Sunday, August 18, 2013

Fitnah Wanita : Jangan Pandang Enteng!


Kalaulah Allah ciptakan manusia tetapi tidak memberikan panduan kepada manusia mengenai cara untuk hidup, maka zalimlah Allah. Sebagaimana zalimnya pencipta kereta tetapi tidak menyediakan manual penggunaan kereta. Maha Suci Allah dari sifat zalim, bahkan Allah adalah tuhan yang Maha Adil. Tidak sesekali Allah menzalimi manusia melainkan manusia sendirilah yang menzalimi diri mereka.

Hakikatnya, manusia dicipta beserta panduan bagaimana untuk hidup. Panduan-panduan itu menjelaskan banyak perkara. Itu boleh, ini pula tak boleh. Itu disuruh, ini pula dilarang. Di sebalik kesemuanya, ada hikmah besar yang tersembunyi untuk kebaikan ummat manusia. Demikianlah aturan Allah Sang Raja yang Maha Bijasana.

Salah satu panduan yang diberikan oleh Allah – dan disampaikan melalui lisan Rasul-Nya yang mulia – adalah betapa pentingnya menjaga diri dari fitnah kaum wanita.

Sabda Nabi s.a.w :



ما تركت بعدي فتنة أضر على الرجال من النساء
” Tidak aku tinggalkan fitnah yang lebih dahsyat ke atas kamu selepas kewafatanku melainkan fitnah kaum wanita “
[ H.R Bukhari ]




FITNAH

Dalam kalangan orang kita, fitnah yang difahami lebih bersifat tuduhan yang tidak benar. Jika seseorang menuduh atau mendakwa perkara yang bohong, maka itu dinamakan sebagai fitnah. Namun dari segi bahasanya, fitnah juga membawa maksud Al-Ikhtibar, Al-Ibtila’ dan Al-Imtihan di mana semuanya berkisar dalam makna ujian dan cubaan, sebagaimana disebut oleh Imam Ibn Hajar, Ibn Manzur dan lain-lain.

Salah satu makna fitnah yang bertepatan dengan takrifan di atas adalah nas dalam hadith yang dinyatakan sebelum ini. Iaitu tidak ada ujian atau cubaan yang lebih besar ditinggalkan oleh Nabi s.a.w ke atas ummatnya melainkan ujian dan cubaan dari kaum wanita.

TEBALNYA IMAN ?
"Takpe, aku tahu jaga diri. Janganlah rigid sangat. Aku dan dia cuma contact atas dasar kerja, dan sesekali berkongsi masalah. Tak ada melibatkan hati pun, jangan risaulah. Lagi pun dia bukan taste aku..”.
Demikian jawapan si jejaka berjanggut sejemput apabila ditegur.

Pemerhatian saya, ramai lelaki menganggap fitnah wanita hanya menyentuh perihal hati, atau lebih jelas, soal jatuh hati. Maknanya, selagi mereka mampu jaga hati dari jatuh hati, atau selagi mereka yakin mereka tidak akan jatuh hati, maka tidak ada apa yang hendak dirisaukan.


"Alah. Aku dah ada tunang. Tunang aku kawan baik dia kot. Takkanlah nak jatuh hati pulak. Kitorang just rapat, tu je..”


” Mustahillah nak ada apa-apa perasaan. Aku dah anggap dia macam adik aku sendiri..”

Seorang lagi juga dengan nada yang sama : 


"Aku dah anggap dia macam kakak aku sendiri, takde apa-apa lah..”


MEREKA LUPA

Dalam jawapan-jawapan senang hati tersebut, mereka terlupa satu perkara. Justeru hadirnya tulisan ini untuk mengingatkan bukan hanya mereka, bahkan diri sendiri juga.

Syaitan itu tugasnya menggoda lelaki dan wanita untuk jatuh hati dan berputik perasaan cintakah?

Bagaimana kalau saya katakan, syaitan sebenarnya tidak pernah menolong dua manusia untuk jatuh cinta, bahkan itu sama sekali bukan kerja syaitan. 

Bagaimana?

Semak balik apa ayat berlepas diri syaitan dalam Al-Quran. Katanya : 


‘Allah menjanjikan perkara yang benar sedangkan aku menjanjikan perkara bathil dan aku memungkiri semua janji-janji aku. Dan antara aku dan engkau – wahai manusia yang disesatkan – tidak ada apa-apa melainkan aku ajak engkau ke arah kejahatan dan engkau mengikut aku. Jadi jangan engkau mencela aku sebaliknya engkau celalah diri engkau sendiri'.
Kata-kata syaitan ini termaktub dalam Surah Ibrahim.

Cinta suatu yang suci. Jatuh hati atas dasar cintakan agama, mahu memiliki zuriat dan membina sebuah perkahwinan yang halal adalah hasrat dan tujuan yang suci. Syaitan tidak membantu benda yang suci. Dia hanya membuka pintu kejahatan dan kekotoran.

Justeru, yang digoda antara lelaki dan wanita bukan untuk jatuh hati, tetapi untuk melakukan perkara-perkara faahisyah ( keji ) dan mungkar!

Matlamat godaan adalah supaya berlaku ziyna. Itu perlu diingat. Bukan matlamat godaan supaya bercinta dan berkahwin, tidak sama sekali. Kalau tak sampai berziyna, dapat mukaddimah ziyna pun jadilah. Itu target syaitan.
Maka apabila dua anak adam berlainan jantina berhubung atas sesuatu tujuan yang syar’ie sekalipun, syaitan tidak akan duduk diam. Meskipun kedua-duanya tidak ada alasan untuk jatuh hati antara satu sama lain, tetapi mereka masih punya alasan untuk jatuh nafsu antara satu sama lain!

KECELAKAAN

Ada jejaka berkecil hati dan bersedih apabila hasrat hatinya ditolak oleh seorang wanita. Hatinya sudah berpaut, tetapi takdir tidak menyebelahinya. Terasa menyesal pula menyentuh sang mawar. Akhirnya terkena duri di jari, pedihnya sampai ke ulu hati. Tidur malam sampai termimpi-mimpi. Jiwa meracau setengah mati.

Lebih malang apabila ada jejaka berhati suci mahu memetik si mawar yang terpikat di hati. Rupanya tertipu dengan perasaan sendiri. Si mawar bukan hanya berduri, bahkan mempunyai racun tersembunyi. Terhina, malu dan terasa seperti tiada harga diri apabila ditolak mentah-mentah atas alasan ‘kau syok sendiri’.

Itu sudah dianggap satu kecelakaan. Bukan mudah untuk diterima oleh seorang lelaki, apatah lagi jika benar-benar punyai hasrat suci di hati.
Namun sebenarnya, kecelakaan dari fitnah wanita adalah jauh lebih hebat dan dahsyat daripada itu. Setakat makan hati, itu masih kecil sebenarnya.

Al-Qurthubi pernah menulis suatu kisah berkenaan fitnah kaum wanita di dalam risalahnya At-Tazkirah Fi Umuril Akhirah. Fitnah yang bisa mengeluarkan seorang lelaki dari agamanya sendiri!

Kisah seorang lelaki yang melazimi masjid dan gemar melaungkan azan. Bererti seorang yang istiqamah datang awal ke masjid. Wajahnya bersinar dengan cahaya ketaatan dan ketenangan, bahkan menjadi ikon kebaikan dalam masyarakat. Setiap hari dia memanjat tangga menara untuk melaungkan azan. Suatu hari, ketika menaiki tangga menara, dia terpandang tingkap suatu rumah yang dimiliki oleh orang Nasrani, lalu terlihat di dalamnya puteri tuan rumah tersebut. Terpegun dengan kecantikannya, dia menuruni menara dan pergi ke rumah tersebut lantas menemui si wanita.

Wanita tersebut terkejut dengan kehadirannya lalu bertanya ; "apa yang engkau mahu?"  Dijawab oleh pemuda seakan terpukau, "aku mahukan engkau".  Tanya si wanita lagi, "kenapa?"  Dijawabnya, "kerana hatiku telah terpaut dengan kecantikanmu dan engkau sebenarnya telah merampas hatiku".

Si wanita terdiam lalu berkata ; "engkau muslim, sedangkan aku nasrani. Ayahku tidak akan membenarkan aku mengahwini muslim". Terus dijawab oleh si lelaki ; "jika begitu, aku masuk nasrani". Si wanita lalu berkata ; "kalau engkau masuk nasrani, aku bersedia". 

Akhirnya si lelaki murtad dari agamanya dan mengahwini wanita tersebut. Dia tinggal bersama wanita tersebut sehinggalah suatu hari dia naik ke bumbung rumah lalu ditakdirkan Allah, dia terjatuh dari bumbung tinggi tersebut dan meninggal dunia.

Maka alangkah rugi segala kerja buatnya dan rugilah segala amalannya. Mati di dalam kesudahan yang buruk ( suul khaatimah ) hanya kerana cubaan kecantikan dari seorang wanita.

Bukankah itu suatu kecelakaan yang paling besar?


TERPIKAT

Target syaitan adalah memastikan kita – para jejaka – terpikat dengan kaum wanita. Biar apapun status wanita tersebut. Celah mana ada kelompongan, syaitan akan pantas mengambil jalan. Sebab itu soal ikhtilat wajib dititikberatkan. Ia wajib menjadi antara fokus utama dakwah dalam masyarakat, apatah lagi buat mereka yang mempunyai kuasa.

Soal siapa si wanita, itu tidak penting. Berapa umurnya, statusnya, guru, ustazah, isteri orang, sidara, apa sahaja. Semua itu tidak menjadi halangan untuk syaitan mencari jalan supaya para lelaki terjerumus ke kancah ziyna dan maksiat.

Ambillah ibrah dari betapa banyak kisah yang sampai kepada kita. Ada di antaranya, di peringkat awal langsung tidak pernah suka, bahkan mendabik dada ‘mustahil untuk suka’. Katanya, si wanita tidak cantik rupa. Akhirnya, sedikit demi sedikit syaitan tonjolkan ‘kecantikan’ si wanita, di kala si lelaki lupa bahawa cantik pada wanita bukan semata-mata rupa parasnya. Bahkan antara faktor cantiknya wanita adalah keterampilan dan cara si wanita membawa diri dalam pergaulannya. Cara bercakap, cara senyum, cara memberi respon, cara bertanya dan seribu satu yang lain. Inilah keunikan wanita dan inilah juga lubang-lubang yang di ambil kesempatan oleh syaitan bagi menyesatkan para jejaka.


DOA DAN USAHA

Takutlah kamu kepada fitnah wanita.

Apabila Nabi s.a.w sendiri yang mengingatkan, maka yakinlah bahawa impak daripadanya sangatlah besar. Jangan dipandang enteng dan jangan diambil mudah. Jangan diperkecilkan soal ikhtilat antara lelaki dan wanita. Jangan diambil ringan hubungan-hubungan yang tidak terjaga atas nama ‘biasa-biasa saja’.

Dalam kelembutan seorang wanita, dalam tangisannya yang kita kata sebagai tanda lemahnya dia, engkau wahai lelaki boleh menangis dan meratap berpuluh kali ganda lebih hebat jika terkena fitnah mereka. Seorang lelaki di mercu kejayaan, dihormati dan disanjungi, boleh menjadi hina dina sekelip mata hanya kerana fitnah dari wanita.

Dan sesungguhnya, aku benar-benar bermohon daripada Allah agar diselamatkan dari fitnah kaum wanita. Benarlah sabda Nabi s.a.w bahawa mereka adalah sedahsyat-dahsyat cubaan yang ditinggalkan selepas pemergian Baginda!

Sekian.

sumber -> http://www.myilham.com


KLIK UNTUK SUMBANGAN PENGENDALIAN BLOG YANG DIKENDALIKAN OLEH WARGA OKU-

No comments: