Friday, February 18, 2011

Kenangan - Pujaan Hatiku

Kenangan pada musim cuti hari raya yang lepas (2010). Aku yang sejak akhir-akhir ini, kadang-kadang sekali setahun sahaja dapat balik ke kampung, teringin untuk tinggal agak lama sikit di kampung bagi melepaskan rindu pada Abah, Ibu dan kedamaian kampungku. Keadaan sakit yang kuhidapi ini, menyukarkan aku untuk selalu balik menziarahi Abah dan Ibu, apatah lagi Abah yang kini sering sakit mungkin faktor umurnya yang terlalu tua.


Isteriku bersama Kak Yang, Kak Chik dan Aslah (anak-anakku yang kecilku) telah pulang ke KL terlebih dahulu bersama adik beradikku yang lain. Aku memujuk Angah Ali anakku dan Angah Nazir anak saudaraku agar tinggal bersamaku untuk menguruskan perihal kehidupanku ketika di kampung seperti ke tandas, mengangkat naik ke katil dan lain-lain keperluan. Dan yang paling pentingnya untuk mengangkat aku masuk ke kereta ketika hendak balik ke KL nanti. Ayob ketika itu telah sakit dan tidak larat lagi untuk menguruskan aku berseorangan.


Mereka walau berat hati, kerana ingin pergi beraya di rumah kawan-kawan mereka di KL, atas rasa simpati telah bersetuju untuk bersamaku tinggal di kampung beberapa hari lagi. Dalam keadaan bosan kerana telah tiada sepupu-sepupu mereka yang lain dan peralatan meriam tanahpun dah di kemaskan, mereka mencari-cari aktiviti untuk menghilangkan rasa bosan mereka.


Angah (Ali Saifuddin) telah mengajak sepupunya Nazir untuk mencipta lagu. Dengan 2 biji gitar mereka, mereka telah memecahkan kesunyian kampungku untuk mencipta lagu mereka. Ali dengan gitarnya mencari-cari notes muzik untuk menyesuaikannya dengan lirik yang telah di reka oleh Nazir. Aku yang menyandar di kerusi rodaku yang melihat-lihat pohon melambai serta burung-burung yang terbang bebas sekali sekala merasa terganggu oleh susunan muziknya yang aku rasakan boleh menyebabkan gegedang telingaku menjadi sakit.


"Sabar lah abi... belum siap lagi, nanti bila dah siap, barulah power lagu
kiteorang ni" mereka memberi jaminan terhadap aktiviti mereka itu. Setelah lama suasana damai desa itu aku tinggalkan, anakku telah membawa pendrive nya dan meminta aku mengeditkan video untuk lagu mereka itu...

Ketika aku
mengeditnya, boleh tahan juga budak-budak ni kata hati kecil ku... Tetapi adik-adik remaja, binalah cinta pada 'pujaan hati' dengan cara yang betul menurut Islam. Jangan sekali-kali bila ada 'pujaan hati', keluar jalan berdua-duaan hingga terjadi perkara yang dimurkai Allah.

Kalau dah habis belajar, dah kerja, ada duit, pergilah jumpa mak ayah pujaan hati itu (macam lagu Kalau Berpacaran) dan jadikan mereka keluarga yang sah mengikut jalan agama yang nantinya bakal melahirkan rasa rindu merindui, seperti apa yang aku rasa kini. Ianya lahir dari rasa hati yang mengikut panduan untuk hidup bersama seperti mana yang Islam ajarkan.

Kerana kerinduanku pada Abah, Ibu apatah lagi Emak juga lahir dari ingin memiliki 'pujaan hati'. Oleh itu, ikutlah ketetapan dan panduan agar terbinanya ikatan yang baik terhadap pujaan hati kalian dengan jalan yang di redhoi Allah...

Aku kongsikan kenangan itu dengan kawan-kawan di maya ini, lagu promo dari mereka untuk sekadar berhibur di waktu yang berkesempatan...



Terima kasih...
Pohon Maaf

No comments: