إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
“ Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat..”
Sebab-sebab turun (asbabun nuzul):
Dari Anas satu ketika Rasulullah SAW dijemput untuk melawat Abdullah bin Ubay, baginda menaiki keldainya dan diikuti oleh sekumpulan sahabat sambil berjalan. Apabila Rasulullah SAW menghampiri Abdullah bin Ubay beliau berada betul-betul di hadapan rombongan Rasulullah SAW sambil mencemuh
“Jauhkan dirimu, demi Allah, bau untamu menyakitkan hidungku”, lalu salah seorang sahabat dari golongan Ansar menjawab “Demi Allah, bau unta Rasulullah SAW adalah lebih harum dari bau mu”. Maka pergaduhan tercetus dan turunlah ayat “Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya.” ( riwayat Muslim dan Imam Ahmad ).
( Abdullah bin Ubay adalah ketua golongan munafik, dan bukanlah sesuatu yang aneh untuk golongan munafik dan musyrik menggunakan lafaz “demi Allah” di zaman Jahiliyah kerana mereka masih mengakui keesaan Allah sebagai Rabb yang berbeza cuma mereka syirik terhadap Allah dalam sembahan-sembahan mereka. )
Pengajaran ayat:
Ayat ke-10 ini adalah lanjutan kepada ayat ke-9. Ayat ini menegaskan bahawa orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara. Orang-orang yang beriman sedar bahawa konsep persaudaraan ( brotherhood ) dalam Islam itu penting dan adalah sesuatu yang ‘integral’ kepada kekuatan ummah. Ikatan persaudaraan dalam Islam haruslah diutamakan dan kedudukannya mestilah di atas ikatan-ikatan lainnya.
Ikatan persaudaraan dalam Islam adalah yang terbaik sifatnya yang merangkumi aspek kasih-sayang, tolong-menolong tanpa diskriminasi kelas, pangkat dan kedudukan juga tanpa tipu-menipu dan tindas-menindas.
Sabda Rasulullah SAW dalam beberapa buah hadis Baginda SAW mengenai persaudaraan:
Tolong menolong:
“Allah membantu hambaNya selama mana dia membantu saudaranya”
( riwayat Muslim ).
Dari Abu Musa Al-Asha’ri, Rasulullah SAW bersabda “ Orang beriman itu ibarat sebuah bangunan, setiap satu menyokong yang lainnya”
( riwayat Bukhari dan Muslim )
Kasih-sayang:
Dari Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda “Tidak beriman ( dengan iman yang sempurna ) sesiapa di antara kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya”
( riwayat Bukhari dan Muslim ).
Tidak tindas-menindas:
Dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda “ Sesiapa yang menipu kita adalah bukan di kalangan kita (muslim yang benar beriman ) ”
(riwayat Muslim).
Tidak berlama-lama dalam perselisihan faham:
Dari Abu Ayub Al-Ansari bahawa Rasulullah SAW bersabda: “ Tidak boleh seorang muslim itu memutuskan hubungan dengan saudaranya lebih dari tiga malam dengan berpaling daripadanya bila bertemu, sesungguhnya yang terbaik antara keduanya adalah yang dahulu memberi salam ”
(riwayat Bukhari dan Muslim).
Sumber - GooglePlus
-
No comments:
Post a Comment