Sunday, December 1, 2013

Pandangan Hawa yang menggoda Adam memakan buah terlarang dari kitab Taurat






Dan Kami berfirman: Hai Adam, diamilah oleh kamu dan isterimu syurga ini dan makanlah makanan yang kamu sukai dan janganlah kamu dekati pokok ini yang menyebabkan kamu termasuk orang zalim" (Surah al-Baqarah-ayat 35)




Soalan:

Saya ingin kepastian daripada ustaz mengenai kisah Adam dan Hawa di syurga. Adakah benar Hawa yang memujuk Adam supaya makan buah khuldi sehingga mereka terusir dari syurga kerana ada penceramah membuat hujah itu seolah-olah merendahkan wanita.

Shima,Lembah Keramat, Kuala Lumpur.


Jawapan:

Pendapat yang ditanya oleh saudari mengenai wanita yang harus bertanggungjawab atas kesengsaraan hidup manusia dengan mengatakan Hawa yang menggoda Adam supaya memakan buah terlarang adalah pendapat tidak tepat.

Sumber pendapat ini ialah kitab Taurat dengan segala penambahan. Ini pendapat yang diimani oleh kaum Ya hudi dan Nasrani serta sering menjadi bahan rujukan pemikir, penyair serta penulis mereka. Bahkan ramai juga penulis Muslim yang bertaklid buta dengan pendapat itu.


Namun bagi orang yang membaca kisah Adam dalam al-Quran yang ayatnya (mengenai kisah itu) terhimpun dalam beberapa surah, tidak akan bertaklid buta, sebaliknya akan mengambil kisah itu secara fakta.

Pertama, taklif Tuhan untuk tidak memakan buah terlarang itu ditujukan kepada Adam dan Hawa, bukan Adam saja. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Kami berfirman: Hai Adam, diamilah oleh kamu dan isterimu syurga ini dan makanlah makanan yang kamu sukai dan janganlah kamu dekati pokok ini yang menyebabkan kamu termasuk orang zalim.” (Surah al-Baqarah, ayat 35)

Syaitan punca segalanya

Mendorong dan menyesatkan kedua-duanya dengan tipu daya, pujuk rayu, sumpah palsu ialah syaitan seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “Lalu kedua-duanya digelincirkan oleh syaitan dari syurga itu dan dikeluarkan daripada keadaan semula.” (Surah al-Baqarah, ayat 36)

Dalam surah lain terdapat keterangan terperinci mengenai tipu daya dan pujuk rayu syaitan iaitu firman Allah SWT yang bermaksud: “Setelah itu maka syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata: Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana ia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang yang kekal (selama-lamanya di dalam syurga). Dan ia bersumpah kepada keduanya (dengan berkata): Sesungguhnya aku adalah daripada mereka yang memberi nasihat kepada kamu berdua. Dengan sebab itu dapatlah ia menjatuhkan mereka berdua (ke dalam larangan) dengan tipu da yanya. Selepas mereka memakan (buah) pohon itu, terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun (dari) syurga serta Tuhan mereka menyeru mereka: Bukankah Aku telah melarang kamu berdua daripada pokok itu, dan Aku katakan kepada kamu, bahawa syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata? Mereka berdua merayu: Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya jadilah kami daripada orang yang rugi.” (Surah al-A’raf, ayat 20-23)

Adam bertanggungjawab

Surah Taha menceritakan bahawa Adam yang pertama kali diminta bertanggungjawab di atas pelanggaran itu, bukan Hawa, kerana itu, peringatan daripada Allah SWT ditujukan kepada Adam sebagai prinsip dan secara khusus.

Kekurangan itu dinisbahkan kepada Adam yang juga dipersalahkan kerana pelanggaran itu. Meskipun isterinya bersama melakukan pelanggaran, namun petunjuk ayat mengatakan peranan Hawa tidak seperti peranan Adam dan Hawa makan serta melanggar kerana mengikuti Adam.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan demi sesungguhnya, Kami telah berpesan kepada Adam pada masa lalu, tetapi ia lupa; dan Kami tidak mendapatinya mempunyai keazaman yang teguh. Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam, lalu mereka sujud, melainkan Iblis, ia enggan sujud. Maka, Kami berfirman: Wahai Adam, sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu dan bagi isterimu; oleh itu, janganlah ia menyebabkan kamu berdua keluar dari syurga, kerana dengan yang demikian engkau (dan isterimu) akan menderita. Sesungguhnya telah dikurniakan berbagai nikmat bagimu, bahawa engkau tidak akan lapar dalam syurga itu dan tidak akan bertelanjang. Dan sesungguhnya engkau juga tidak akan dahaga dalam syurga itu, dan tidak akan berasa panas matahari. Setelah itu maka syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata: Wahai Adam, mahukah, aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap? Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mula menutupnya dengan daun-daun dari syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (daripada mencapai hajatnya). Kemudian Tuhannya memilihnya (dengan diberi taufik untuk bertaubat), lalu Allah menerima taubatnya serta diberi petunjuk.” (Surah Taha, ayat 115-122)

Al-Quran telah menegaskan bahawa Adam diciptakan oleh Allah untuk suatu tugas yang sudah ditentukan sebelum diciptakannya. Malaikat pada waktu itu sangat ingin mengetahui tugas berkenaan, bahkan mereka mengira bahawa mereka lebih layak daripada Adam.

Perkara seperti ini sudah disebutkan dalam beberapa ayat dalam surah al-Baqarah sebelum Allah SWT menyebutkan ayat-ayat yang membahaskan tempat tinggal Adam dalam syurga dan memakan buah terlarang.



http://oaa-microsystem06.blogspot.com/2011/05/kursus-baiki-komputer.html



No comments: