GAMBAR HIASAN Masjid Jami' Damsyik atau Masjid Umayyad atau Masjid Umawi yang menempatkan menara Nabi Isa |
Suatu ketika dulu, di Damsyiq (Damascus)
terdapat sebuah masjid besar yang diberi nama Masjid at-Taubah. Ia merupakan
sebuah masjid yang diberkati, indah dan mendamaikan. Di atas tapak masjid itu asalnya sebuah
gedung tempat berlaku segala macam maksiat. Pada kurun ke 7 Hijriah, seorang
raja yang memerintah ketika itu membeli gedung tersebut, meruntuhkan dan
membina di atas tapaknya sebuah masjid.
Lebih kurang 70 tahun lalu, di masjid itu
terdapat seorang syaikh atau guru yang alim mendidik umat Islam di kampong
itu. Namanya Syaikh Saleem as-Suyuti. Dia sangat dihormati oleh penduduk
setempat. Mereka menjadikannya tempat rujukan dalam semua urusan sama ada
urusan dunia atau akhirat. Di masjid itu juga terdapat seorang murid
yang sangat miskin tetapi terkenal dengan kemuliaan akhlak dan budi pekerti
yang luhur. Dia tinggal di sebuah bilik yang terdapat di dalam masjid.
Suatu ketika, dia diserang kelaparan yang
tidak mampu ditahan kerana sudah dua hari tidak menjamah makanan dan tidak ada
wang langsung untuk membeli makanan. Masuk hari ke tiga, dia rasa seolah-olah
dia akan mati kebuluran. Lalu dia berfikir apa yang patut dilakukan. Pada pendapatnya, keadaannya telah sampai
ke tahap darurat yang mengharuskannya makan bangkai atau mencuri sekadar yang
diperlukan. Maka dia memilih untuk mencuri.
Masjid itu terletak di sebuah kampong di
mana kedudukan rumahnya rapat-rapat dan bumbungnya bersambung antara satu sama
lain. Seseorang boleh berjalan meniti dari bumbung ke bumbung bermula dari awal
kampung hingga ke hujungnya. Si miskin tadi memanjat bumbung masjid
dan meniti bumbung-bumbung rumah untuk mencari makanan. Apabila dia terpandang
wanita di dalam rumah, dia akan segera 'menjaga mata' (menahan pandangan) dan
menjauhkan diri dari rumah itu. Akhirnya dia ternampak sebuah rumah yang kosong
dan terhidu bau makanan yang menyelerakan.
Perasaan lapar yang menguasai dirinya
menjadikan bau makanan itu bagaikan magnet yang menarik-nariknya dengan kuat
agar mengambilnya. Lalu dia melompat dari bumbung memasuki rumah tersebut. Dia
terus ke dapur dan membuka periuk. Didapati di dalam periuk itu beberapa
biji terung yang telah dimasak, lalu dia mengambil sebiji. Kerana kelaparan
yang teramat sangat, dia tidak menghiraukan kepanasan terung yang baru dimasak,
lantas terus menggigitnya.
Ketika hampir-hampir menelan terung itu
tiba-tiba akalnya yang dipenuhi ilmu agama yang dituntutnya selama ini di
masjid 'menyergahnya'!..
Hatinya berbisik: Aku berlindung dengan
Allah! Aku seorang penuntut yang tinggal di dalam masjid, kemudian aku
menceroboh masuk ke dalam rumah orang dan mencuri makanan yang ada di dalamnya? Dia rasa terlalu besar dosa yang telah
dilakukan. Dia amat menyesal dan beristighfar. Terung yang telah digigit itu
dikembalikan di tempatnya. Dia segera keluar dari rumah itu dan terus kembali
ke masjid.
Ketika itu Syaikh sedang mengajar, lalu
dia duduk di dalam halaqah bersama murid-murid lain. Namun kelaparan yang mencengkam
dirinya menjadikan dia tidak dapat memberi tumpuan pada pengajaran Syaikh dan
tidak faham apa yang didengarnya. Setelah sesi pengajian tamat, semua
murid-murid beredar dari halaqah. Tiba-tiba muncul seorang wanita dalam keadaan
berselubung menutup seluruh tubuh seperti kelaziman wanita-wanita di kampong
itu. Wanita itu berkata sesuatu kepada Syaikh, tetapi murid itu tidak mendengar
apa yang dikatakannya.
Syaikh memandang sekeliling. Dia tidak
nampak ada orang lain di dalam masjid selain murid yang miskin itu. Syaikh memamnggilnya dan bertanya, adakah
kamu telah berkahwin? Dia menjawab, tidak!
Syaikh bertanya, adakah kamu ingin
berkahwin? Dia diam.
Syaikh bertanya sekali lagi, adakah kamu
ingin berkahwin?
Dia menjawab dengan jujur bahawa dia tidak
mempunyai wang untuk membeli sesuap makanan untuk dirinya, maka untuk apa dia
hendak berkahwin?
Syaikh berkata kepadanya bahawa wanita
ini kematian suami. Dia orang asing di sini. Dia juga telah tidak ada sesiapa
lagi di dunia ini kecuali seorang bapa saudara yang telah tua dan miskin yang
tinggal bersama dengannya. Syaikh menunjukkan ke arah seorang lelaki tua yang
duduk di sebuah sudut halaqah. Syaikh berkata lagi bahawa wanita ini telah
mewarisi rumah dan harta peninggalan suaminya.
Dia mahu berkahwin mengikut sunnah Allah
dan Rasul supaya dia tidak bersendirian kerana dibimbangi akan menjadi tumpuan
orang-orang jahat serta pergaulan yang haram. Jadi, adakah kamu mahu
menikahinya?
Murid itu terus menjawab, ya!
Syaikh berpaling ke arah wanita itu dan
bertanya, mahukah kamu menerimanya?
Wanita itu menganggukkan kepala tanda
setuju.
Maka Syaikh memanggil bapa saudara wanita
itu dan dua orang saksi. Syaikh menikahkan mereka berdua dan membayar maskahwin
bagi pihak anak muridnya yang miskin itu.
Setelah selesai aqad, Syaikh berkata
kepada muridnya, pimpinlah tangannya. Wanita itu memegang tangan suaminya dan
membawanya pulang ke rumah. Setelah memasuki rumah, dia membuka kelubung yang
menutupi mukanya, barulah murid itu dapat melihat wajah isterinya yang muda dan
jelita.
Dia juga amat terkejut kerana rumah itu
adalah rumah yang dia masuki sebentar tadi dan telah mencuri makanan daripada
dapurnya. Isteri bertanya kepada suaminya, adakah kamu telah makan?
Dia menjawab, ya!
Dia membuka periuk dan melihat terung
yang telah digigit. Dia berkata dengan hairan, siapa yang masuk ke dalam rumah
dan menggigit terung?
Murid itupun menangis sambil menceritakan
apa yang telah berlaku.
Isterinya berkata, inilah hasil amanah.
Kamu menjauhkan diri dari terung yang haram, maka Allah berikan kamu rumah
serta tuannya sekali dengan halal.
Diceritakan oleh Syaikh Ali at-Tantawi di
dalam Muzakkiratnya dan dia berkata bahawa kisah ini benar-benar berlaku dan
beliau kenal semua individu yang terlibat di dalam kisah tersebut.
Pengajarannya: Tinggalkan Yang Haram
Allah s.w.t bagi Yang Halal!.. WaAllahu'alam.
No comments:
Post a Comment