Ucapan YB Senator Bathmavathi
WEDNESDAY, 11 DECEMBER 2013
Puan Bathmavathi a/p K.Krishnan: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Selamat tengah hari, salam sejahtera dan salam 1Malaysia.
Tuan Yang di-Pertua, memandangkan inilah kali pertama saya menyertai persidangan di Dewan yang mulia ini, saya memohon diberi masa yang cukup untuk menyampaikan ucapan ulung saya. Pertama sekali saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak kerana melantik saya sebagai senator. Pelantikan saya ini sebagai seorang wanita, sebagai seorang OKU dan dari kaum minoriti untuk mewakili seluruh rakyat Malaysia adalah satu manifestasi prinsip inclusive yang diperjuangkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam usaha membentuk suatu negara bersifat 1Malaysia.
Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kerana mencalonkan saya sebagai senator. Saya ingin mengucapkan terima kasih juga kepada keluarga saya yang telah memberi saya sokongan dan dorongan sepanjang 38 tahun saya menjadi seorang OKU. Tanpa pengorbanan dan kasih sayang mereka, tidak mungkin saya mencapai ke tahap yang saya berada pada hari ini.
Tuan Yang di-Pertua, saya sedar tanggungjawab atas bahu saya ini amat berat. Namun demikian, saya sanggup menjalankan tugas dengan penuh dedikasi untuk menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan kepada saya. Walaupun saya dilantik mewakili seluruh rakyat Malaysia, saya akan lebih menumpukan perhatian kepada golongan orang kurang upaya di Malaysia. Golongan OKU ini terdiri dari mereka yang mengalami kecacatan fizikal, pendengaran, penglihatan, masalah pelajaran, pertuturan, mental dan juga yang mengalami pelbagai kecacatan.
Misi dan visi saya dalam tempoh sebagai Ahli Dewan Negara ialah untuk berusaha sedaya upaya untuk mengarusperdanakan keperluan golongan OKU dalam rancangan pembangunan negara demi mempertingkatkan lagi tahap kualiti hidup mereka.
Tuan Yang di-Pertua, mengikut World Report on Disability 2011 yang diterbitkan oleh World Health Organization dan juga United Nations, dilaporkan bahawa 15% dari jumlah penduduk sesebuah negara adalah terdiri daripada orang kurang upaya. Peratusan ini amat signifikan dan harus diberi perhatian oleh mana-mana kerajaan di dunia.
Di negara Malaysia yang mengamalkan sistem first past the post, dengan izin, dalam pilihan raya umum, ada kemungkinan yang golongan OKU ini boleh menjadi penentu kerajaan dalam PRU Ke-14 nanti.
Walaupun pada masa ini tidak nampak kesamaan rata dalam beberapa aspek seperti kemudahan, peluang-peluang dan juga hak- hak antara OKU dan bukan OKU, tetapi dalam pilihan raya, nilai undi seorang OKU adalah sama nilainya dengan orang yang bukan OKU. Jadi mereka mempunyai kuasa untuk menentukan kerajaan dalam pilihan raya yang akan datang.
Tuan Yang di-Pertua, kami akur bahawa pihak kerajaan prihatin terhadap golongan OKU dan telah pun mengadakan beberapa kemudahan untuk meningkatkan kualiti hidup mereka, namun demikian masih banyak lagi perkara perlu dilakukan oleh pihak kerajaan dan sektor swasta untuk mewujudkan satu masyarakat yang inclusive di mana OKU boleh memainkan peranan bukan sahaja sebagai penerima atau pelanggan sahaja tetapi juga sebagai penyumbang dan pembina dalam pembangunan negara.
Parlimen telah menggubal Akta OKU pada tahun 2008. Dengan adanya akta ini, bagi kali pertamanya OKU di Malaysia diberi pengiktirafan bahawa mereka juga ada hak yang sama seperti orang lain. Akta ini mengiktiraf kepentingan kerjasama antara kerajaan dengan sektor swasta dan juga pertubuhan bukan kerajaan dalam memastikan penyertaan dan penglibatan penuh dan berkesan OKU dalam masyarakat. Akan tetapi berapa ramaikah antara 29 juta orang penduduk di Malaysia, mengenal ataupun tahu tentang akta ini?
Tuan Yang di-Pertua, jumlah penduduk Malaysia sudah pun mencecah 29 juta orang. Golongan OKU walaupun dianggap minoriti tetapi mereka adalah signifikan minoriti. Mereka juga mempunyai hak sebagai rakyat Malaysia dan keperluan mereka harus diambil kira dalam rancangan pembangunan negara dan tidak lama lagi kerajaan akan mula menggubal Rancangan Malaysia Kesebelas.
Memandangkan keperluan OKU bukan sahaja terhad kepada isu-isu kebajikan semata-mata, saya menyeru supaya selain dari memberi peruntukan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, kerajaan harus juga membuat pengagihan peruntukan yang sewajarnya di bawah sektor-sektor lain seperti pendidikan, pengangkutan, perumahan, kesihatan sumber manusia, sukan dan rekreasi dan sebagainya untuk rancangan pembangunan OKU dalam sektor-sektor tersebut.
Tuan Yang di-Pertua, kos sara hidup sudah jadi topik hangat dibincangkan pada masa ini. Dalam perhimpunan UMNO baru-baru ini ketua pemuda UMNO Tuan Khairy Jamaluddin telah mengenal pastikan bahawa kos sara hidup adalah isu yang paling penting bagi golongan pemuda di negara ini.
Dalam hal ini juga saya ingin menyatakan juga bahawa kos sara hidup bagi seorang OKU adalah jauh lebih tinggi berbanding dengan orang bukan OKU. Bagi keperluan-keperluan asas seperti makan minum dan juga tempat tinggal yang sesuai bagi OKU adalah tinggi dan misalnya keperluan untuk menjaga kanak-kanak OKU.
Pembayaran- pembayaran untuk menggaji pembantu OKU bagi kanak-kanak dan juga untuk orang dewasa, peralatan-peralatan yang digunakan dalam kehidupan seharian orang kurang upaya, perbelanjaan perubatan khusus, tambang teksi untuk ulang-alik ke hospital dan untuk rehabilitasi atau pun untuk urusan-urusan seharian. Kos untuk mengubah suai kenderaan semuanya memerlukan wang tambahan. Tambahan pula GST yang akan diperkenalkan tahun depan juga ada implikasi ke atas kehidupan dan perbelanjaan bagi OKU.
Kenaikan tarif elektrik juga akan melibatkan kos yang lebih banyak kepada keluarga atau pun kepada OKU sendiri. Ada antara OKU yang menggunakan peralatan yang memerlukan kegunaan elektrik dan diminta supaya mungkin OKU yang menggunakan alat-alat ini, yang menggunakan elektrik dikecualikan kenaikan tarif ini dan diberi pertimbangan yang sewajarnya.
Bagi OKU yang bekerja, elaun pekerja cacat EPC yang sekarangnya di bayar RM300 amat tidak mencukupi memandangkan kos minyak petrol dan tol yang makin meningkat. Bantuan am sebanyak RM150 yang diberi kepada OKU yang tidak bekerja dan juga bagi kanak-kanak OKU yang bersekolah memang tidak cukup. Pembayaran EPC harus ditambahkan kepada RM600. Manakala bantuan am harus ditambahkan kepada RM300.
Dalam Bajet 2014, sejumlah RM441 juta diagihkan bagi pembangunan dan kebajikan OKU di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Di minta dana tambahan di agihkan pada KPWKM untuk membayar bantuan EPC dan bantuan am tambahan yang lebih seperti yang saya cadangkan tadi.
Tuan Yang di-Pertua Undang-undang Kecil Bangunan Seragam (Pindaan) 1990 yang memerlukan penyediaan kemudahan bagi golongan OKU di bangunan-bangunan baru dan juga lama telah diluluskan oleh Parlimen. Ianya telah pun diwartakan di semua negeri di seluruh Malaysia. Akan tetapi walaupun sudah 23 tahun sudah berlalu namun terdapat kebanyakan bangunan-bangunan baru dan lama masih tidak mematuhi undang-undang seragam ini.
Penguatkuasaan undang-undang kecil ini tidak efektif oleh kerana tiada suatu badan untuk memantau penguatkuasaannya. Urusan penguatkuasaan adalah tanggungjawab PBT-PBT yang terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Jadi kementerian KPKT tidak dapat menjalankan tugas memantau pelaksanaan dan penguatkuasaan Undang-undang Kecil Seragam ini. Jadi suatu mekanisme harus dikenal pasti dan diwujudkan supaya setiap negeri dan setiap dari 149 PBT di seluruh negara mematuhi undang- undang seragam bangunan ini.
Tuan Yang di-Pertua, masalah kemudahan pengangkutan awam merupakan suatu penghalang besar bagi OKU. Walaupun terdapat usaha kerajaan dalam menyediakan bas Rapid dan juga LRT yang mesra OKU, namun ramai OKU yang menggunakan kerusi roda dan alat bantuan untuk pergerakan dan juga yang cacat penglihatan iaitu OKU penglihatan masih mengalami pelbagai halangan di persekitaran apabila hendak bergerak dari rumah ke tempat- tempat perhentian bas dan perhentian LRT. Aspek last mile dalam menyediakan pengangkutan yang barrier free harus diberi perhatian. Last mile itu ialah dari rumah ke tempat perhentian. Ini adalah masalah besar yang dihadapi OKU.
Bagi OKU pendengaran, masalah utama ialah masalah komunikasi. Dalam aspek pengangkutan mereka tidak dapat mendengar pengumuman lisan yang diberi dalam LRT atau pun dalam bas mengenai pertukaran jadual atau pun pengumuman untuk menurunkan penumpang.
Perkhidmatan teksi juga tidak munasabah oleh kerana ada pemandu yang masih enggan membawa penumpang yang berkerusi roda. Ada juga kes di mana teksi bermeter menipu penumpang yang cacat penglihatan oleh kerana mereka tidak nampak meter dan tambang teksi.
Kita boleh mengadakan beberapa undang-undang tetapi undang-undang untuk menukar minda orang ramai tidak dapat dibuat, dengan izin, we cannot legislate to change the attitude of people.
Tuan Yang di-Pertua, tahun 2014 diisytiharkan tahun melawat Malaysia. Adalah disyorkan supaya sebahagian dari jumlah RM2 bilion yang diperuntukkan di bawah perkara 50 Bajet 2014 untuk tabung khas infrastruktur pelancongan dapat digunakan untuk membuat pengubahsuaian berciri mesra OKU di hotel, tempat-tempat peranginan, taman tema dan tempat-tempat tumpuan pelancong yang lain supaya golongan OKU juga boleh menikmatinya bersama.
Dalam bidang pendidikan pula disyorkan supaya unit pelajar OKU di wujudkan di setiap institusi pengajian tinggi awam dan juga swasta. Juga sekurang-kurangnya satu di setiap daerah negeri untuk sekolah, untuk mengendalikan kemudahan dan perkhidmatan bagi pelajar OKU. Di minta digubal dasar di peringkat Kementerian Pendidikan untuk tujuan ini.
Tuan Yang di-Pertua, ramai keluarga yang mempunyai anak OKU atau warga emas dan juga OKU yang hidup berseorangan amat memerlukan bantuan pembantu iaitu carer, dengan izin.
Saya mengesyorkan supaya Jabatan Perkhidmatan Awam mewujudkan satu jawatan baru di bawah gelaran pembantu atau pun carer untuk menjaga ahli keluarga warga tua dan OKU supaya rakyat Malaysia sendiri boleh memohon dan memenuhi jawatan ini. Sebaliknya dapat mengelakkan pengaliran luar wang dari Malaysia yang kini seperti mana yang kita gunakan untuk menggaji tenaga asing untuk memenuhi jawatan pembantu ini.
Tuan Yang di-Pertua OKU penglihatan sering menghadapi masalah apabila hendak menggunakan kemudahan pelbagai...
Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat kerana masa sudah tepat jam 1 tengah hari, Yang Berhormat boleh sambung nanti jam 2.30 petang ya. Sekarang saya tangguhkan persidangan kita sehingga jam 2.30 petang ini.
Puan Bathmavathi a/p K.Krishnan: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
[Mesyuarat ditempohkan pada pukul 1.00 petang.]
[Mesyuarat disambung semula pada pukul 2.30 petang] [Timbalan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]
Timbalan Yang di-Pertua: Baiklah saya minta Yang Berhormat Puan Bathmavathi sambung kembali Yang Berhormat.
2.32 ptg. Puan Bathmavathi a/p K. Krishnan: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. OKU penglihatan sering menghadapi masalah apabila hendak menggunakan kemudahan perbankan. Pihak Bank Negara harus mengkaji semula dasar bagi bank-bank tempatan yang kini menghalang warga OKU penglihatan membuka akaun dan menggunakan kemudahan lain perbankan seperti memohon kad ATM.
Bank antarabangsa seperti Standard Chartered dan HSBC yang beroperasi di Malaysia tidak mengenakan sebarang halangan. Pelajar OKU penglihatan di sekolah rendah, menengah dan IPT kini menghadapi masalah kekurangan buku teks dalam bentuk Braille untuk bertahun-tahun lamanya.
Kementerian Pendidikan harus menubuhkan unit pengeluaran bahan Braille dengan segera demi mengatasi masalah ini. Selagi masalah ini tidak diselesaikan objektif menaikkan taraf pendidikan sekolah khas di bawah Malaysian Education Blueprint 2013 hingga 2025 itu tidak akan tercapai. Mesin Braille yang juga dipanggil Brailler adalah alat yang paling berguna kepada OKU penglihatan terutama sekali pelajar. Terdapat beratusan mesin Braille Perkins yang rosak dan diabaikan begitu sahaja oleh kerana tiada tenaga mahir untuk memperbaikinya.
Disyorkan supaya ditubuhkan satu unit memperbaiki mesin Braille ini untuk menangani masalah tersebut. Tuan Yang di-Pertua, OKU pendengaran juga menghadapi masalah dan masalah mereka adalah masalah komunikasi apabila berurus dengan orang yang tidak memahami bahasa isyarat. Lebih ramai lagi jurubahasa perlu dilatih dan ditempatkan di kaunter-kaunter perkhidmatan pelanggan, di pusat-pusat perkhidmatan kerajaan termasuk UTC atau urban transformation centre dan juga di RTC atau rural transformation centre dan juga di bank, di pejabat pos, di klinik-klinik kesihatan dan sebagainya.
Tuan Yang di-Pertua, di dalam bidang sukan bagi OKU ramai atlet negara telah mengharumkan nama Malaysia di persada dunia dengan memenangi pingat emas, perak dan gangsa dalam pelbagai sukan antarabangsa.
Dalam Bajet 2014, Kementerian Belia dan Sukan harus mengagihkan peruntukan khas bagi membangunkan sukan OKU serta rancangan jangka panjang untuk mencungkil bakat baru di peringkat akar umbi untuk dijadikan pelapis bagi menggantikan atlet OKU elit yang lanjut usia.
Tuan Yang di-Pertua, wanita kurang upaya terutama sekali mereka yang menghadapi dengan izin intellectual disability mudah menjadi mangsa gangguan seksual dan jenayah seksual. Kebanyakan kejadian seperti ini tidak dilaporkan oleh keluarga atau pengurus pusat-pusat jagaan di mana ia berlaku. Hanya satu atau dua dari kes-kes ini sampai ke mahkamah untuk dibicarakan.
Tuan Yang di-Pertua, kita harus mengambil berat perkara ini dan mengambil langkah yang sewajarnya untuk melindungi golongan wanita OKU ini yang langsung tidak dapat mempertahankan diri mereka. Tuan Yang di-Pertua, pada tahun 2010 Malaysia telah meratifikasikan UN Convention on the Rights of Persons with Disabilities (CRPD).
CRPD adalah satu perjanjian antarabangsa yang mengenal pasti hak OKU dan juga tanggungjawab negara-negara yang menandatanganinya untuk menggalak, melindung dan menyediakan hak-hak tersebut. Akan tetapi Malaysia masih belum lagi menandatangani dan meratifikasi optional protocol yang merupakan mekanisme pemantauan yang membenarkan petisyen terhadap perlanggaran hak OKU atau enquiry terhadap ketidakpatuhan konvensyen CRPD tersebut.
Tuan Yang di-Pertua, adalah disyorkan supaya kerajaan menandatangani optional protocol ini untuk memastikan CRPD dapat dilaksanakan secara efektif di negara ini dan dari semasa ke semasa kerajaan-kerajaan di bawah United Nations akan berjumpa untuk memberi review dalam Universal Periodic Review (UPR). Di sini akan dianggarkan sejauh mana sesebuah negeri melaksanakan ataupun melindungi hak asasi manusia di negara masing-masing.
Jadi dengan menandatangani optional protocol ini untuk CRPD negara kita akan diletakkan di tempat yang lebih tinggi di dalam UPR yang akan dilaksanakan kemudian.
Sekian sahaja, terima kasih. (sumber)
No comments:
Post a Comment