Sunday, December 1, 2013

Ditikam ketika lawan peragut

KUALA TERENGGANU - Tindakan berani seorang lelaki warga Bangladesh melawan dua peragut yang cuba meragut beg duit miliknya menerima padah apabila dia ditikam di bahagian kepala.

Kejadian berlaku di tepi jalan berhampiran klinik 1 Malaysia Kubang Parit, di sini, kira-kira jam 6.30 petang, Rabu lalu.

Menurut sumber, sebelum kejadian, mangsa, 30-an bersama seorang rakan senegaranya dalam perjalanan pulang ke rumah kongsi mereka di tapak projek Taman KP Perdana Kubang Parit, di sini, selepas membeli barang di sebuah kedai runcit berhampiran.

“Sejurus tiba di lokasi kejadian, secara tiba-tiba dua sahabat itu telah dihampiri dua lelaki tempatan yang menunggang sebuah motosikal sebelum bertindak menahan mereka sambil berlagak seperti pihak berkuasa dengan meminta pasport.


“Disebabkan ketakutan, mangsa dan rakannya itu telah menyerahkan pasport kepada salah seorang suspek,” katanya.

Bagaimanapun, semasa hendak mengeluarkan pasport, seorang lagi suspek telah merampas beg duit di tangan mangsa.

“Terkejut dengan tindakan pantas itu, mangsa bertindak melawan bagi menyelamatkan beg duitnya, namun dalam pergelutan itu, mangsa ditikam sebanyak tiga kali di bahagian kepala dengan pisau sebelum ditolak sehingga jatuh.

“Mangsa yang dalam kesakitan ditinggalkan begitu sahaja oleh suspek yang melarikan diri selepas berjaya merampas beg duit milik mangsa,” katanya.

Susulan kejadian, mangsa bukan sahaja terpaksa menanggung kesakitan akibat cedera di bahagian kepala dan tangan, malah dia turut menanggung kerugian wang tunai kira-kira RM230.

Mangsa pada mulanya telah dihantar mendapatkan rawatan di Klinik 1 Malaysia Kubang Parit, tetapi disebabkan keadaan lukanya yang agak parah, dia dihantar menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian dan kes sedang dalam siasatan.


sumber - Sinar Harian 


-
http://oaa-microsystem06.blogspot.com/2011/05/kursus-baiki-komputer.html

No comments: