Tuesday, September 3, 2013

Pam minyak dilanggar, akibat kecoh isi minyak


Akibat kenaikan harga minyak malam tadi, kekecohan berlaku di seluruh negara sehingga menyebabkan sebuah pam minyak di Batu Buruk, Kuala Terengganu dilanggar.

Dalam kejadian itu, sebuah kereta terlanggar pam minyak di stesen berkenaan menyebabkan kaca dan plastik bertaburan.

Petang semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kenaikan harga minyak RON95 dan Diesel sebanyak 20 sen lagi menjadikannya masing-masing RM2.10 dan RM2.00 seliter.

Ia bakal diikuti oleh kenaikan harga tarif elektrik dan juga pelaksaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) selepas ini.

Ekoran itu, pengguna menyerbu stesen minyak di seluruh negara menyebabkan kekecohan berlaku sehingga tengah malam tadi.

Menurut saksi, kejadian di Batu Buruk itu berlaku ketika semua berebut-rebut untuk mengisi minyak selepas pengumuman mengenai kenaikan harga itu.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataannya , berkata kerajaan BN perlu menggunakan kuasa yang ada bagi mengawal kenaikan harga barangan khususnya selepas kenaikan harga minyak yang diumumkan Perdana Menteri semalam.

Katanya, rakyat sanggup bersusah-payah bersama kerajaan kalau kerajaan menunjukkan pembetulan pada sikap borosnya yang keterlaluan.

"Malangnya ini bukan kesnya. Kenaikan harga minyak ini mesejnya mudah iaitu rakyat mesti ubah gaya hidup, kerajaan boleh terus berboros,” katanya.

 – 3 September, 2013.

sumber - yahoo news

No comments: