Friday, July 5, 2013

ALLAH SWT MENUNGGU DOA HAMBA-HAMBANYA!

MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.



Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam Surah Al-Ghaafir ayat 60 yang tafsirannya:

"Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina."

Doa itu ialah ibadat dan doa itu juga adalah senjata orang mukmin. Allah Subhanahu Wataala memerintahkan hamba-hamba-Nya supaya berdoa dan memohon kepada-Nya. Di samping itu pula, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri berpesan supaya kita berdoa bersungguh-sungguh. Berdoa itu adalah merupakan pengakuan seseorang hamba terhadap kekuasaan Allah Subhanahu Wataala dan suatu tanda keyakinan bahawa tiada tempat meminta tolong melainkan kepada Allah Subhanahu Wataala.



Oleh kerana itu di dalam Islam setiap perbuatan yang diperintahkan kepada kita untuk melakukannya ada doa-doanya, apabila hendak masuk ke tandas pun ada doanya, begitu juga apabila hendak keluar daripadanya. Berdoa adalah salah satu daripada keperluan bagi mendapat kekuatan, keyakinan, harapan, keberkatan, keredaan dan perlindungan Allah Subhanahu Wataala dalam segala apa yang dilakukan. Orang yang tidak berdoa bererti menutup bagi dirinya berbagai-bagai kebaikan dan mendedahkan dirinya akan kemurkaan Allah Subhanahu Wataala.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:

"Daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu katanya: Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Orang yang tidak meminta (berdoa) kepada Allah, Allah murka kepadanya."(Riwayat Al-Imam At-Tirmizi).

Merujuk kepada hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang mengatakan doa itu senjata orang mukmin, ini bermakna doa itu mempunyai kelebihan dan fadilat yang amat besar dan amat banyak, di mana melalui doa, keampunan dan rahmat akan diperolehi, manakala musibah dan kesusahan boleh terhindar kerana jika Allah Subhanahu Wataala menghendaki dan memperkenankan doa hamba-Nya, tidak ada satu pun yang dapat menghalang kerana Allah Subhanahu Wataala tidak akan mensia-siakan doa hamba-Nya yang penuh dengan keikhlasan. Ingatlah berdoa juga boleh menghindarkan sesuatu bala, walaupun bala itu sudah merupakan Qadak (ketentuan Allah Subhanahu Wataala).

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ada menjelaskan dalam hadis Baginda yang bermaksud:

"Dari Sulaiman Radiallahuanhu katanya: Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Tiada yang boleh menolak Qadak Allah kecuali doa dan tiada yang boleh menambah umur kecuali dengan berbuat amal kebajikan." (Riwayat Al-Imam At-Tirmizi).

Adalah menjadi adat dan kelaziman jika kita berkehendakkan sesuatu daripada seseorang, kita akan bersopan santun dan bertatatertib. Maka apatah lagi jika kita memohon dan berdoa kepada Allah Subhanahu Wataala tentulah lebih dari itu. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-A'raaf ayat 55 yang tafsirannya:

"Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan dengan suara perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas."

Oleh itu kita dituntut menjaga adab dan tatatertib berdoa agar doa itu dimakbulkan. Di antaranya ialah:

Pertama: Berwuduk dan memulakan serta mengakhiri doa dengan menyebut dan memuji-muji nama Allah Subhanahu Wataala serta memberi selawat dan salam kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Kedua: Berdoa mengadap kiblat dan mengangkat dua tangan dan menyapukan kedua tapak tangan ke muka setelah selesai berdoa.

Ketiga: Bersungguh-sungguh dalam berdoa dan merasa penuh yakin akan diperkenankan.

Keempat: Berdoa disertai dengan kerendahan hati, khusyuk dengan jiwa yang tulus ikhlas, merendahkan suara serta diiringi dengan perasaan takut akan azab Allah Subhanahu Wataala dan penuh harapan dengan limpah kurnia-Nya.

Kelima: Memastikan sumber rezeki seperti makanan, minuman dan pakaian adalah daripada yang halal.

Keenam: Apabila berdoa adalah afdal mengulang-ulang doa tiga kali dan tidak berputus asa serta jangan cepat menganggap doa tidak dimakbulkan.

Ketujuh: Janganlah berdoa dengan sesuatu yang tidak selayaknya seperti perkara yang tidak munasabah dan mustahil. Adalah lebih utama berdoa dengan doa-doa yang masyhur yang datang daripada Al-Quran, sunnah dan para sahabat.

Kelapan: Doa-doa tersebut juga hendaklah bersifat umum, menyeluruh dan padat. Doa yang paling banyak dibaca oleh Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam ialah yang bermaksud:

"Ya Allah ya Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada api Neraka."

Elok juga diketahui bahawa barang siapa yang berdoa memohon kepada Allah Subhanahu Wataala pada satu per tiga akhir waktu malam dan selepas menunaikan sembahyang fardu, Allah Subhanahu Wataala menjanjikan akan memakbulkan doa dan permintaannya. Ini jelas sebagaimana hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Bukhari yang bermaksud: "Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Tuhan kami Tabaraka Wataala turun tiap-tiap malam ke langit dunia ketika tinggal satu per tiga akhir waktu malam, Dia berfirman, barangsiapa yang berdoa kepada-Ku maka Aku akan mengabulkan baginya, barangsiapa meminta kepada-Ku maka Aku akan memberinya, barangsiapa memohon keampunan-Ku maka Aku mengampuninya."

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda lagi yang diriwayatkan oleh Al-Imam At-Tirmizi yang maksudnya:

"Daripada Abi Umamah Radiallahuanha katanya: Telah ditanya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Bilakah masanya doa yang lebih didengar (dimakbulkan)? Nabi menjawab: Doa tatkala satu per tiga terakhir malam dan sesudah sembahyang fardu."

Sebenarnya terdapat banyak lagi waktu-waktu dan tempat jika kita berdoa pada-Nya, doa akan mudah dan cepat dimakbulkan, di antaranya ialah malam Jumaat dan hari Jumaat, waktu di antara azan dan iqamah, ketika khatib duduk di antara dua khutbah, ketika sujud di dalam sembahyang, bulan Ramadan, pada Malam Qadar, Hari Arafah dan ketika mendengarkan kokokan ayam kerana pada ketika itu ayam sedang melihat Malaikat dan kita mengharapkan agar Malaikat mengaminkan doa kita. Begitu juga ketika minum air zamzam, ketika membaca Al-Quran terutama apabila khatam. Mengikut para ulama bahawa berdoa di tempat-tempat yang mulia seperti di Masjidilharam, Masjid Nabawi dan Masjidilqsa adalah mustajab memandangkan keberkatan dan kemuliaannya, di samping rahmat Allah Subhanahu Wataala yang luas di masjid berkenaan.

Berdoa bukanlah hanya untuk diri sendiri sahaja, tetapi kita juga dituntut mendoakan orang lain terutamanya ibu bapa, anak-anak, ahli keluarga, saudara mara, Muslimin dan Muslimat sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia. Ibu bapa adalah orang yang paling utama didoakan oleh anak-anak sebagai membalas jasa kerana memelihara dan mendidik di waktu kecil. Sesungguhnya doa anak-anak kepada kedua ibu bapanya adalah besar manfaatnya, lebih-lebih lagi apabila keduanya telah meninggal dunia. Begitulah pula halnya dengan ibu bapa, digalakkan supaya mendoakan anak-anak mereka seperti mana Nabi Ibrahim Alaihissalam mendoakan anaknya sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Ash-Shaaffat ayat 100 yang tafsirannya:

"Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang tergolong dari orang-orang yang salih."

Hindarkanlah diri kita daripada berbuat zalim dan menganiaya orang lain, kerana doa orang yang dizalimi itu sangat mustajab, sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Bukhari maksudnya: "Dari Ibnu Abbas Radiallahuanhuma katanya: Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Dan takutlah engkau akan doa orang yang dizalimi, sesungguhnya doa orang yang dizalimi itu tidak ada di antaranya dan di antara Allah pendinding."

Sebagai orang Islam, marilah sama-sama kita memperbanyakkan doa, kerana doa itu menunjukkan kita taat dan ingat Allah Subhanahu Wataala. Ingat di setiap masa baik di kala senang mahupun susah, di kala kaya ataupun miskin. Percayalah janji Allah Subhanahu Wataala sebagaimana maksud firman-Nya:"Berdoalah kamu kepada- Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu."

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 186 yang tafsirannya:

"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai-Ku maka beritahu kepada mereka: Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir kepada mereka. Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku dengan mematuhi perintah-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul."


Rujukan laman web Kementerian Hal Ehwal Ugama Islam Negara Brunei Darulsalam


No comments: