impian kamu dan bukan impian orang lain?" saya hanya menyambung tips apabila pelajar mula tersenyum, berbanding muka masam semenjak Al-Fatihah jam 8 pagi tadi.

Rahmati kami ya Allah. Kasihanilah anak-anak kami.

sumber - Ustaz Hasrizal





~~~~~ info ~~~~ iklan ~~~~ makluman ~~~~ 






No comments: