Memang sukar bagi orang yang sihat, memahami keadaan orang yang sakit. Mereka membuat nilaian, berdasarkan sekadar apa yang mereka nampak dan tahu, tetapi mereka tidak mengalami dan me`rasai’.
Saya mempunyai sintom-sintom mengidap, `muscular dystrophy’. Adik saya, sudah pun berada di kerusi roda. Penyakit ini, menyebabkan pengidapnya, semakin lemah dari masa ke semasa, sehinggalah sampai ke kerusi roda itu. Saya sedang merasakan keadaan itu, walaupun saya terus berdoa agar dijauhkan Allah. Mohon semua turut mendoakan saya. Tidak mengapa jika saya sakit, asalkan saya boleh meneruskan kerja-kerja dakwah.
Sebagai penderita penyakit ini, saya tidak boleh melakukan perbuatan; ruku' (rukun solat), duduk di antara dua sujud (rukun solat), bersila dilantai, duduk berlunjur kaki dilantai, sujud (rukun solat), bertinggung atau mencangkung, berbaring dilantai dan lain-lain lagi.
Saya boleh berdiri, tetapi tidak boleh lama. Ada ketikanya, saya perlukan tongkat untuk berdiri; misalnya ketika saya sudah sangat kepenatan; dan ada ketika, saya tak memerlukannya.
Saya juga masih boleh berjalan, tetapi, tidak boleh terlalu jauh. Jika tempat berpijak tidak rata, saya sangat perlukan tongkat. Jika rata, bergantung; ada ketika, saya perlu dan ada ketika tidak; sebagaimana sebab yang telah disebutkan sebelum.
Saya juga boleh bersila di tempat tinggi (di atas katil atau seumpamanya); dengan hanya melipat sebelah kaki dan kaki yang sebelah lagi dilunjurkan. Saya tidak boleh bersila dengan melipat kedua-dua belah kaki.
Saya juga boleh berlunjur ke dua belah kaki di tempat tinggi (di atas katil atau seumpamanya); itu pun, jika badan (belakang) saya, boleh disandarkan ke dinding atau seumpamanya.
Saya masih boleh memandu; itu pun, hanya kereta berinjin auto dengan menggunakan kaki kanan untuk menekan pedel minyak dan kaki kiri untuk menekan pedel brek. Dilantai kereta, di bawah pedel brek dan minyak; saya perlu letakkan 1 atau 2 keping papan (ikut ketebalan papan itu) agar kaki saya menjadi tinggi dan mudah mencapai pedel dalam keadaan tumit masih kekal di atas lantai (yang sebenarnya, papan sebagaimana dinyatakan tadi). Saya tidak mampu mengangkat (kaki/tumit) saya dan meletakkannya semula sebagaimana orang lain.
Jika kereta ALZA sebagai contoh; mudah bagi saya untuk menaikinya kerana ianya tidak tinggi dan tidak juga rendah. Jika kereta WIRA pula misalnya; adalah sukar bagi saya kerana terlalu rendah. Jika kereta seperti UNSER, PAJERO dan seumpanya; sukar juga bagi saya kerana terlalu tinggi.
Saya juga boleh duduk di kerusi; tetapi agak susah untuk melakukan perbuatan duduk itu dan lebih susah untuk melakukan perbuatan bangun semula darinya.
Susah bagi saya untuk melabuhkan punggung di tempat duduk. Jika kerusi itu ada `pemegang’ di kiri dan kanannya, amat membantu. Saya akan memegang pemegang itu terlebih dahulu, kemudian dengan menggunakan kekuatan tulang tangan dan bahu, saya turun dan letakkan perlahan-lahan, punggung saya ke atas kerusi. Jika tiada pemegang, itu menambah kesukaran saya. Saya merendahkan punggung saya, serendah yang saya mampu, kemudian menghempaskan sahaja ianya ke kerusi. Bila nak bangun, sebelah tangan saya akan menekan bahagian penyandar kerusi dan sebelah lagi akan menekan bahagian penyandar kerusi lain (atau apa yang sesuai) untuk bangun semula. Jika kerusi itu, sesuai dengan aras punggung; ianya membantu mengurangkan kesukaran untuk saya bangun dan duduk. Jika ia rendah, ia menjadikan saya amat sukar untuk duduk dan bangun; terutamanya sofa yang lembut. Jika kerusi itu tinggi, ia tambah menyukarkan atau langsung tidak boleh duduk di atasnya.
Di sana pula, teramat sukar bagi saya untuk bangun dari lantai. Oleh kerana itu, saya sangat berhati-hati, agar tidak jatuh. Bila saya jatuh, amat sukar untuk saya dibantu bangun semula.
Semua yang saya telah jelaskan di atas itu, menjadi sebab untuk saya bersolat dengan cara duduk di atas kerusi dari awal hingga akhir.
Saya percaya, adik saya memahaminya, sebab keadaannya lebih teruk dari saya. Pesakit lain juga akan memahami, sebab mereka turut merasainya. Para doctor, `mungkin' akan memahami.
Saya tidak mengharapkan sangat orang lain memahami. Tidak mengapa jika orang lain mengejek.Cukuplah bagi saya, Allah memahaminya. Allah itu maha mengetahui apa yang terbaik boleh saya lakukan di dalam mengibadahinya.
Terimalah ibadah ku yang lemah ini, ya Allah; walau ada yang mengejek...
Sama-samalah kita berdoa, agar adanya keizinan Allah untuk Ustaz terus berdakwah hingga ke hujung nyawanya...
~~~~~ info ~~~~ iklan ~~~~ makluman ~~~~
No comments:
Post a Comment