Wednesday, September 4, 2013

KENAIKAN HARGA MINYAK : HADIAH BN KEPADA RAKYAT

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS





Parti Islam SeMalaysia (PAS) melihat bahawa kenaikan harga minyak yang bermula pada hari ini 3 September 2013 adalah siri pemberian hadiah kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat kerana mengundi BN. Rakyat telah dinafikan hak demokrasi yang sebenar melalui penipuan dan penyelewengan proses pilihanraya, sehingga hak untuk beramal dan mengamalkan logik dalam demokrasi tertutup. Hasil penyelewengan inilah maka rakyat ditipu untuk menolak tawaran PR yang jauh lebih berkebajikan, termasuk menurunkan harga minyak.

Kenaikan terbaru harga minyak ini adalah sesuatu yang pelik. Ini kerana hasil penelitian PAS, tidak berlaku trend kenaikan harga minyak mentah sejak 2 tahun lalu. Malah kuota pengeluaran Pertubuhan Negera Pengeluar Minyak (OPEC) tidak menunjukkan perubahan. OPEC mengekalkan kuota pengeluaran pada 30 juta tong sehari dan trend ini kekal sejak 2 tahun lalu. Ini ditambah dengan pengeluaran Shale Oil yang semakin meningkat dari Amerika Syarikat yang kini mengeluarkan 7 juta tong sehari dari simpanan Shale Oil. Kadar pengeluaran ini dilaporkan akan terus meningkat ke 9 juta tong sehari dalam tempoh terdekat. Sebagai pengimpot dan pengguna minyak terbesar dunia, sudah pasti ini akan menstabilkan lagi pasaran minyak dunia lantas harga minyak pasti lebih mapan. Berdasarkan fakta ini, tidak logik Malaysia menaikan harga minyak kerana tidak wujud suasana tekanan pasaran.

Sebenarnya tindakan kerajaan BN ini didorong antara lainnya adalah untuk menampung pembelanjaan kerajaan yang semakin meruncing akibat pembaziran PRU13 dan beban hutang kerajaan yang semakin parah. Ini disahkan oleh tindakan penarafan menurun terkini Fitch Rating terhadap kadar hutang negara.

Jelaslah kerajaan BN bertindak dengan meletakkan kebajikan dan kepentingan rakyat di tempat yang paling bawah. Rakyat seharusnya mengambil pengajaran dari apa yang berlaku dan melihat jauh apakah nasib negara sekiranya terus berada di bawah pemerintahan korup BN. PAS akan bertindak dengan membincangkan dengan segera apakah yang boleh dilakukan dalam masa terdekat ini dalam usaha mengurangkan beban hidup rakyat yang amat terkesan dari kenaikan harga minyak ini.

3 Sept 2013/ 27 Syawal 1434H.


-

1 comment:

Irfa said...

sy mmg x pandai bab politik, nak ulas lagilah tak reti.cuma terfikir, kalau pihak satu lagi menang, konfem ke minyak turun? sy x sabar tggu pilihan raya akan dtg ;)