Saturday, October 12, 2013

Apa Sikap Anda Ketika Di Maki Hamun ?

ABU Hurairah dan Said Al-Magburi R.A meriwayatkan: "Ada seseorang lelaki memarahi Saidina Abu Bakar R.A. Ketika itu Rasulullah SAW duduk di sebelahnya. Nabi SAW diam saja, begitu juga Sayidina Abu Bakar R.A. Selepas orang itu selesai memaki hamun dengan mengeluarkan kata-kata kesat, Sayidina Abu Bakar R.A membalas makian itu, tetapi Rasulullah SAW bangun dan beredar dari situ. Sayidina Abu Bakar R.A hairan dan terus mengekori Nabi Muhammad SAW sambil berkata:"Ya Rasulullah SAW, dia memaki saya dan engkau pula diam. Ketika saya menjawab maki hamun itu, tiba-tiba engkau bangun lalu pergi".

Rasulullah SAW lantas menjawab: "Sesungguhnya malaikat mengembalikan semua makian orang itu kepadanya ketika engkau diam, tetapi ketika engkau membalas makian itu, maka malaikat pergi dan syaitan pula masuk dan saya tidak suka duduk bersama syaitan".

Rasulullah SAW kemudian bersabda lagi: "Allah akan memuliakan hamba-Nya ketika sedang dianiaya lalu memberikan kemaafan sambil mengharapkan keredaan Allah".

Abu Said al-Khurdi pula berkata: Rasulullah SAW ada bersabda: "Awaslah kamu daripada sifat marah kerana marah itu menyalakan api dalam hati anak Adam.  "Maka sesiapa yang berasakan demikian ketika berdiri, hendaklah dia duduk dan jika dia duduk hendaklah ia berbaring".

Abu Hurairah al-Bahili berkata bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: "Sesiapa yang pemarah tetapi dapat menahan marahnya dengan sabar, maka Allah akan mengisi hatinya dengan keredaan pada hari kiamat."

Hadis Sayidatina Aisyah r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap orang Islam yang tercucuk duri atau lebih dari itu, dia akan dicatatkan satu darjat untuknya disebabkan musibah yang menimpanya itu dan dihapuskan daripadanya satu kesalahan disebabkan musibah tersebut.


-UKAZ


KLIK UNTUK SUMBANGAN PENGENDALIAN BLOG YANG DIKENDALIKAN OLEH WARGA OKU-




No comments: