Saturday, October 12, 2013
Dunia Itu Penjara Bagi Orang Yang Beriman Dan Syurga Bagi Orang Kafir
Soalan : Di dalam satu ceramah agama seorang ustaz ada membaca sepotong hadis nabi yang berbunyi : " Dunia itu penjara bagi orang yang beriman dan syurga bagi orang kafir." Bolehkah ustaz huraikan maksud hadis tersebut?
Jawapan :
Memang benar terdapat satu hadis Nabi SAW yang bermaksud : " Dunia itu penjara bagi orang yang beriman dan syurga bagi orang kafir."(Hadis Riwayat Ahmad, Muslim, dan At-Tirmidzi dari Abu Hurairah. Sahih Al-Jami' - 3412)
Hidup di dunia ini adalah medan ujian untuk orang-orang yang beriman. Hidup di dunia adalah sementara waktu sahaja kerana setiap masa terikat dengan peraturan dan syariat yang telah ditetapkan oleh Allah SWT . Keadaan yang dikawal dengan undang-undang dan hukum-hakam dan tidak boleh lari daripada peraturan yang ditetapkan adalah dianggap sebagai penjara.
Jika kita lihat suasana hidup dipenjara tidaklah sama semasa hidup bebas diluar penjara, kerana dipenjara setiap masa dikawal dengan undang-undang , ada warden yang sentiasa mengawasi setiap banduan, waktu untuk makan, bermain, tidur semuanya ada masa-masa yang telah ditetapkan dan setiap banduan diwajibkan untuk mematuhinya.
Di dunia ini adalah syurga untuk orang kafir kerana mereka bebas membuat apa saja yang dapat memuaskan hawa nafsunya. Bagi mereka tidak ada yang haram semuanya boleh belaka seperti berzyna, minum arak, menipu, main judi dan bersekedudukan tidak halangan dan peraturan yang menyekatnya. Di hari akhirat nanti mereka tidak berpeluang memasuki syurga sebaliknya akan dimasukkan ke dala neraka Jahanam.
Orang beriman tidak mengenal letih, putus asa dan kecewa dalam melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Dunia tempat bekerja bukan tempat rehat. Oleh itu kalian mesti gigih melaksanakan amal soleh, memperbanyak kan amal ibadah, meningkatkan ilmu fardu ain dan menyampaikannya, berdakwah dan berjihad di jalan Allah SWT.
Ingatlah! Dunia tempat menanam, akhirat tempat menuai. Waktu menanam memanglah susah, tidak semudah waktu menuai. Tetapi tanpa melalui kesusahan, kita tidak akan dapat menikmati kesenangan. Jangan sekali-kali mengikut ajakan syaitan dan godaan nafsu menyuruh berbuat jahat dan kemungkaran. Seorang mukmin tahu dengan yakin, dunia bukan negeri yang mulia. Tempat sekadar persingahan yang sementara.
Abu Said meriwayatkan, Rasullullah SAW bersabda : "Nabi Musa a.s. berkata : "Wahai Rabb, sungguh engkau telah menutup dunia untuk hamba-Mu yang beriman!"
Lalu Allah SWT membukakan salah satuu pintu syurga seraya berfirman maksudnya : "Inilah yang Ku- persiapkan untuknya"
Nabi Musa a.s. berkata : "Demi kemuliaan dan keagungan dan ketinggian kedudukan-Mu, andaikan ada orang yang dipotong kedua tangan dan kakinya lalu diseret wajahnya semenjak Engkau menciptakannya sampai hari kiamat, kemudian ini (syurga) ialah tempat kembalinya, tentu seakan ia sama sekali tak ingat lagi akan seksaan."
Nabi Musa a.s. berkata : "Wahai Rabb, sungguh engkau memberi kenikmatan kepada orang kafir..." Lalu Dia membukakan untuknya salah satu pintu neraka, seraya berfirman maksudnya : "Inilah yang Ku-persiapkan untuknya."
Nabi Musa a.s. berkata : "Wahai Rabb, Demi Kemuliaan-Mu, andai Engkau berikan kepadanya dunia beserta isinya, dan ia seperti itu terus sejak Engkau menciptakannya sampai hari kiamat, kemudian ini (neraka) ialah tempat kembalinya, maka seakan ia tak pernah merasakan kebaikan sama sekali'."(Hadis Riwayat Ad-Dailami dengan sanad shahih Abu Said)
Oleh : Ustaz Abu Basyer, Kuala Selangor
BERIKLAN SAMBIL MEMBANTU PERNIAGAAN ORANG CACAT - KLIK
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment