Thursday, July 4, 2013

Mengapa Manusia Enggan Memberi?



oleh: Ustaz Pahrol Mohd Juoi ( pahrol@telagabiru.net.my)

Hari ini manusia hilang kebahagiaan kerana sikap suka memberi semakin terhakis. Ramai yang menganggap dengan mendapat sesuatu mereka akan lebih berjaya dan bahagia dalam kehidupan. Kita sering terlupa hikmah yang diungkapkan menerusi kata-kata ini:

“We make a living by what we get but we make a life by what we give” – kita membina hidup dengan apa yang kita dapat tetapi kita membina kehidupan dengan apa yang kita berikan.



Ya, kita hidup dengan kuantiti material (makanan, pakaian, kenderaan, rumah) tetapi kita membina kehidupan dengan kualiti hati (ketenangan, kemesraan, kasih sayang dan persaudaraan). Rumah misalnya, memang dibina dengan gabungan batu, kayu dan simen tetapi rumah tangga dibina dengan kasih sayang. Memanglah dengan apa yang kita dapat (get), kita mampu membina sebuah rumah yang besar, tetapi untuk boleh membina rumah tangga yang tenang kita perlu memberi (give). Kasih sayang, kemesraan dan cinta itu dibina dengan sikap memberi.

Kata bijak pandai, “memberi lebih gembira daripada menerima.” Tapi benarkah memberi lebih gembira daripada menerima? Kalau ditanyakan kepada anda, memberi hadiah dengan menerima hadiah, mana lebih gembira? Tentu ramai yang menjawab, menerima hadiah. Betul tidak? Jadi di mana letaknya kebenaran ungkapan ini?

Baiklah, bayangkan seorang ibu yang mempunyai seorang anak yang merayu dibelikan sebuah anak patung. Sedangkan “spesifikasi” anak patung yang diidamkannya itu terlalu sukar untuk dicari. Telah merata kedai dia mencarinya. Tetapi masih tidak ditemui. Setelah berbulan-bulan kemudian, ketika berkursus di luar negara, tiba-tiba si ibu temui anak patung yang dicari-cari selama ini...

Bayangkan, pada ketika si ibu menyerahkan anak patung yang baru dibelinya itu kepada anak kesayangannya... si anak terlompat-lompat kegembiraan sambil mengucup si ibu bertalu-talu. Ya, pada ketika itu siapakah yang lebih gembira? Si ibu yang memberi atau si anak yang menerima? Ya, pasti anda tahu jawapannya. Lebih-lebih lagi jika anda sendiri seorang ibu. Si ibulah yang lebih gembira.

Setiap ibu bapa yang penyayang pasti lebih gembira “memberi” kepada anaknya. Seorang penoreh getah (yang telah bertungkus-lumus “memberi” segala tenaga dan upaya untuk menyekolahkan anaknya) akan menjadi insan yang paling gembira pada hari anaknya menerima ijazah. Padahal dia yang memberi, anak yang menerima. Begitu juga si suami yang dapat memberi apa yang diidamkan oleh isterinya ketika mengandung anak yang pertama. Ini bukti memberi lebih gembira daripada menerima.

Tetapi perlu diingat, memberi hanya akan menjadikan kita lebih gembira dengan satu syarat, memberi mestilah dengan adanya kasih sayang. Si ibu gembira ketika memberi kepada anaknya kerana adanya kasih sayang. Begitu juga si suami dan sesiapa sahaja. Tanpa kasih sayang, memberi bukan sahaja tidak dengan rasa gembira, bahkan terasa begitu merugikan. Jadi, sekiranya kita sudah tidak gembira lagi ketika memberi, itu petanda kita sudah kehilangan kasih sayang!

Memberi Akan Lebih Banyak Menerima

Kata orang, masakan yang paling enak adalah masakan ibu. Kenapa? Sebab ibu memasak penuh dengan kasih sayang. Semua dibuat semata-mata ingin “memberi” kepuasan kepada anak-anaknya. Jarang sekali seorang ibu merasa terpaksa atau terdera apabila memasak untuk anak-anaknya. Sebab itu masakan itu enak walaupun mungkin resipi atau bahannya tidak sama dengan yang disediakan tukang masak di restoran atau warung yang digemari pelanggan.

Jadi, untuk ceria, kita mesti berpegang pada prinsip “ingin memberi” bukan “ingin mendapat”. A’id al-Qarni, penulis buku La Tahzan (Jangan Bersedih) telah berkata: “Orang yang pertama mendapat manfaat daripada suatu kebaikan ialah orang yang melakukannya.”

Sebab itu beliau menganjurkan, jika kita sedih atau bermuram durja, carilah orang lain dan gembirakannya... nescaya kita akan mendapat kegembiraan semula.

Tidak susah untuk menggembirakan orang lain. Mungkin hanya dengan kata-kata, mungkin hanya dengan senyuman ataupun dengan doa. Berilah kegembiraan kepada orang lain, kegembiraan itu akan datang kepada kita semula. ‘What you give, you get back” – apa yang kita beri akan kita terima semula. Ini hukum alam sunnatullah – “what goes around, comes around.”

Sebenarnya, manfaat memberi ini turut Allah limpahkan juga kepada orang bukan Islam (satu lagi bukti menunjukkan betapa pemberinya Allah). Henry Ford, pencipta kereta yang pertama mempunyai cita-cita ingin melihat ramai orang memiliki kereta. Tetapi cita-citanya tidak dipersetujui oleh pelaburnya yang pertama. Henry Ford berfikir bagaimana hendak memberi sedangkan pelaburnya berfikir bagaimana hendak menerima. Henry Ford berfikir bagaimana hendak membuat kereta dengan kos yang murah dan dijual dengan harga yang murah supaya lebih ramai orang mampu membelinya. Sedangkan pelaburnya berfikir sebaliknya.

Henry Ford mencari pelabur yang kedua. Apabila ditemuinya, kereta mula dibuat dengan kos yang rendah dan dijual dengan harga yang murah. Akhirnya, ramai orang yang mampu membelinya. Rugikah Henry Ford? Tidak! Dia mendapat semula apa yang diberikannya. Lebih ramai orang membeli kereta bererti lebih banyak kereta terjual dan lebih banyak keuntungan yang didapatinya. Benarlah, what you give, you get back!

Berilah Kemaafan

Satu penyelidikan telah dijalankan terhadap penghuni rumah-rumah sakit jiwa. Penemuannya sangat menakjubkan. Didapati orang yang pemurah jarang menjadi penghuninya. Sekali gus ini membukti kebanyakan penghuni rumah sakit jiwa ialah orang yang kedekut – tidak mahu memberi. Mereka rasa tertekan kerana tidak disayangi atau diendahkan, tetapi mungkin mereka terlupa akan punca mereka tidak disayangi atau diendahkan. Boleh jadi mereka sebelum ini tidak terlebih dahulu menyayangi atau mengendahkan orang lain.

Dale Carnargie dalam bukunya Stop Worrying and Start Living menyatakan bahawa memaafkan kesalahan orang lain adalah seperti memaafkan diri sendiri. Hal ini kerana kemarahan kita terhadap orang lain akan lebih merosakkan diri sendiri berbanding orang yang kita marahkan itu. Percaya tak, orang yang tidak memaafkan, akan sentiasa “diikat” oleh orang yang tidak dimaafkannya. Sebaliknya, jika kita memaafkan, kita akan terlepas daripada ikatan kemarahan yang membakar diri sendiri.

Allah mengingatkan hamba-Nya dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumannya) perbuatan yang baik dan perbuatan jahat, jadi, tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih, apabila engkau melakukan demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu dengan serta mereka akan menjadi seolah –olah seorang sahabat karib.” (Surah Fussilat 41:34)

Langkah kita memaafkan orang lain termasuklah dalam erti “tolaklah kejahatan dengan sebuah kebaikan” seperti yang dituntut oleh Allah itu. Berilah kemaafan kerana manfaatnya besar untuk diri dan orang lain. Sebaliknya, tidak memaafkan meletakkan kita sebagai calon penghuni rumah sakit jiwa!

    - Berikut adalah antara kebaikan memberi maaf:
    - Hati akan lebih tenang.
    - Wajah akan bersih.
    - Semangat kerja akan tinggi.
    - Penyakit akan cepat sembuh.
    - Hidup akan menjadi berkat.
    - Murah rezeki.
    - Mendapat lebih ramai sahabat.

Anehnya, manusia masih enggan memberi sekalipun hanya memberi maaf, senyuman dan kata-kata yang baik. Mengapa? Berikut adalah antara sebab-sebab mengapa manusia enggan memberi:

    - Dia rasa dengan memberi akan mengurangkan.
    - Orang yang menerima tidak berterima kasih.
    - Tidak ada apa-apa yang hendak diberi.
    - Takut dieksploitasi & dimanipulasikan.
    - Tidak adil setelah kita penat berusaha.
    - Tidak mendapat balasan (sia-sia).

Mari kita tangani setiap alasan untuk tidak memberi itu!

RASA MEMBERI AKAN MENGURANGKAN

Sayidina Ali r.a. berkata, “Rezeki kamu adalah apa yang telah kamu gunakan dan apa yang telah kamu belanjakan ke jalan Allah.”

Apabila kita “memberi” hakikatnya kita memberi kepada kita sendiri kerana semuanya menjadi “saham” di akhirat. Ramai tokoh-tokoh korporat yang berjaya hari ini kerana niat awal mereka berniaga adalah untuk mengeluarkan zakat.

Bukankah dalam Islam memberi sebahagian harta seperti yang kerap dianjurkan oleh al-Quran, akan membersihkan dan menyuburkan harta. Metaforanya sama seperti mencabut sebahagian anak pokok sayur di atas batas. Dengan mencabut sebahagiannya, baki pokok sayur yang masih di atas batas itu akan tumbuh lebih subur dan lebat.

Sebenarnya keinginan untuk memberi juga adalah menjadi dorongan yang kuat untuk seseorang itu berusaha (mencari rezeki). Hal ini kerana untuk memberi mestilah apa yang dimiliki. Untuk memiliki kita mesti mencari. Oleh sebab itu dorongan untuk memberi itu menyebabkan kita akan berusaha dengan lebih gigih. Kita akan mengamalkan prinsip 3M dalam berusaha; Mencari, Menyimpan dan Memberi.

ORANG YANG MENERIMA TIDAK BERTERIMA KASIH

Ini lumrah alam (sunnatullah). Jika kita ingin hidup dengan majoriti manusia yang berterima kasih kita perlu berada di planet lain. Jika kita mengharapkan terima kasih atas kebaikan yang kita lakukan, nescaya kita akan sakit jiwa kerana ramai manusia tidak pandai berterima kasih di dunia ini. Jika dengan adanya ucapan terima kasih, baru kita boleh memberi, nescaya kita bukan sahaja akan kecewa bahkan sikap itu menunjukkan kita orang yang ego.

Bayangkan, Allah yang Maha Memberi pun tidak mendapat balasan terima kasih daripada hamba-Nya. Allah sendiri mengakui hakikat ini menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi, dan Kami jadikan untuk kamu padanya (berbagai-bagai jalan) penghidupan (supaya kamu bersyukur) , tetapi amatlah sedikit di antara kamu yang bersyukur.” (Surah al-‘Araf 7: 10)

Namun apakah dengan itu Allah berhenti daripada memberi? Tidak. Allah terus memberi walaupun hamba-Nya tidak pandai berterima kasih (bersyukur). Lalu siapakah kita untuk berhenti memberi hanya kerana tidak mendapat balasan terima kasih?

TIDAK ADA APA-APA YANG HENDAK DIBERI

Jangan sempitkan rezeki dengan “menyempitkan” pengertiannya. Rezeki bukan hanya wang ringgit dan harta. Jika itulah pengertiannya sudah tentu kita tidak selalu “ada” untuk memberi. Luaskan pengertian rezeki nescaya “banyaklah” rezeki kita untuk diberikan kepada orang lain. Rezeki bukan hanya berbentuk material tetapi tenaga, doa, ilmu, kata-kata yang baik, pimpinan, senyuman, malah pandangan yang baik juga termasuk rezeki. Kalau demikian, tertolaklah alasan untuk tidak memberi kerana tidak ada apa yang hendak diberikan.

BIMBANG DIEKSPLOTASI DAN DIMANUPULASI

Mesti diimbangi antara sangka baik dengan sifat berhati-hati. Jangan terlalu prasangka dan jangan pula percaya secara membuta tuli. Lihat dan telitilah dahulu berdasarkan fakta dan data-data lahiriah. Kemudian memberilah jika dirasakan hasil pemerhatian lahiriah kita, orang itu patut menerima pemberian kita.

Jangan cuba-cuba menembak hati manusia. Urusan hati orang yang menerima bukan soal kita. Sekiranya, tersilap orang pun pasti pemberian kita akan mendapat pembalasan daripada Allah, jika tidak di dunia, pasti di akhirat sudah tersedia. Jangan terlalu berhati-hati hingga jatuh ke tahap prasangka dan curiga. Relakanlah diri jika dieksploitasi dan dimanipulasikan untuk kebaikan.

TIDAK ADIL UNTUK KITA YANG BERUSAHA

Dengan apa kita berusaha? Apakah modal kita? Bukankah modal usaha kita semua daripada Allah. Tenaga, fikiran dan apa jua milik kita hakikatnya diberikan oleh Allah. Allah memberi untuk kita mudah memberi. Boleh jadi Allah memberi kepada hamba-Nya melalui saluran hamba-hamba-Nya yang lain. Jadi, kita harus sedar bahawa kita adalah “saluran” Allah untuk memberi. Oleh sebab itulah Allah menggunakan kalimah “Kami” (keterlibatan pihak lain) apabila menjelaskan tentang pemberian rezeki-Nya.

Berdasarkan itu adalah tidak terpuji sekiranya kita tidak memberi kerana sikap itu sama seperti menyekat saluran rezeki daripada Allah untuk orang lain. Hakikatnya “kepunyaan” kita yang hendak diberikan itu bukanlah kepunyaan kita tetapi kepunyaan Allah yang diperintahkan-Nya untuk diberikan kepada orang lain.

Jelasnya, manusia ialah “peminjam” bukan “pemilik”. Maka memulangkan pinjaman itu adalah adil. Sebaliknya tidak memberi itulah kezaliman yang nyata.

TIDAK MENDAPAT BALASAN

Individu yang beriman kepada Allah dan hari akhirat pasti menolak anggapan bahawa memberi tidak akan mendapat balasan. Bukankah Allah telah berfirman yang bermaksud: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam buku amalannya). Dan sesiapa yang berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam buku amalannya).” (Surah al-Zalzalah 99: 7-8)

Apa yang diharapkan balasan daripada manusia sedangkan pembalasan daripada Allah adalah lebih baik dan lebih kekal. Keyakinan kepada Allah dan hari akhirat sangat penting sebagai dorongan untuk kita memberi.

Kita harus sedar, ganjaran atas kebaikan yang kita lakukan bukan hanya di akhirat tetapi ia turut dirasai di dunia lagi. Di dunia, orang yang memberi akan mendapat “ketenangan” hati. Tidakkah itu semua akan berikan ketenangan di dunia?

Dalam sebuah hadis panjang yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi dan Ahmad, Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda tentang dialog Allah dengan para malaikat yang begitu kagum melihat penciptaan gunung, kemudian besi, kemudian api, kemudian air, kemudian angin... Malaikat bertanya: “Ya Allah! Adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih daripada semua itu?” Allah yang Maha Gagah dan Maha Dahsyat kehebatannya menjawab: “Ada, yakni amal anak Adam yang mengeluarkan sedekah dengan tangan kanannya sementara tangan kirinya tidak mengetahui.”

Walaupun hadis tersebut menjelaskan betapa pentingnya ikhlas dalam amalan, tetapi ia secara tidak langsung menunjukkan keutamaan memberi. Ya, untuk berjaya (dunia dan akhirat) kita hendaklah meneladani orang yang berjaya. Mereka semua terdiri daripada orang yang sangat komited dalam memberi.

Jika anda miskin, jangan jadikan itu sebagai alasan untuk tidak memberi. Jadilah si miskin seperti Sayidina Ali Karamallahu wajhah. Dia tetap memberi walaupun hidup dalam kemiskinan. Sesungguhnya dia sangat menyedari apa yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w. bahawa Allah cinta kepada orang yang pemurah, namun Allah lebih cintakan orang miskin yang pemurah.



sumber: SOLUSI




~~~~~ info ~~~~ iklan ~~~~ makluman ~~~~ 


No comments: