Friday, February 25, 2011

Rasulullah SAW dengan sebiji limau

.

"Suatu hari Rasulullah SAW didatangi oleh seorang wanita kafir. Ketika itu baginda bersama beberapa orang sahabat. Wanita itu membawa beberapa biji buah limau sebagai hadiah untuk baginda.

Cantik sungguh buahnya.Siapa yang melihat pasti teringin untuk memakannya. Baginda menerimanya dengan senyuman gembira. Hadiah itu dimakan oleh Rasulullah SAW seulas demi seulas dengan tersenyum.

Biasanya Rasulullah SAW akan makan bersama para sahabat, namun kali ini tidak. Tidak seulas pun limau itu diberikan kepada sahabat baginda. Rasulullah SAW terus memakan limau itu. Setiap ulas yang dimakan dengan senyuman, hinggalah habis semua limau itu. Kemudian wanita itu meminta diri untuk pulang, diiringi ucapan terima kasih dari baginda Rasulullah.



Sahabat-sahabat agak hairan dengan sikap Rasulullah SAW itu. Lalu merekapun bertanyakan hal itu pada Rasulullah SAW. Dengan tersenyum Rasulullah SAW menjelaskan "Tahukah kamu, sebenarnya buah limau itu terlalu masam semasa saya merasainya kali pertama. Kiranya kalian turut makan bersama, saya bimbang ada di antara kalian yang akan mengerutkan muka atau memarahi wanita tersebut. Saya bimbang hatinya akan tersinggung. Sebab tu saya habiskan semuanya."

Begitulah akhlak Rasulullah SAW. Baginda tidak akan memperkecil-kecilkan pemberian seseorang biarpun benda yang tidak baik, apatahlagi dari orang yang bukan Islam pula.

Wanita kafir itu pulang dengan hati yang kecewa. Mengapa? Sebenarnya dia bertujuan ingin mempermain-mainkan Rasulullah SAW dan para sahabat baginda dengan hadiah limau masam itu. Malangnya tidak berjaya.

Rancangannya di'tewas'kan oleh akhlak mulia Rasulullah SAW.

Allah berfirman dalam surah Al-Ahzab, ayat 21
Maksudnya “Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu contoh teladan yang baik untuk kamu”.

Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Sayyidatina Aishah ada dinyatakan
”Adalah akhlaknya (Rasulullah SAW) sebagai akhlak al-Quran” (hadith riwayat Muslim)

Muga keperibadian Rasulullah ini dapat menjadi contoh ikutan bagi kita semua.




~~~~~ info ~~~~ iklan ~~~~ makluman ~~~~  

No comments: