ISLAM mempunyai adab dalam setiap pengucapan serta tingkah laku hidup seharian dan salah satu yang perlu dipraktikkan adalah memberi dan menjawab salam.
Ucapan salam adalah jalinan komunikasi cukup berkesan dan berhikmah jika diperhalusi kerana salam ialah lafaz doa kepada seseorang, sesuai dilafazkan pada setiap masa.
Hukum orang yang memberi salam adalah sunat muakkad, manakala menjawabnya pula adalah wajib. Kedua-kedua pemberi dan yang menjawab salam akan mendapat pahala besar kerana saling doa mendoakan antara satu sama lain.
Firman Allah bermaksud: "Apabila kamu masuk ke dalam rumah seseorang, hendaklah kamu beri salam sebagai satu penghormatan yang berkat dan baik di sisi Allah.” (Surah an-Nur, ayat 61)
Manusia perlu penghormatan. Hormat menghormati akan membawa kedamaian yang menjamin kemakmuran dalam sesebuah komuniti dan negara. Tanpa rasa hormat, masyarakat akan menjadi angkuh dan kucar-kacir.
Firman Allah bermaksud: “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat seperti (memberi salam) maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.” (Surah an-Nisa', ayat 86)
Allah memerhati segala tingkah laku manusia termasuk soal pergaulan dan perhubungan sesama mereka. Berkomunikasi dengan memberi dan menjawab salam adalah disyariatkan.
Memberi salam mempunyai kedudukan istimewa dalam amalan salih seperti sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Wahai manusia, sebarkanlah salam, berilah makan, hubungkanlah silaturrahim dan bangunlah solat malam.” (Riwayat Abdullah bin Salam)
Dalam memberi salam, Islam menggariskan beberapa adab tertentu antaranya ialah:-
- Jika satu kumpulan menerima salam memadailah seorang saja yang menjawabnya.
- Cara memberi salam yang sebaiknya ialah ‘Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh’.
- Orang berkenderaan dituntut memberi salam kepada orang yang sedang berjalan
- Orang berjalan dituntut memberi salam kepada orang yang duduk.
- Orang perseorangan dikehendaki memberi salam kepada orang yang ramai.
- Harus memberi salam kepada golongan wanita ajnabi jika tiada kemungkinan ia membawa kepada fitnah.
- Memberi salam hendaklah dengan suara nyaring dan menjawabnya dengan serta-merta.
Di antara fadilat memberi salam ialah mempereratkan silaturahim sesama Islam seperti kata Saidina Umar, “Ada tiga perkara yang boleh menjernihkan kamu terhadap kecintaan terhadap saudaramu iaitu hendaklah kamu memberi salam ketika bertemu, hendaklah kamu meluaskan tempat duduknya di dalam majlis dan hendaklah memanggilnya dengan nama yang dia sukai.”
Kedua, salam boleh menghilangkan permusuhan, dendam, iri hati, prasangka buruk dan ketiga, menghilangkan perasaan takbur, bongkak seterusnya mengembalikan sifat rendah diri.
Keempat, salam boleh menambahkan kenalan seperti sabda Rasulullah diriwayatkan Abdullah bin Amru yang bermaksud: “Seorang lelaki datang menemui Rasulullah, lalu dia bertanya, Apakah perbuatan terbaik dalam Islam?. Lalu jawab Baginda, memberi makan, mengucap salam kepada kenalanmu dan orang yang tidak kamu kenali.”
Kelima, salam adalah doa dan pengikat kasih sayang sesama umat seperti sabda Rasulullah bermaksud: “Dari zat yang jinak dalam kekuasaannya, tidak semua dapat memasuki syurga sehingga kamu semua beriman dan sayang menyayangi sesama kamu. Bukankah kamu suka kalau kami tunjukkan kamu amalan yang apabila kamu lakukan akan lahirlah perasaan cinta dan sayang sesama kamu?”
Lalu seorang sahabat bertanya: “Apakah itu ya Rasulullah?”
Jawab baginda, “Syiarkanlah salam di antara kamu.”
Justeru, komunikasi melalui ucapan salam memainkan peranan yang cukup kuat dalam memantapkan hubungan antara individu hinggalah kepada setiap ahli sesebuah komuniti, maka amat perlu bagi setiap daripada kita cuba mengamalkannya pada setiap masa untuk menikmati fadilat dijanjikan.
Rujukan: Berita Harian 10.2.2007
KLIK untuk keterangan lanjut |
No comments:
Post a Comment