Tuesday, December 17, 2013

HUKUM KELUAR BERJALAN-JALAN DENGAN TUNANG


Soalan : Apakah hukumnya seseorang yang baru bertunang keluar berdua-duaan tanpa ada mahramnya?

Jawapan :


Peminangan adalah melahirkan keinginan untuk berkahwin atau permintaan dari seorang lelaki kepada seorang perempuan untuk mengahwininya, sama ada dilakukan oleh lelaki itu secara langsung atau tidak langsung iaitu dengan perantaraan orang lain yang boleh dipercayai sesuai dengan ketentuan agama.

Jelas di sini bahawa ikatan perkahwinan adalah tanda keinginan seorang lelaki kepada seorang perempuan untuk mengahwininya dengan ikatan perkahwinan yang sebenar. Sebenarnya ikatan perkahwinan ini tiada istilah yang membolehkan mereka keluar berdua-duaan walaupun berjumpa seketika untuk menyampaikan sesuatu hasrat yang terpendam atau sebaliknya.

Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya, "Janganlah seorang lelaki berdua-duaan dengan wanita, sesungguhnya yang ketiga di antara mereka berdua adalah syaitan." (Hadis Riwayat Imam Ahmad).

Dapat difahami bahawa Islam tidak membenarkan pasangan lelaki dan perempuan yang sudah bertunang atau belum bertunang berjumpa berdua-duaan walaupun dalam apa jua alasan. Sebab ini akan menimbulkan fitnah dan buruk sangka orang ramai terhadap pasangan tersebut. Bagi pendapat saya, jumpa walaupun membincangkan hal-hal penting pun juga tidak boleh dan haram, kerana dikuatiri perbuatan tersebut dapat menghampiri zyna. Jika tidak menghampiri zyna, maka ia akan berlaku fitnah di atas perempuan atau pasangan tersebut dengan mengatakan bahawa perempuan atau pasangan tersebut tidak mempunyai maruah. Adakah anda suka orang awam mengatakan anda tidak mempunyai maruah? Kalau tidak suka, maka jangan berjumpa berdua-duaan di tempat tersembunyi atau di tempat awam. 

Firman Allah yang bermaksud : “Perempuan-perempuan Yang soleh itu ialah Yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan Yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua Yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, Dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya.” (Surah An-Nisa ayat 34)

Wanita yang soleh adalah wanita yang memelihara kehormatannay sebagai seorang wanita yang suci dan tidak pernah difitnah disebabkan perbuatannya atau keluar berdua-duaan dengan lelaki atau tunangnya. Janganlah mencari 1001 alasan untuk menghalalkan perbuatan yang memang jelas di dalam Islam adalah haram sepertimana keluar berdua-duaan kononnya untuk membincangkan sesuatu masalah, hanya pergi membeli belah dan sebagainya. Allah sangat membenci orang yang sentiasa mencari jalan untuk menghalalkan perkara yang haram. Jelas bahawa yang haram itu jelas dan yang halal itu jelas dan tidak ada perkara yang perlu dipertikaikan lagi.

Menurut pandangan Dr.Yusof Al Qardawi dalam Fatawa Muasoroh (fiqh kontemporari) mengatakan bahawa :

“Selama mana akad kahwin (ijab dan qabul) belum ditunaikan oleh tunang laki dan tunang wanita (belum sah nikah/kahwin mereka mengikut 'uruf-adat, syarak dan undang-undang), maka keadaan masih seperti hukum asal.”

Hukum asal yang dimaksudkan oleh Dr. Yusof Al-Qardawi dalam masalah ini ialah seperti berikut :

Tidak halal dan haram bagi makhtubah (tunang wanita) untuk berkhalwat(berdua-duaan sehingga menimbulkan fitnah) dengan khatibnya (tunang lelaki) kecuali bersama-sama mahtubah (tunang wanita) itu ada salah seorang mahramnya seperti ayahnya atau abangnya
.
Tidak halal dan haram bagi makhtubah (tunang wanita) untuk bermusafir atau melancong dengan khatibnya (tunang lelaki) kecuali bersama-sama mahtubah (tunang wanita) itu ada salah seorang mahramnya seperti ayahnya atau abangnya.

Kesimpulan dari fatwa yang dikeluarkan oleh tokoh ulama moden iaitu Syeikh Dr. Yusof Al-Qardawi menyatakan haram sama sekali bagi pasangan lelaki dan perempuan yang belum bertunang atau sudah bertunang berdua-duaan tanpa teman dari orang yang mahram dengannya seperti ibu, ayah, kakak, abang atau sebagainya. Perlu bawa teman dari mahramnya adalah untuk mengelakkan dari berlakunya maksiat atau fitnah orang terhadap pasangan tersebut. Bahaya fitnah ini, kerana disebabkan fitnah manusia boleh berbunuhan antara satu sama lain, disebabkan fitnah juga suami dan isteri boleh bercerai dan sebabkan fitnah juga pasangan bertunang tersebut akan binasa.

Jika ada apa-apa perkara yang ingin dibincangkan, bolehlah melalui talifon, YM, Facebook dan sebagainya, malah teknik ini dapat mengelakkan lagi dari melakukan maksiat dan sebagainya. Jadikan teknologi itu sebagai manfaat untuk orang yang dah bertunang untuk saling kenal mengenali antara satu sama lain. Tapi ingat jangan sampai laqa (lalai) sehingga boleh menyumbang kearah maksiat. Gunakan kebijakkan akal yang Allah anugerahkan kepada manusia untuk bertinda berdasarkan pemikiran yang positif dan berlandaskan hukum Allah. Paling baik sekali, panggil tunang lelaki datang kerumah ketika mana ibu dan ayah ada di rumah dan berbincanglah di depan ibu dan bapa, hal ini lebih berkesan untuk menjauhkan lagi dari perbuatan menghampiri keterlanjuran zyna atau maksiat. Bila setiap perkara tidak membelakangi kedua ibu bapa, maka itu merupakan tanda reda ibu bapa dan apabila memperolehi reda ibu bapa, maka itu merupakan reda Allah.

Jawapan oleh = Ustaz Abu Basyer



No comments: