Thursday, May 15, 2014

ADA ANJING ! MACAM MANA NAK DAKWAH ?

CATATAN TEAM DOA - DA'WAH ORANG ASILI
SUKARELAWAN MAIS

KLIK -UNTUK BESARKAN GAMBAR

Baru-baru ini ada orang bertanya, "saya minat nak jadi sukarelawan, tapi macam mana dengan anjing? nanti terpijak tahi dia macam mana?"

Ya betul dan itulah hakikatnya yang perlu dihadapi.  Anjing menjadi haiwan yang sangat rapat dengan penduduk warga orang asli.  Jadi, apakah tindakan kita?


Saya copy cerita pendek ini sebelum saya melanjutkannya...

Ceritanya begini...


Satu perkampungan orang asli telah dimasuki pendakwah Islam, menyebabkan akhirnya mereka memeluk agama Islam. Memandangkan mereka baru memeluk Islam, ramai dari kalangan mereka yang tidak mengetahui tentang hukum hakam dan pantang larang dalam Islam.

Satu hari, satu lawatan telah dilakukan ke kampung orang asli tersebut. Dalam lawatan itu, seorang pelawat merasa pelik bila melihat kehidupan orang asli di kampung tersebut yang didakwa bahawa semua mereka sudah memeluk Islam, tetapi masih lagi berpelukkan dengan anjing dan ada pula anjing menjilat kaki dan tangan mereka.

maka bertanyalah salah seorang pelawat tersebut ;

“kamu sudah memeluk islam kan?” soalnya kepada salah seorang orang asli disitu.

“ya.. betul...” jawab orang asli dengan penuh yakin

“Kalau kamu sudah memeluk islam, mengapa kamu biarkan anjing itu jilat kaki kamu?” tanya pelawat lagi 

“anjing itu bukannya tau pun saya sudah memeluk islam...” jawabnya dengan selamber

Sekian....

di petik dari -al-Bakistani-

Ya, memang agak lucu cerita di atas tersebut.  Namun ada sesuatu yang perlu difikirkan.

Hidup dan budaya mereka yang hidup dengan haiwan-haiwan ini, telah menjadikan mereka mesra dan menyayangi haiwan-haiwan ini.  Oleh itu kita sebagai orang yang ingin masuk ke kampung mereka dan menjalankan kerja dakwah kepada mereka perlu peka dan sensitif dengan perkara ini.

Oleh sebab itu bila kita masuk ke kampung orang asli, kita tidak boleh sewenang-wenangnya membaling atau menghalau anjing-anjing yang berada di sekitar dengan cara yang kasar. Ini boleh menimbulkan rasa tidak senang dan kemarahan dikalangan mereka kerana mereka sangat menyayangi haiwan tersebut.

Jadi bagaimana kita boleh menjalankan kerja dakwah kepada mereka jika sedari awal lagi mereka telah membenci kita ?

Kita hanya perlu bersikap berhati-hati dan cuba sebolehnya mengelak dari anjing itu dekat dengan kita atau minta bantuan orang asal itu sendiri agar menghalau anjing tersebut agar tidak berada dekat dengan kawasan kita berada.

Jangan baling anjing itu dengan batu..!  kebanyakan orang kita (Melayu) sangat benci dengan anjing, dan akan baling anjing itu.  Perlu difahami kebanyakan anjing dalam perkampungan orang asli telah biasa dengan manusia.  Tidak mungkin mereka akan menggigit kita!  mereka hanya meminta makanan.. mungkin.  Jadi kalau boleh, ambil sedikit makanan dan minta orang asal itu beri anjing-anjing itu makan jauh dari kita... berpahala... InsyaAllah... kerana mereka juga makhluk Allah.

OK, kalau dah faham sikap kita dengan anjing di kampung orang asli... bagaimana pula kalau terpijak tahi anjing?  kalau terpegang anjing? kalau anjing itu menjilat kaki kita?

kita yakin bahawa kerja dakwah ini berpahala, maka jika terkena najis atau bahagian tubuh anjing yang perlu di samak, maka tindakkan menyamak itu juga berpahala bukan?  susah payah kita hanya sedikit,  ganjaran Allah beri sangat besar!  Itulah maha pemurahnya Allah..., yakinlah.

susah ke nak samak?  baca di link ini - KLIK


Saya terbaca artikel rakan blog yang ditulis oleh Dr Asyraf Wadi Dasuki bertajuk ‘Memudahkan, bukan memberatkan’ dalam kolum ‘fikrah’ beliau di sebuah akhbar harian. Beliau adalah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

saya kongsikan pula tulisan rakan tersebut untuk ilmu kita...

Beliau menceritakan pengalaman menariknya ketika mengadakan lawatan kerja ke Sabah. Yang mengujakan saya ialah ulasan dan pendekatan beliau berkaitan hubungan Orang Islam dengan anjing dalam kehidupan seharian yang komuniti masyarakatnya majmuk - berbagai kaum dan agama.  

Saya seperti setengah menjerit , “Beliau inilah di antara ahli agama yang mampu memberikan jawapan fekah berkaitan anjing yang saya tunggu-tunggu selama ini!!!

Saya salin semula beberapa petikan menarik dari artikal beliau:

Penulis turut mengunjungi rumah panjang saudara-saudara baru, ketika ini mengikuti program pengajian agama secara mingguan anjuran Yadim.

Menariknya masyarakat di sini amat toleran dan cukup menghormati kepelbagaian agama. Tidak kira Kristian mahupun Islam, pendakwah-pendakwah yang datang sentiasa disambut dengan ceria tanpa wujud curiga jauh sekali terancam. Lebih menarik, masyarakat Islam masih tinggal bersama keluarga bukan Islam dalam satu rumah panjang walaupun berlainan agama.

Salah seorang pendakwah Yadim yang memeluk Islam sejak 2007 turut tinggal dalam rumah panjang sama dengan abangnya yang merupakan ketua gereja kampong. Malah ketika saya hadir, abangnya turut menyambut kehadiran saya dengan penuh ceria bahkan mengalu-alukan program-program pembangunan ilmu kepada para penduduk.

Beliau yang juga ketua kampong turut mencadangkan kepada pejabat daerah supaya mewujudkan kawasan perkuburan berasingan untuk orang Islam kerana bilangannya semakin meningkat. Demikian harmoninya mereka yang wajar dijadikan model masyarakat Malaysia berbilang agama dan kaum.

Malangnya ada segelintir pendakwah ambil pendekatan keras ketika ketika sampaikan mesej Islam yang seringkali terkait dengan kegagalan memahami waqi’ (kontekstual) dan kurangnya mendalami ilmu fekah dalam berdakwah.

Sebagai contoh ada segelintir pendakwah menyeru kepada saudara-saudara baru agar berpindah dari rumah panjang yang didiami bersama keluarga bukan Islam kerana melihat persekitaran rumah itu yang penuh dengan anjing berkeliaran.

Dalam hal ini, kefahaman dalam fekah amat mustahak bagi pendakwah mendepani isu-isu ditimbulkan secara hikmah dan berteraskan ilmu yang benar.

Sebagai contoh, dalam isu najis anjing, jika diambil pandangan Mazhab Syafie tentu sekali seseorang akan berkecenderungan mengeluarkan pandangan semberono untuk mereka keluar dari kawasan persekitaran yang penuh dengan anjing. Ini kerana bagi Mazhab Syafie, anjing, khinzir dan keturunan yang lahir daripada kedua-duanya termasuk sisa dan peluhya adalah najis ‘ain yang memerlukan basuhan tujuh kali, salah satunya dengan tanah ke atas apa sahaja yang disentuhnhya.

Dalam hal ini, mungkin ada baiknya untuk menuruti pandangan daripada mazhab Maliki yang menanggapi anjing secara mutlaknya samada yang digunakan sebagai kawalan dan buruan atau tidak bukanlah najis ‘ain yang memerlukan dibasuh tujuh kali secara ta’abbud menurut pandangan yang masyhur di kalangan mereka.

Persoalan seperti ini tentu sahaja memerlukan seorang pendakwah memahami matlamat syarak (Maqasid al-Syariah) dan fekah keutamaan (fiqh awlawiyyat) agar sebarang tindak tanduk dan pendirian yang diambil tidak sampai mengharu-birukan umat. Islam agama yang mempermudah, bukan mempersulitkan manusia.

Berbalik kepada isu anjing di rumah panjang, penulis berkali-kali menegaskan kepada saudara-saudara baru yang kini menjadi pendakwah Yadim agar kekal tinggal bersama ahli keluarga masing-masing. Ini kerana Islam tidak pernah mengizinkan talian kekeluargaan terputus lantaran memeluk agama ALLAH.

Malah antara isu anjing yang masih ada ruang-ruang perbezaan di kalangan mazhab dengan keperluan mempertahankan ikatan kekeluargaan yang dipersetujui secara ijma’ oleh para fukaha, tentunya keutamaan akan diberikan kepada perkara yang tidak diperselisihkan. Ini juga akan membuktikan kedinamikan Islam sebagai agama yang mudah dan penuh toleransi. Mudah-mudahan ini dapat menarik minat masyarakat bukan Islam untuk lebih dekat kepada Islam.

* Penulis ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Setelah diterangkan dengan panjang lebar, saya selaku ketua TEAM DOA -merasakan itulah sedikit catatan yang dapat dibekalkan sebagai persediaan kita untuk menjadi sukarelawan da'wah dibawah MAIS ini, bersama TEAM DOA.

Selebihnya, sila hadir ke kursus perkaderan yang telah di lanjutkan tarikhnya bagi membuka peluang lagi kepada sesiapa yang ingin melibatkan diri dalam kerja-kerja dakwa ini...

layari link berikut untuk keterangan lanjut KLIK-> FACEBOOK TEAM DOA


Wallahu a’lam
Miza - TEAM DOA
15/5/2014

-


~~~~~ info ~~~~ iklan ~~~~ makluman ~~~~  

-

No comments: