GAMBAR HIASAN |
(03/11/2013) - SEBAGAI ibu saya mahukan anak istimewa saya membesar sama seperti anak normal, mendapat pendidikan sewajarnya. Saya percaya dengan pendidikan, anak saya boleh berdikari dan melalui kehidupan biasa tanpa menyusahkan orang lain apabila dewasa nanti. Itu hasrat saya.
''Anak saya menghidap autisme. Saya tidak pernah bercita-cita dia menjadi budak pintar, bakal jadi jurutera, doktor, peguam atau menteri. Memadai jika dia mendapat pendidikan sama seperti dua anak saya yang normal dan anak-anak lain sebaya dengannya.'' Itu cerita Puan Nor ketika ditemui baru-baru ini.
''Malangnya sebelum anak saya menduduki peperiksaan akhir Tahun 5 baru-baru ini, saya bersama dua lagi ibu yang juga mempunyai anak dalam kelas pendidikan khas telah dipanggil oleh guru penolong kanan dan guru besar.
''Alangkah terkejutnya kami apabila diberitahu bahawa anak kami bertiga tidak layak menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun depan.
''Belum habis terkejut dengan keputusan tersebut, guru besar dan penolongnya meminta kami menulis surat kepada sekolah memberitahu bahawa kami tidak mahu anak-anak kami menduduki peperiksaan UPSR sedangkan saya mahu anak saya menduduki peperiksaan itu.
''Alasan yang diberikan jika anak kami menduduki UPSR 2014, maka kami telah menganiaya sekolah tersebut yang bakal mendapat keputusan terburuk dalam penilaian dan prestasi.
''Saya bertanya mengapa anak-anak kami tidak dibenarkan ambil UPSR? Adakah kerana mereka tidak pandai atau terlalu rendah markah dalam peperksaan lalu?
''Menurut guru penolong kanan, memang anak-anak kami lemah dalam pelajaran sambil memberi contoh yang anak saya lemah dalam Bahasa Melayu. Saya tahu anak saya lemah tetapi dia tidak gagal.
"Ditanya mengapa tidak diadakan tuisyen, penolong kanan menjawab guru-guru tidak ada masa.
''Kerana tidak berpuas hati, saya bangkitkan yang anak saya mendapat nombor 12 daripada 28 murid dalam kelasnya pada peperiksaan pertengahan tahun. Jadi adakah 16 orang murid yang lebih lemah daripada anak saya dalam pelajaran pun tidak dibenarkan mengambil UPSR?
''Saya boleh terima jika semua ibu bapa murid yang lemah dalam pelajaran dipanggil sama dalam perjumpaan tersebut tetapi masalahnya mengapa anak kami bertiga saja tidak dibenarkan menduduki UPSR sedangkan murid lain yang lebih rendah markahnya dibenarkan ambil UPSR. Adakahkah kerana mereka normal dan bukan anak autisme?
''Saya akui anak saya sukar dibimbing semasa kecil dahulu, tetapi setelah dimasukkan ke kelas khas dan dibimbing oleh Nasom (Persatuan Autisme Nasional) bermula di Jalan Raja Laut kemudian ke cawangan di Setapak, dia boleh mengikuti pelajaran dengan baik sehinggakan anak saya dimasukkan ke sekolah aliran biasa bersama anak-anak normal lain malah pernah mendapat tempat pertama dalam peperiksaan.
''Saya juga akui anak saya lemah dalam bahasa Melayu kerana di Nasom dia dididik dalam bahasa Inggeris dan masalah timbul apabila Sains dan Matematik tidak lagi diajar dalam bahasa Inggeris sehingga menjejaskan keputusan peperiksaannya dalam kedua-dua subjek itu. Tetapi jika terus dibimbing, saya yakin dia boleh menguasai bahasa Melayu, subjek BM sekali gus Sains dan Matematik.
''Jika anak saya tidak dibenarkan mengambil UPSR tahun depan maka dia tidak akan diajar oleh guru, sebaliknya dibiarkan bermain dan duduk di kelas tanpa belajar. Saya bimbang jika ini terjadi anak saya akan terbiar dan berkemungkinan kembali kepada keadaan lamanya suka bersendiri.
''Pada saya, hakikat yang anak saya dapat belajar di sekolah aliran biasa bersama kanak-kanak normal adalah satu pencapaian membanggakan. Saya berharap dia ada sijil UPSR seperti kanak-kanak lain dan seterusnya dapat melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah. Saya tidak mengharapkan dia mencapai keputusan cemerlang semua A. Tetapi jika boleh, syukur Alhamdulillah.
''Saya mahu anak saya ada kemahiran apabila besar nanti untuk kehidupannya sendiri.
''Namun cukup menyedihkan apabila guru besar lebih mementingkan prestasi sekolah daripada masa depan muridnya. Guru besar bimbang peruntukan tahunan untuk sekolah akan dikurangkan oleh Jabatan Pelajaran kalau prestasi sekolah merosot.
''Saya lebih terkejut apabila guru penolong kanan memberitahu besar kemungkinan guru besar akan ditukarkan ke sekolah lain bahkan guru-guru yang terlibat mengajar kelas tahun 6 nanti akan diberhentikan, semata-mata kerana kegagalan anak saya dalam UPSR tahun hadapan. Logikkah?
''Guru penolong kanan sarankan saya hantar surat kepada guru besar selewat-lewatnya minggu hadapan supaya anak saya tidak ambil UPSR 2014. Inilah yang membingungkan saya.
"Anak saya suka sekolah dan suka belajar. Sebagai ibu saya tak mahu anak saya kecewa apabila tidak dibenarkan mengambil UPSR seperti kawan-kawan sekelasnya yang lain.
"Akhir-akhir ini anak saya mengadu seolah-olah dipinggirkan oleh guru kelasnya. Pernah beberapa kali dia pulang ke rumah melahirkan rasa kecewa kerana tidak tahu dan tidak faham untuk buat tugasan yang diberikan oleh guru. Apabila saya tanya kenapa tak tanya cikgu, dia akan jawab cikgu tak mahu jawab bila dia tanya.
''Sebenarnya saya tidak tahu kepada siapa nak mengadu. Semakin dipendam jiwa saya jadi tak tenteram, hampa dan susah hati.
"Saya tidak mahu anak saya kecewa kerana dipinggirkan apabila masuk Tahun 6 nanti. Saya percaya guru tidak akan pedulikan dia kerana mereka tahu anak saya tidak dibenarkan mengambil UPSR, jadi mengapa buang masa ajar anak saya.'' Demikian cerita Puan Nor panjang lebar kerana tidak tahu bagaimana hendak memujuk sekolah membenarkan anak autismenya menduduki peperiksaan UPSR tahun depan.
sumber - utusan
KLIK UNTUK KETERANGAN LANJUT |
1 comment:
Salam.autisma tak bermaksud gila.Malah ada orang autisma yang berjaya.Cuba beritau cikgu tu.
Post a Comment