Monday, November 4, 2013

Rayu bantuan untuk kesan cucu yang hilang

Siti Shafiqah

4 November 2013  -  KUANTAN- Seorang pesara tentera buntu memikirkan nasib cucu kesayangannya yang menghilangkan diri dipercayai mengikut kenalan laman sosial, sejak 28 Jun lalu.

Salleh Mohamad, 61 dari Taman Guru, Jalan Gambang, dekat sini berkata, dia bukan sahaja bimbang keselamatan cucunya, Siti Shafiqah  Abdullah, 17 tetapi turut memikirkan gadis itu bakal menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 6 November ini.

Menurutnya, kehilangan cucu kesayangan itu disedari selepas gadis tersebut tidak pulang ke rumah selepas keluar untuk mengikuti kelas tambahan di sekolahnya di Alor Akar di sini pada tarikh tersebut.


“Kami sekeluarga termasuk isteri, Noraini Abrahim, 60 ada mencarinya termasuk berikhtiar mengesannya menggunakan khidmat pengamal perubatan tradisional namun setakat ini segala usaha itu tidak banyak membantu.

“Saya buntu mencarinya apabila telefon bimbit dimatikan sejak dia menghilangkan diri manakala laman sosial facebook miliknya juga tidak aktif untuk mengetahui perkembangan terbaru,” katanya.

Dia berkata, Siti Shafiqah  keluar rumah hanya berpakaian ko-kurikulum dengan sejumlah wang perbelanjaan sekolah namun turut membawa bersama mykad dan buku bank.

“Susulan kehilangan itu, kami membuat laporan polis kali pertama di Balai Polis Kuantan pada 5 Julai 2013 dan laporan polis kedua pada 29 Oktober lalu.

“Dia (Siti Shafiqah) ada menghubungi neneknya meminta wang dan permintaan itu ditunaikan apabila sejumlah wang dimasukkan ke dalam akaun banknya beberapa kali sehingga 28 Oktober lalu namun tetap enggan memberitahu lokasi sebenar dia berada sekarang,” katanya.

Salleh berkata, cucunya itu ada memberitahu dia kini tinggal bersama satu keluarga di Taman Seri Perak, Sungai Siput, Perak namun maklumat itu tidak dapat disahkan memandangkan Siti Shafiqah enggan memberitahu alamat sebenar, nama keluarga tersebut dan maklumat lain untuk tindakan mencari.

“Saya khuatir dia  menjadi mangsa diperdaya pihak lain memandangkan Siti ada beritahu dia dipaksa oleh keluarga terbabit supaya bekerja di sebuah kedai makan namun pada masa yang sama masih meminta wang dari kami,” katanya.

Menurutnya dia kini sudah buntu untuk mengesan cucunya itu memandangkan laporan polis yang dibuat sebelum ini juga tidak ada sebarang perkembangan.

“Saya merayu kepada orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat tentang Siti supaya menghubungi kami di talian 017-9133412 dan  014-5118681 dengan segera," katanya.

sumber - Sinar Harian


KLIK UNTUK KETERANGAN

KLIK UNTUK KETERANGAN

No comments: