Friday, January 10, 2014

KELAHIRAN NABI MUHAMMAD S.A.W



Abdul Muttalib adalah datuk baginda Rasulullah S.A.W, beliau adalah seorang bangsawan ternama yang mendapat amanah sebagai penjaga ka'bah. Keluarga Abdul Muttalib sering melayani orang-orang yang mengunjungi ka'bah, memberi mereka air minum dan membantu menyediakan sesuatu keperluan. Abdul Muttalib seorang yang kaya dan banyak memiliki unta dan peternak kambing. Penduduk disekitar tanah hijaz sangat menghormati beliau. 



Pada waktu Raja Abrahah dari Yaman hendak menghancurkan ka'bah kerana cemburu dengan kemasyhurannya, dan raja yang zalim itu membawa pasukan tentera bergajah, masyarakat Mekah segera berbondong-bondong mendatangi Abdul Muttalib untuk segera mengambil tindakan. Tapi Abdul Muttalib hanya diam dan hanya mempedulikan unta dan kambingnya untuk diselamatkan dari pasukan Abrahah. Dan dia mengatakan kepada penduduk Makkah, “Bahawasanya ka'bah ini memiliki Sang Pemilik dan biarkan Sang Pemilik yang menyelamatkan apa yang menjadi milik-MYA, sedangkan yang aku miliki adalah unta dan kambing maka biarkanlah aku menyelamatkan apa yang hanya menjadi milikku”.


Gambar Hiasan
Salah seorang anak Abdul Muttalib yang sangat disayanginya adalah Abdullah. Ketika umur Abdullah sudah dewasa, maka Abdul Muttalib mengahwinkannya dengan Aminah binti Wahab. Pada awal perkawinan mereka tinggal di rumah Aminah itu yang mana ianya sesuai dengan adat kebiasaan Arab bila perkawinan dilangsungkan di rumah keluarga pengantin perempuan.  Sesudah itu mereka pindah bersama-sama ke rumah keluarga Abdul Muttalib.


Abdullah bekerja sebagai pedagang, dia sering berniaga keluar dari tanah Hijaz. Tidak kurang juga dia meninggalkan isterinya selama berbulan bulan. Sebelum pulang ke Makkah, Abdullah sering singgah di Madinah,  dirumah saudara-saudaranya. Suatu waktu beliau menderita sakit dan akhirnya menemui ajalnya. Keluarga Abdul Muttalib dirundung kesedihan dan rasa pilu yang mendalam. Terutama isterinya Aminah,   kerana sedang dalam keadaan mengandung. Seorang suami yang paling dia cintai dan menjadi tempat bergantung kehidupan rumah tangganya telah pergi meninggalkan dia dan anak yang masih dalam kandungan untuk selama-lamanya. Abdullah meninggalkan beberapa ekor unta, sebilangan kambing ternak dan seorang budak bernama Ummu Aiman. Budak ini kemudiannya menjadi pengasuh Rasulullah S.A.W semasa kecil yang sangat menyayangi Rasulullah S.A.W.


Beberapa bulan kemudian Aminah melahirkan anaknya, seorang laki-laki. Berita itu segera disampaikan kepada Abdul Muttalib. Orang tua itu sangat gembira atas kelahiran cucu lelakinya tersebut. Beliau segera membawa anaknya ke ka'bah. Lama dia memandangi cucunya tercintanya itu. Dalam hati dia merasa bahawa cucunya kelak akan menjadi orang besar, seseorang yang akan menjadi ikutan masyarakat yang pada saat itu sedang dilanda wabak kemusyrikan yang sudah sangat parah. Abdul Muttalib menamakan cucunya Muhammad atau biasa dipanggil Ahmad.


Majoriti ahli tarikh berpendapat Nabi Muhammad dilahirkan pada tahun Gajah (570 Masehi). Ini adalah pendapat Ibnu Ishaq dan sebagian besar Ulama yang lain. Sahabat Ibnu Abbas mengatakan bahwa Rasulullah S.A.W dilahirkan pada hari Isnin tanggal 12 rabiul awwal.  Seminggu setelah kelahiran cucunya Abdul Muttalib menyembelih beberapa ekor unta dan mengundang makan masyarakat Makkah. Ditengah kesibukan acara berlangsung datuk Rasulullah mengumumkan nama cucu tercintanya dengan nama Muhammad.  Ramai orang bertanya kenapa anak itu tidak diberi nama seperti nenek moyangnya. Abdul Muttalib menjawab “Aku menginginkan dia akan menjadi orang yang Terpuji  bagi Tuhan di langit dan bagi makhlukNya di bumi,”


Itulah sejarah awal kelahiran Rasulullah S.A.W, seorang hamba dan utusan Allah yang menjadi Nabi akhir zaman. Lahir dalam keadaan yatim dan membesar dalam keadaan yatim piatu kerana selepas itu ibunya pula meninggal dunia.  Hidup tanpa orang tua bukan bererti tidak memiliki sesiapa. Rasulullah S.A.W ketika anak kecil lagi dikenali sebagai anak yang cekap, cerdas, jujur, amanah dan seorang yang bekerja keras. Baginda Rasulullah S.A.W sudah bekerja di awal umur 7-8 tahun. Allah telah menyiapkan seorang hamba pilihan untuk umat pilihan akhir zaman hingga ke hari ini.


Wallahua'lam


kisah-kisah nabi


-

~~~~~ info ~~~~ iklan ~~~~ makluman ~~~~ 
-

No comments: