Wednesday, September 25, 2013
Doa Sahabat Kepada Sahabatnya Yang Berjauhan Mustajab di Sisi Allah SWT
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Apabila manusia terdedah kepada bahaya fitnah, saling mencela, berprasangka buruk atau menghina secara terang-terangan maka akan rosaklah kehidupan yang asalnya aman dan damai. Justeru itu strategi paling berkesan bagi menghindari maksiat lisan sebagaimana diajarkan oleh baginda Nabi SAW ADALAH melalui penyaksian Ummul Mukminin Aisyah yang berkata:"Sesungguhnya Rasulullah sentiasa berzikir kepada Allah setiap saat." (Hadis Riwayat Muslim).
Alangkah eloknya apabila kita boleh memujuk diri dan membulatkan tekad untuk sentiasa basahkan lidah dengan berzikir seperti mana amalan Nabi SAW.
Walaupun tujuan sebenarnya zikir ialah untuk menghadirkan Allah SWT pada setiap perbuatan, supaya lurus segala amal zahir dan batin, amalan zikrullah juga diyakini boleh menyibukkan lidah dan hati sehingga keduanya tidak berpeluang melakukan maksiat. Supaya hatinya terhindar daripada prasangka buruk dan was-was diatas persahabatan yang terjalin.
Sahabat yang dimuliakan,
Pertautan hati atau roh sangat penting dalam memelihara perpaduan dan kasih sayang di antara sahabat. Atas sebab inginkan keselamatan diri dan keselamatan sahabatnya yang lain maka orang mukmin seringkali saling mendoakan sahabatnya. Seringkali mengharapkan sahabatnya itu diampuni oleh Allah SWT dan ditinggikan darjat. Malah orang mukmin yang soleh tidak pernah hanya berdoa untuk dirinya sendiri sahaja tetapi disamping dia berdoa untuk dirinya dia tidak akan lupa mendoakan sahabat-sahabatnya. Mereka berpegang kepada maksud hadis Qudsi, "Barangsiapa mendoakan saudaranya Allah SWT kabulkan doa itu untuk dirinya dan saudaranya sebelum dia mengangkat tangan untuk berdoa."
Salah satu doa yang mustajab di sisi Allah SWT adalah doa seorang sahabat kepada sahabatnya dikejauhan yang keduanya saling bertemu dan berkasih sayang hanya mengharap reda Allah SWT. semata-mata.
Persahabatan dalam Islam adalah persahabatan kerana Allah SWT. Bertemu dan berpisah semata-mata kerana Allah SWT untuk menjalankan kewajipan dakwah untuk amar makruf nahi mungkar. Doa di antara dua sahabat yang berkasih sayang dan menjalin ukhwah Islamiah adalah makbul disisi Allah SWT.
Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Nabi SAW. bersabda yang bermaksud :
"Doa seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain kerana Allah dalam tempat yang berjauhan diterima oleh Allah SWT." (Hadis Riwayat Muslim)
Orang mukmin sentiasa berbaik sangka sesama sahabatnya, persahabatan yang terjalin kerana ikatan kasih sayang kerana Allah SWT. Semasa dia berdoa untuk dirinya sendiri dia akan masukkan bersama doa itu untuk kebaikan sahabat-sahabatnya. Salah satu doa yang sangat makbul ialah mendoakan kepada sahabatnya yang berjauhan.
Kalau kita mempunyai sesuatu hajat maka panjatkan doa kita itu kepada Allah SWT dan panjatkan juga doa kita untuk sahabat yang lain.Saling menghadiahkan doa ini akan bertambah menambat hati antara sesama sahabat. Sayidina Umar Al Khattab sangat-sangat bersyukur, berterima kasih dan menghargai rakyatnya yang menghadiahkan doa untuk dirinya dan beliau pula membalas dengan berdoa pula kepada rakyat beliau.
Orang mukimin sangat kuat berusaha membaiki diri, menghilangkan segala sifat mazmumah dan menyuburkan sifat-sifat mahmudah. Apabila kalian sama-sama membaiki diri dan dilakukan berterusan tentulah sama-sama mahukan kebaikan dan kedudukan di sisi Allah SWT. Membaiki diri untuk mencari darjat yang lebih baik di sisi Allah SWT itu akan secara otomatik memperelokkan hubungan dan ikatan sesama manusia.
Ini yang disabdakan oleh Rasulullah SAW maksudnya "Barangsiapa membaiki hubungannya dengan Allah maka Allah akan menyempurnakan hubungannya dengan manusia. Barangsiapa memperbaiki apa yang dirahsiakannya (hati/roh) maka Allah akan memperbaiki apa yang dilahirkannya (terang-terangan)." (Hadis Riwayat Al Hakim)
Sahabat yang dihormati,
Allah SWT akan pertemukan di antara ibu bapa , suami isteri dan anak-anak dan ahli keluarga yang beriman dan layak memasuki syurga ke dalam syurga-Nya. Mereka akan berbahagia sesama ahli keluarga yang besar. Selain daripada itu Allah SWT akan pertemukan pula sahabat-sahabat yang baik dan jujur semasa di dunia ke dalam syurga-Nya.
Memang ada keterangan daripada hadis menunjukkan bahawa syurga ada pasar. Akan tetapi pasar syurga itu bukanlah tempat berjual beli. Pasar syurga adalah tempat pertemuan dan perkenalan ahli syurga. Di sana mereka saling bercerita mengenai kehidupan semasa di dunia sehingga memperoleh kenikmatan syurga yang abadi.
Imam at-Tirmizi meriwayatkan daripada Said bin Musayyab yang bermaksud: Bahawa sesungguhnya ia (Ibnu Musayyab) bertemu dengan Abu Hurairah pada suatu hari.
Maka Abu Hurairah berkata kepadanya: "Aku mohon kepada Allah untuk dikumpulkan-Nya antara aku dan engkau di pasar syurga". Maka berkatalah Said: "Apakah di syurga ada pasar?" Jawabnya: "Ya, ada".
Dalam riwayat yang lain pula menyebut (yang bermaksud): "Sesungguhnya dalam syurga itu ada pasar yang tidak ada padanya jual beli. Akan tetapi apabila sampai ahli syurga di dalamnya, duduklah mereka bersandar di atas mutiara lembut dan tanah dari kasturi. Ketika itu mereka saling berkenalan dalam syurga seperti mereka di dunia. Mereka saling menyebut mengenai ibadat mereka terhadap Tuhan dan bagaimana keadaan mereka menghidupkan malam dengan sembahyang dan berpuasa pada siang hari. Bagaimana kefakiran di dunia serta kekayaannya dan bagaimana keadaannya mati".
Begitulah keadaan pasar di syurga berbeza dengan pasar di dunia. Ahli syurga bertemu di pasar itu pada Jumaat dan keadaan penghuni syurga semakin hari semakin cantik. Hadis riwayat Muslim daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud) : "Sesungguhnya di syurga ada pasar yang dikunjungi penghuninya setiap Jumaat, lalu bertiuplah angin dari arah utara yang menerpa wajah dan pakaian mereka, sehingga mereka semakin tampan (cantik) itu, lalu keluarga mereka berkata: "Demi Allah kamu semakin cantik". Mereka menjawab:"Demi Allah kamu juga semakin bertambah cantik setelah kami tinggal pergi".
Di harapkan semua sahabat-sahabat yang baik dan mulia hatinya , sanggup membantu sahabat lain yang memerlukan pertolongan, yang soleh dan solehah di internet ini akan menjadi sahabat-sahabat yang dirahmati Allah SWT di syurga nanti .Kerana setiap kebaikan yang kita lakukan tidak akan disia-siakan oleh Allah SWT.
Ulama' Salaf ada memberi pesanan :
"Carilah banyak sahabat, kerana sesungguhnya tiap-tiap mukmin itu mempunyai syafaat.Maka semoga engkau dapat masuk ke dalam syafaat sahabatmu. Orang-orang beriman dan beramal soleh dapat memberi syafaat (pertolongan) kepada sahabat-sahabatnya dan membawa masuk kedalam syurga. Dikatakan juga , apabila Allah SWT mengampunkan dosa seseorang, maka orang tersebut akan dapat memberi syafaat kepada sahabat-sahabatnya."
Persahabatan yang ikhlas akan diuji oleh Allah SWT dan sesiapa yang lulus ujian ini akan menjadi sahabat semata-mata kerana Allah SWT. Sahabat yang terpilih ini di antara mereka doa mereka cukup mustajab disisi Allah SWT. Mereka bukan sahaja menjadi sahabat ketika di dunia sahaja tetapi yang lebih utama mereka akan bersahabat dihari akhirat dan bertemu disyurga Allah SWT seluas langit dan bumi.
Hakikatnya syurga adalah tempat nikmat yang kekal. Penghuninya memperoleh kemuncak nikmat yang tidak dapat dibayangkan. Untuk memperoleh syurga Allah bukanlah suatu yang mudah sebagaimana yang disangka sebahagian orang dengan hanya semata-mata mengakui beriman seperti yang diwarisi oleh datuk nenek moyang kita.
Bukan semata-mata mengerjakan amal ibadat seperti gerak geri sembahyang, menahan dari makan dan minum pada Ramadan, boleh mendapat balasan baik disyurga , tetapi apabila hati tidak dijaga penuh dengan hasad dengki, perasaan dendam, riak, takbur, mulutnya tidak putus-putus berdusta, mengumpat dan membuat fitnah, dan sikapnya memperhambakan diri kepada apa saja yang boleh memenuhi kemahuan nafsunya, maka sikap seperti ini tidak akan melayakkan diri untuk masuk syurga Allah SWT. Dari itu perlulah kita buangkan sifat-sifat mazmumah ini.
Sesiapa yang demikian keadaannya, jauh sekali memperoleh balasan baik . Sebaliknya untuk orang yang takut melanggar perintah Tuhan dengan iman yang sebenar-benarnya serta amal ibadat yang dilakukan dengan khusyuk, ikhlas dan bersih dari maksiat zahir dan batin dia layak untuk memasuki syurga Allah SWT.
Allah SWT berfirman dalam surah al-Bayyinah ayat 7 dan 8 yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal salih mereka itulah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah Syurga Adn (tempat tinggal yang tetap) yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya. Allah reda akan mereka dan mereka pun reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberian-Nya. Balasan yang demikian itu untuk orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya".
Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita buangkan perasaan buruk sangka sesama kita, dan perasaan dendam, benci membenci dan sentiasa mencari kesalahan sahabat-sahabatnya yang lain. Jika ada kesilapan yag kecil cepat-cepatlah memaafkan sesama kita. Ingatlah! Iblis dan syaitan sentiasa mencari peluang menghancurkan persahabatan yang terjalin di antara kita. Kerana persahabatan yang ikhlas, kasih sayang kerana Allah SWT akan memberi kemuliaan dan akan mendapat perlindungan Arasy dihari akhirat nanti. Persahabatan yang baik juga akan mendapat syafaat daripada sahabatnya di hari akhirat nanti. Oleh itu carilah sahabat-sahabat yang sentiasa mengajak kita dijalan Allah, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah kepada kemungkaran dan mengajak kepada ketakwaan kepada Allah SWT.
sumber - ustaz abu basyer
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Subhanallah.. perkongsian yg sgt baik. T kasih.
same2 :)
Post a Comment