Soalan;
Assalamualaikum ustaz, apakah hukum makan daging
landak..? ianya juga buas dan bertaring.. terima kasih.
Jawapan;
Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ‘ala Rasulillah.
Yang dilarang oleh hadis ialah binatang buas bertaring
yang menggunakan gigi taringnya
untuk menerkam dan membunuh mangsanya. Saya
tidak pasti apakah landak mempunyai gigi taring yang berfungsi sebegitu. Adapun
pandangan para ulamak tentang landak adalah seperti berikut;
1. Mazhab Hanafi dan Hanbali; haram memakannya kerana
ia tergolong dalam binatang-binatang merayap/merangkak yang dipandang keji
(khabaith), iaitu satu kelompok dengan tikus. Dalam al-Quran Allah berfirman
(dengan maksud); “Dan dia (yakni Nabi Muhammad SAW) mengharamkan ke atas kamu
yang keji-keji” (surah al-A’raf, ayat 157).
2. Mazhab Maliki dan Syafiie; harus memakannya kerana
walaupun ia dari jenis merangkak, namun tidak dipandang keji oleh manusia,
kerana itu ia tidak termasuk dalam ayat tadi. Dalam kitab Hayah al-Hayawan
al-Kubra –kitab turas yang membincangkan tentang haiwan-haiwan-, pengarangnya
(ad-Dumairi, wafat 808 hijrah) menjelaskan; Imam Syafiie berkata; “Landak halal
dimakan kerana orang-orang Arab memandangnya sebagai makanan yang elok/baik”
(2/361). Di antara kaedah dalam mazhab Syafiie -dalam menentukan jenis haiwan
yang halal dan yang haram-; “Setiap haiwan yang dipandang elok/baik oleh orang
Arab maka ia adalah halal, kecuali terdapat dalil Syarak yang
mengharamkannya”.[1]
Ada diriwayatkan Nabi SAW bersabda; “Landak adalah
dari binatang-binatang yang keji” (Musnad Imam Ahmad; 5954. Sunan Abu Daud;
3799. Dari Abu Hurairah RA). Namun ulamak-ulamak hadis menegasnya; sanad hadis
ini adalah dhaif kerana terdapat beberapa rawi yang majhul[2], tidak boleh
dijadikan hujjah dalam hukum-hakam. Kerana itu para ulamak masih berikhtilaf
tentangnya (landak). Ulamak yang berpandangan dia binatang yang baik/elok,
mereka menghalalkannya. Yang berpandangan dia binatang yang keji, mereka
mengharamkannya.
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1. al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/144
(perkataan “at’imah”).
2. Kifayatul Akhyar, hlm. 522-523.
3. Hayah al-Hayawan al-Kubra, Muhammad bin Musa
ad-Dumairi, 2/361.
4. al-Fiqh al-Manhaji, 3/69.
oleh - USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
oleh - USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
~~~~~ info ~~~~ iklan ~~~~ makluman ~~~~
- BELAJAR KOMPUTER - 1 GURU MENGAJAR 1 MURID ? KLIK
- IKLANKAN PRODUK/PERNIAGAAN ANDA DENGAN KAMI - KLIK
- PAKAR MEREKABINA PERKAKAS PERABUT - KLIK
No comments:
Post a Comment