Thursday, October 3, 2013

Tanda-Tanda Seseorang Telah Terkena Sihir

Soalan : Sihir adalah satu perbuatan dosa besar. Bolehkah ustaz jelaskan apakah tanda-tanda seseorang telah terkena sihir dan bagaimana kita boleh sahkan sakit yang di alami adalah disebabkan terkena sihir (dengan izin Allah)?






Jawapan :

Tanda-tanda gejala sihir begitu banyak, antaranya:-

1.Seseorang yang baru berkahwin tidak mempunyai nafsu terhadap isterinya.

2.Seseorang itu merasa kadangkala terlalu panas dan kadangkala terlalu sejuk sehingga ia sanggup meminum air yang mendidih.

3.Suami dan isteri yang tiba-tiba sahaja merasa tidak aman, benci-membenci antara satu dengan lain walaupun sebelumnya mereka sangat berkasih-sayang.

4.Kebiasaannya gejala penyakit yang disebabkan oleh sihir lebih menonjol sewaktu senja.

5.Juga banyak dari penyakit-penyakit baik fizikal atau kejiwaan yang tidak dapat disahkan puncanya oleh doktor-doktor yang pakar.

Cara-cara untuk mengetahui terdapat gangguan sihir :



Membaca ayat-ayat dibawah ditapak tangan kita :

1. Baca surah Ibrahim ayat 42-52

2. Baca surah al-Mukminun ayat 98-118

3. Baca surah al-Falaq ayat 1-5.

4. Baca surah an-Nas ayat 1-6

Ketika membaca ayat-ayat di atas , letakkan mulut di telapak tangan kanan, sehingga nafas kita atau sebahgian dari ludah mengenainya. Kemudian hulurkan tapak tangan kanan kita di depan mata si sakit, dan mintalah dia melihatnya. Kalau dia sama sekali tidak boleh melihatnya, atau matanya menjadi silau atau nanar, atau dia melihat tapak tangan kita berwarna sangat merah atau hitam, atau dia melihat banyak salib di telapak tangan kita, atau tiba-tiba kepalanya terasa sangat pening, atau dia menunjukkan suatu gejala yang muncul secara tiba-tiba, maka dia , tidak diragukan, terkena sihir atau kesurupan (kerasukkan) atau kedua-duanya sekali.

[CATATAN : Sebaik-baiknya, usahakan dia sendiri yang membacanya ayat-ayat diatas. Kalau si sakit tidak boleh membaca sendiri maka kita boleh bacakan ditapak tangan kita dan hulurkan tangan kanan kita di depan mata si sakit dan minta dia melihatnya.]

752. Soalan : Apakah dia saka ? Adakah boleh kita membuangnya jika saka itu terdapat dalam ahli keluarga kita?

Jawapan :

Saka adalah jin kafir yang telah berada dalam tubuh manusia yang sudah sekian lama hingga sudah menjadi sebati dengan manusia itu. Ini berlaku samada seseorang itu tahu atau tidak, kerana ia datang dari keturunan pesakit. Kemungkinan ilmu ini telah dipelajari oleh nenek-moyang terdahulu. Dan diturunkan kepada generasi kemudian tanpa diketahui atau jin itu sendiri yang memilih untuk mendampingi keturunannya yang dia kehendaki. Saka boleh dibuangkan dengan mengamalkan ayat-ayat al-Quran dan doa-doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.

Setiap penyakit ada ubatnya. Begitu juga perbuatan sihir yang dilakukan oleh bomoh dengan perantaraan jin kafir atau syaitan boleh diatasi dan di ubati penyakit tersebut. Jika tidak mampu mengubati sendiri gangguan saka maka boleh berjumpa pakar perubatan Islam yang menggunakan ayat-ayat al-Quran, selawat dan doa-doa yang diajarkan Nabi SAW. Jangan berjumpa bomoh atau dukun kerana mereka menggunakan khidmat jin-jin kafir dalam rawatan yang digunakan.

Cara-cara mengatasi gejala sihir adalah seperti berikut :

Apabila telah disahkan seseorang itu terkena sihir samada dari segi fizikal, mental atau spiritual, maka dalam dalam konsep Islam, tiap-tiap yang bermasalah ada penyelesaiannya. Tiap-tiap penyakit ada penawarnya. Islam telah membuat beberapa peraturan untuk mengatasi penyakit disebabkan sihir.

Terutamanya setelah kita melihat fakta yang jelas bahawa Nabi Muhammad S.A.W. pernah terkena sihir dalam kisah yang terkenal dengan Labid bin A'sam. Peristiwa ini berlaku untuk memberitahu kita bahawa terdapat ayat Al-Quran yang dinamakan Al-Mu'awwizat, iaitu beramal bersungguh-sungguh dan yakin dengan ayat-ayat itu sehingga ia menjadi penawar.

Begitu juga dengan ayat Kursi dan memang dari kaedahnya ayat tersebut adalah pengubat dan penyembur sihir. Malah Nabi Muhammad S.A.W. telah menyebut secara terperinci bahawa sihir itu boleh diubati dengan membaca enam ayat pertama surah Al-Baqarah, tiga ayat daripada surah Al-Baqarah iaitu ayat 255, 256 dan 257 dan tiga ayat terakhir daripada surah tersebut. Ayat-ayat ini hendaklah diamalkan dengan penuh yakin bahawa Allah S.W.T. boleh menyembuhkan sihir in syaa Allah.

Ayat-ayat tersebut adalah seperti berikut :-

1.) Surah Al-Baqarah 2 : 1-6

2.) Surah Al-Baqarah 2 : 255-257

3.) Surah Al-Baqarah 2 : 284-286

Di dalam kitab zikir al-Mathurat karangan al-Imam Syahid Hassan al-Banna ada dihimpunkan ayat-ayat al-Quran dan doa-doa sahih yang diajarkan oleh Rasulullah S.A.W untuk membina kekuatan rohani dan menghalang daripada gangguan sihir. Amalkan membaca Zikir al-Mathurat setiap pagi dan petang (lepas solat Asar).

Satu cara lagi yang di amalkan oleh pakar perubatan Islam untuk mengubati gangguan sihir adalah seperti berikut :

1. Ambil tujuh helai sirih hijau atau daun teratai. Tumbuk dengan batu, besi atau apa saja sehingga lumat (boleh juga guna alat penghancur letrik - blinder)

2. Masuk tumbukan daun sirih atau daun teratai itu dalam satu mangkuk besar. Isi dengan air secukupnya untuk minum dan mandi seluruh badan.

3. Letakkan telapak tangan kananmu pada air yang sudah diisi tumbukan daun sirih.

4. Sentuhkan bibirmu pada mangkuk, sehingga nafas atau sebahagian dari ludahmu mengenainya.

5. Bacakan ayat-ayat berikut :

a. Baca Ayat Kursi. (Surah al-Baqarah ayat 255)

b. Bacakan Surah al-Kafirun.

c. Baca Surah al-Ikhlas.

d. Baca Surah al-Falaq.

e. Baca Surah an- Nas.

(Ayat-ayat dibawah adalah ayat penawar sihir)

f. Baca Surah al-A'raf ayat 117-119.

g. Baca Surah Yunus ayat 79-82.

h. Baca Surah Thaha ayat 65-69.

Setelah dijampi dengan ayat-ayat al-Quran di atas air itu diminumkan kepada si sakit, kemudian mandikan ia dengannya. Ulangi seminggu sekali dan sesudah itu in syaa Allah , sihir itu tidak akan ada lagi.

[Yakinlah kepada Allah SWT bahawasanya hanya Dia sahaja yang akan menyembuhkan segala penyakit termasuk penyakit disebabkan sihir hasil perbuatan jin dan syaitan]

oleh - Ustaz Kamal Azhari Zuhra



No comments: