Dalam diri insani boleh terkumpul dua unsur yang berlainan pada satu masa yang sama; kebaikan juga kejahatan. Apabila kita berbicara soal kejahatannya, janganlah sampai kita lupa unsur kebaikan yang ada sehingga kita memadamkan baiknya dan menghukumnya melebihi kadar yang patut.
Hal ini pernah Rasulullah s.a.w bantah terhadap perkataan sesetengah sahabat yang melaknat seorang peminum arak dalam kalangan mereka. Dalam hadis al-Imam al-Bukhari, Rasulullah s.a.w mengajar kita hakikat ini.
“Seorang lelaki bernama ‘Abdullah, digelar ‘himar’ (kaldai). Dia pernah menyebabkan Rasulullah s.a.w ketawa. Juga pernah Nabi s.a.w. menyebatnya (menjatuhkan hukuman) disebabkan kesalahan meminum arak. Pada suatu hari dia ditangkap lagi (disebabkan kesalahan meminum arak), maka baginda pun menghukum lalu dia disebat. Seorang lelaki berkata: “Ya Allah! Laknatilah dia, alangkah kerap dia ditangkap”. Lantas Nabi s.a.w pun bersabda: “Jangan kamu semua melaknatinya! Demi Allah apa yang aku tahu dia mencintai Allah dan RasulNya”. (Riwayat al-Bukhari).
Walaupun dia minum arak, itu satu dosa yang besar, namun dalam masa yang sama Rasulullah s.a.w tidak menafikan unsur cintakan Allah dan Rasul yang wujud dalam diri. Bahkan Nabi s.a.w mempertahankan kelebihannya itu. Kita lebih wajar demikian. Jangan kerana melihat sesuatu dosa, sekalipun besar, kita menafikan unsur kebaikan lain yang ada pada diri seseorang.
DR MAZA
KLIK untuk keterangan lanjut |
No comments:
Post a Comment