Shah Alam, 22 Nov - Seorang suri rumah warga Iran hari ini terlepas hukuman mati manakala suaminya, seorang pengetua sekolah di Iran, ke tali gantung berhubung kesalahan mengedar dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dua tahun lepas.
Hakim Datuk Ahmadi Asnawi membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes terhadap Soraiya Mosafer Mardali, 32, namun pembelaan suami wanita itu, Kazem Hamidpoor Abolghasem, 33, gagal menimbulkan keraguan yang munasabah.
Dalam penghakimannya, Ahmadi berkata beliau meminda pertuduhan Soraiya kerana pendakwaan gagal membuktikan tertuduh mengedar dadah berada dalam bagasinya.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun ke atas Soraiya selepas meminda pertuduhan terhadapnya kepada memiliki dadah mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara antara lima dan 30 tahun serta minimum 10 kali sebatan.
Ahmadi juga menyifatkan Soraiya bernasib baik kerana hukuman sebat dikecualikan bagi pesalah wanita.
Mengikut pertuduhan, Soraiya didakwa memiliki 890 gram methamphetamine di KLIA pada 4 petang 6 Mac 2011 manakala Kazem didakwa mengedar 440.28 gram methamphetamine pada waktu, tempat dan tarikh yang sama.
Peguam Hasshahari Johari Mawi merayu agar Soraiya tidak dijatuhkan hukuman pemenjaraan yang lama kerana kos akan ditanggung pembayar cukai di Malaysia dan tertuduh juga sudah ditahan reman selama dua tahun serta menyesal dengan perbuatan itu, yang mengakibatkan keruntuhan perkahwinannya.
Timbalan Pendakwa Raya Aidatul Azwa Zainal Abidin pula memohon mahkamah mengenakan hukuman berat kerana berat dadah yang dimiliki melebihi 800 gram.
Sementara itu, dalam satu kes lain, Ahmadi menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang pemandu teksi warga Iran kerana mengedar dadah di KLIA tiga tahun lepas.
Mikaeil Safari, 39, didakwa mengedar 752.8 gram methampetamine di KLIA pada 3.30 petang 15 Nov 2010.
Ahmadi menjatuhkan hukuman itu selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap tertuduh melampaui keraguan yang munasabah. Mikaeil diwakili peguam Azihan Adnan. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment