"Nak buat macam
mana ni...? saya buat sehabis baik dah..."
"Alaa, kita kan
dah usaha... kenapa jadi gitu plak..."
Ya, setelah berusaha, berdoa dan bertawakkal, maka terimalah ketentuan yang sedang berlaku. Urusan manusia
adalah usaha. Usaha itu sunnatullah.
Takdir pula adalah
urusan Allah. Menjadi penentu terakhir.
Kedua-duanya sama penting dan sama
perlunya di dalam kehidupan. Manusia perlu berusaha dan diiringi doa, dan takdir Allah yang akan
menentukannya.
Imam Ghazali dalam
ungkapannya pernah mengatakan, "Usaha tanpa tawakkal adalah kesombongan.
Tawakkal tanpa usaha adalah sia-sia". Tugas manusia adalah berusaha dan
berusaha sebelum menyerahkannya kepada Allah. Usaha itu pula hendaklah mematuhi
peraturan sunnatullah yang Allah telah tetapkan, iaitu hendaklah seiring jalan
syariah yang dibernarkan di dalam Islam.
Apabila disebutkan
bahawa, Allah hanya melihat usaha dan tidak kepada hasilnya, maka perlu kita
tekankan bahawa usaha itu juga perlulah berkualiti dan secukupnya dari segi
kuantiti.
Janganlah sekadar
bergantung kepada "aku dah usaha", sebaliknya perlu mencari di mana
silapnya semasa kita berusaha,dan seterusnya mengambil langkah memperbaikinya.
Menyalahkan takdir
semata-mata, mahupun redha membuta, bukanlah jalannya.
Analoginya jika kita
membuat kek, lalu setelah dibakar di dalam ketuhar, kita tidak mendapat hasil
yang sepatutnya. Apakah yang kita akan lakukan?
1. Mencari dan
menggunakan resepi kek yang lain?
2. Mengubah suai
resepi sedia ada?
3. Menggunakan
resepi sama buat kali yang seterusnya?
4. Atau mengalah dan
berhenti berusaha lantas membiarkannya begitu sahaja?
Pilihan pertama dan
kedua merupakan tanda keterbukaan kita dalam pendekatan. Menunjukkan bahawa
kita tidak terikat kepada apa-apa selain matlamat yang jelas - contoh: membuat
kek.
Pilihan ketiga
menggambarkan kita yang mengharapkan hasil yang berbeza, dengan sekadar
melakukan usaha yang sama. Ia mungkin dibenarkan untuk sesetengah perkara,
namun tidak untuk kebanyakan yang lain.
Pilihan keempat pula
menunjukkan seolah-olah kita lebih suka menyalahkan takdir daripada mengkaji
usaha diri. Selain tidak menggunakan kegagalan sebagai bahan muhasabah. Lebih
suka menyerah kalah sebelum berjuang habis-habisan.
Untuk mendapat hasil
yang lain, sama ada hasil yang lebih baik atau sebagainya, maka mulakanlah
dengan mencarinya melalui jalan yang berbeza.
Kesimpulannya,
perlulah kita sentiasa mengekalkan prinsip kita walau dalam keadaan ingin
memperbaiki usaha. Kadang-kadang kita tidak perlu membuat apa-apa perubahan
terhadap usaha kita, walaupun kita mahukan hasil yang berbeza. Cuma perlu yakin
terhadap prinsip yang tersedia. Jangan berubah!
Dan perlu akur
terhadap kaedah umum, bahawa kita hanya mampu merancang, namun jangan kita lupa
Allah juga Maha Perancang dan Maha Penentu segalanya.
Kita mentadbir,
sedang Allah Pentadbir yang terbaik dan Pentaqdir atas apa yang kita tadbir.
2 comments:
..salam..saya suka baca blog anda..blog mcm ini lah yg sy cari..teruskan usaha anda.. ;)
terima kasih tuan :)
Post a Comment