KERATAN AKHBAR UTUSAN MALAYSIA 19 MAC 2012 |
Gerakan Bersama Kebangkitan Orang Kurang Upaya (OKU) 2012 (Bangkit 2012) hari ini menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bagi menuntut kerajaan meminda Perkara 8 dan 12 Perlembagaan Persekutuan.
Pengerusi Kumpulan Kerja OKU Majlis Peguam, Muhammad Faizal Che Yusof berkata, tuntutan itu dibuat bagi mendesak kerajaan tidak mengamalkan diskriminasi berasaskan kecacatan terhadap golongan tersebut.
"Menurut perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, semua orang adalah sama rata dan berhak mendapat perlindungan di sisi undang-undang tetapi golongan OKU tidak mendapat layanan yang sama apabila terus dipinggirkan oleh kerajaan.
"Perkara 12 pula telah memperuntukkan bahawa hak berkaitan dengan pendidikan iaitu semua warganegara berhak mendapatkan pendidikan, namun golongan OKU yang paling ramai tercicir," katanya pada Majlis Penyerahan Memorandum kepada Suhakam di Pejabat Majlis Peguam di sini, semalam.
Turut hadir Bendahari Majlis Peguam, Steven Thiru; Pengerusi Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Majlis Peguam, Andrew Khoo dan Presiden Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia, Mohamed Nazari Othman, Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Hasnah Toran; Guru Persatuan Orang Pekak Kuala Lumpur, Lee Thur Chung; dan Pensyarah Fakulti Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Tiun Ling Ta.
Memorandum yang mengandungi 11 tuntutan itu telah diserahkan kepada wakil Suhakam, Prof. Datuk Dr Khaw Lake Tee.
Antara tuntutan lain meliputi pendaftaran wajib kepada golongan OKU, pendidikan yang menepati keperluan kecacatan, pekerjaan dan sara hidup, perumahan, kemudahan asas serta keperluan golongan berkenaan pada hari tua.
Tambah Muhammad Faizal, pihaknya juga mendesak kerajaan meminda Akta OKU 2008 (Akta 685) dengan mengenakan hukuman yang sewajarnya terhadap pihak yang gagal mematuhi hak-hak yang diberikan kepada golongan tersebut.
"Pindaan itu penting kerana setakat ini Malaysia mempunyai kira-kira 4.2 juta OKU daripada jumlah keseluruhan penduduk iaitu kira-kira 28 juta orang dan ini menunjukkan faktor kecacatan semakin bertambah saban hari.
"Oleh itu, kita mitan kerajaan wujudkan satu portfolio baru yang akan bertanggungjawab terhadap golongan OKU dan dapat mengutarakan pandangan serta cadangan terus kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.
No comments:
Post a Comment