Tuesday, March 22, 2011

TANGGUNGJAWAB SUAMI ISTERI




Sewaktu alam persekolahan dulu, aku ada mengikuti Tuisyen di Institut Hidayah.  Tuisyen disini seronok, pelajar bukan sahaja di beri pendidikan dari sudut peperiksaan yang akan diambil,  tetapi diberi juga pendedahan demi pendedahan tentang kefahaman Islam.  Waktu Cuti tenaga pengajar akan bergabung dengan murid untuk mengankurkan kursus-kursus kesedaran dan kefahaman Islam.  Antaranya aku terjumpa kertas kerja ini yang aku simpan hingga hari ini.  Aku kongsikan buat kawan dan teman-teman...



Tanggungjawab Suami Isteri

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.   Segala puji bagi Allah, tuhan seru sekalian alam. Selawat dan Salam keatas junjungan Nabi Muhammad SAW. Dan seterusnya kepada para sahabat, para tabi'in hingga akhir zaman. Amin.

Apabila jodoh sudah ditemui dan aqad nikah sudah dijalankan, maka bermulalah kedua-dua pasangan hidup di alam baru yang belum pernah di tempuh dan masing-masing merenung kehadapan dengan penuh yakin bahasa kebahagiaan akan di nikmati dan akan menempuh ketenteraman serta keamanan.

Sebelum masing-masing melaksanakan tanggungjawabnya, apa yang paling penting hendaklah mengenal siapa dirinya sekarang dan siapa dihadapannya sekarang.  Bagi seorang lelaki hendaklah sedar bahawa dirinya seorang suami yang di bebani amanah dari Allah, iaitu seorang wanita yang dijadikan simboliknya seperti tulang rusuk yang bengkok, jika di luruskan dengan kuat akan patah, jika di biarkn akan terus bengkok, maka fikirkan bagaimana akan menghadapi wanita seperti isterinya ini?


Manakala seorang wanita hendaklah  sedar bahawa dirinya sekarang sudah menjadi isteri yang sudah terlepas dari kawalan dan tanggungjawab kedua ibu bapanya dan menjadi tawanan seorang lelaki, iaitu suaminya. Maka semua pergerakannya amat terhad dan tidak sebebas dahulu. Isteri hendaklah memahami susunan ketaatannya telah berubah, iaitu :-
  1. Taat kepada Allah
  2. Taat kepada Rasulullah
  3. Taat kepada Suami
  4. Taat kepada kedua Ibu Bapa
Adapun suami masih kekal seperti biasa, iaitu :-
  1. Taat kepada Allah
  2. Taat kepada Rasulullah
  3. Taat kepada Ibu Bapa
Oleh itu syurga seorang suami masih dibawah telapak kaki ibunya sedangkan syurga seorang isteri telah berubah kepada di bawah keredhaan suaminya. Jika tidak mencari keredhaan suaminya,  maka jauhlah seorang isteri itu dari syurga. Sebaliknya pula, seorang suami yang tidak menyempurnakan tanggungjawabnya dengan baik, maka akan di tanya oleh Allah dan akan tecampak suami kedalam api neraka.

Na'uzubillahi min zalik.

Suami isteri hendaklah benar-benar memahami tanggungjawab masing-masing mengikut apa yang digariskan oleh Allah dan jangan sekali-kali menyimpang dari ajaran Allah dan Allah memberi amaran keras yang bermaksud :-
"Dan barang siapa yang menolak peringatanKU, maka sesungguhnya baginya akan menempuh penghidupan yang menyulitkan."

TANGGUNGJAWAB SUAMI

Beberapa kecuaian kepada para suami di zaman moden ini ialah bahawa tanggungjawabnya hanya tertumpu kepada lahiriah semata-mata seperti menyediakan tempat tinggal yang cantik dan besar serta lengkap dengan alat-alat perabut didalamnya, menyediakan makan minum yang lazat-lazat, menyediakan pakaian yang mahal-mahal dan cantik tetapi rumahtangganya tetap bergolak, tidak amak tenteram, dimanakah silapnya?

Al Imamul Ghazali Rahimahullah pernah menyebutkan bahawa manusia itu akan menempuh empat jenis Qada' Taqdir yang di taqdirkan oleh Allah SWT
  1. Taqdir Ni'mat, iaitu pendapatan banyak,mewah,rumah-rumah besar, kereta besar dan lain-lain
  2. Taqdir Keburukan, iaitu kebakaran rumah, kematian anak, kehilangan, kesusahan, keniskinan dan lain-lain
  3. Taqdir Kebaikan, iaitu suami isteri menjadi keluarga yang baik, anak-anak berjaya dalam bidang pelajaran dan lain-lain
  4. Taqdir Kejahatan, iaitu suami atau isteri terlibat rasuah, terlibat jenayah, ditahan dalam penjara, terlibat dengan dadah dan lain-lain
  • Sekiranya taqdir yang berlaku itu taqdir ni'mat atau taqdir kebaikan, maka suami isteri amat gembira, tetapi bagaimana kalau taqdir yang datang itu taqdir keburukan atau taqdir kejahatan? Setakat manakah kemampuan iman para isteri atau suami sanggup menghadapi percubaan ini? Maka sebab itu, rumahtangga dizaman moden ini ketika diberi kesenangan, amanlah rumahtangganya, tetapi ketika menempuh kesusahan, berakhirlah ia.
  • Adalah menjadi tanggungjawab para suami mendidik isterinya dengan aqidah yang kukuh, beriman dengan Allah, tidak sekali-kali cuai dengan perintah Allah, sembahyang (solat) tidak di abaikan dan kehormatan diri dijaga. Seorang suami hendaklah menjadi seorang pemaaf jika isterinya salah kerana melanggar perintahnya tetapi hendaklah tegas apabila isteri melanggar perintah Allah. Alangkah terbaliknya iman para suami zaman ini, isteri tidak pandai memasak dimarahinya, manakala isteri keluar tidak memakai tudung dibiarkan, isteri memakai tidak seksi dimarahinya, manakalah isteri tidak sembahyang tidak pernah ditegurnya, isteri tidak pandai memakai mekap dimarahinya, manakalah isteri bebas keluar tanpa izinnya tidak pernah ditegurnya.

Sebagai garis besar, tanggungjawab suami isteri adalah sebagaimana yang di firmankan Allah didalam surah At Tahrim, ayat 6 :-
Didalam ayat tersebut mengandungi dua matlamat besar. Jika rumahtangga keluarga dapat dilahirkan dengan teras keimanan dengan mengikut undang-undang Allah, bukan sahaja akan bahgia di dunia tetapi akan mendapat kebahgiaan di akhirat. iaitu SYURGA. Tapi sebaliknya, jika rumahtangga didasarkan di atas melanggar hukum Allah, bukan sahaja menderita di dunia, bahkan akan menderita di akhirat, iaitu NERAKA

Setiap suami hendaklah memahami tanggungjawab mengikut hukum islam dan dibawah ini dicatitkan sebahagian daripadanya, diharapkan dapat menolong memandu kearah rumahtangga yang diredhai.

1. Apabila sah perempuan itu sebagai isteri (telah di Ijabqabulkan), bagi suami yang baik, adakanlah majlis walimah kesyukuran dengan sederhana yang tidak membebankan diri dan dalam suasana dan aturcara masjlis secara islam. Apa yang dikehendaki secara islam ialah seperti harta dari yang halal, majlis tidak diadakan alat-alat bunyian yang melekakan, jemputan lelaki dan perempuan tidak bercampur-gaul tiada sebarang pendedahan aurat samada kepada petugas mahupun jemputan yang datang, kerana sekalipun soal-soal ini tidak banyak kene mengena dengan hal rumahtangga tetapi jika ulu sungai itu keruh, maka membawa akibat kuala sungai juga keruh, pada halnya, rumahtangga yang dibina itu diharapkan akan sejahtera dari sejak mula hinggalah akhirnya.

2. Tanggungjawab suami hendaklah mempergauli isteri dengan baik. Allah berfirman dalam Surah An-Nisa', ayat 19 :-

"Dan pergaulilah perempuan-perempuan itu dengan cara yang baik"
 


  • Yang dikehendaki dengan pergaulan yang baik itu tidak hanya menyakiti isteri, tetapi harus menangung atas segala kelemahan dan kekurangan isteri, tidak mudah marah dan mengambil tindakan sehingga tidak memperhitungkan isteri. Apa yang penting ialah seorang suami hendaklah membanyakkan sabar kerana mengikut Hassan Basri bahawa akal ada 10 bahagian, yang diberi kepada perempuan hanya 1 sahaja, sedangkan kepada kaum lelaki 9 akal. Tetapi bagi nadsu, dimana ada 10 bahagian juga, yang diberi kepada perempuan ialah 9 bahagian manakala lelaki hanya 1 bahagian sahaja.
  • Diambil dari pendapat Hassan Basri ini, seorang lelaki (suami) yang diberi 9 akal harus menggunakan dengan sebaik-baiknya untuk memimpin isteri.
3. Suami haruslah bergurau senda, peranan ini amatlah penting di dalam rumahtangga supaya suasana muram tidak akan berpanjangan. Jadikanlah rumahtangga sentiasa riang gembira, iaitu yang mendapatkan faedah, memuji-muji isteri selagi tidak keterlaluan kerana Rasulullah SAW sendiri pernah mengajak isterinya, Aishah  melihat permainan orang Habsyi di kawasan masjid sehingga Aishah puas dan kemudian barulah balik ke rumah.  Rasulullah pernah memuji suami-suami yang baik itu dengan sabdanya :-
"Sebaik-baik kamu adalah orang-orang yang paling baik sekali terhadap isteri dan akulah orang terbaik sekali diantara kamu terhadap isteri."
4. Suami juga harus bijak menyelesaikan masalah kemungkaran yang dilakukan oleh isteri dan hendaklah bersikap tegas dan dengan cara lemah lembut dibetulkan semula supaya kemungkaran itu tidak berpanjangan.

5. Sifat cemburu juga penting kepada suami kerana orang yang kasih itu tentu ada perasaan cemburu, yang tidak cemburu bererti tidak ada kasih, tetapi harus cemburu yang dikehendaki ialah bagi menghindarkan perkara bencana yang tidak di ingini berlaku, seperti suami di bolehkan membenarkan isteri keluar rumah kerana menunaikan dua sembahyang hari raya. Rasulullah telah mengizinkan perkara tersebut tetapi hendaklah mendapat keredhaan suami.

6. Suami berlaku sederhana didalam meberi nafkah, tidak telampau lokek dan tidak  terlalu boros, sebagaimana firman Allah dalam surah Al-A'raf, ayat 31 : -

"Makan dan minumlah dan jangan terlalu boros."


  • Jangan sekali-kali mengajar isteri menjadi seorang yang kedekut, malah sekiranya ada makanan yang lebih, hendaklah menyuruh isteri meyedekahkan kepada orang yang memerlukan
  • Seorang suami adalah dikehendaki juga supaya mengajak isteri dan anak makan bersama dan tidak digalakkan makan seorang diri kerana makan berjemaah dengan tangan yang banyak itu diberkati Allah. Didalam menyediakan nafkah, suami harus memikirkan tentang halal atau haram nafkah tersebut. Adalah dilarang jenisnya jika  tidak halal diberikan kepada isteri dan anak-anak kerana sabda Rasulullah SAW :-
"Apa saja yang tumbuh didalam badan  daripada makanan haram, maka neraka itu lebih layak dengannya"
7. Suami hendaklah mengajarkan agama seperti sembahyang dan mengetahui hukum, dan sebagaimana suami adalah guru yang ketiga selepas bapa dan adik beradiknya. Jika suami tidak mampu mengajar, maka suami hendaklah berusaha belajar di luar dan setelah dapat hendaklah diajarkan kepada isteri. Jika suami tidak memperdulikan juga, maka isteri harus keluar rumah menuntut ilmu, bahkan wajib ia keluar dan harus melanggar larangan suami.

8. Jika suami mempunyai lebih dari seorang isteri, maka hendaklah bersikap adil, mengilirkan isteri, melayan semuanya dengan kasih sayang dan sekali tidak dibenarkan menzalimi isteri-isterinya kerana Rasulullah adalah contoh yang baik. Baginda berlaku adil bergilir-gilir kepada isterinya.

9. Jika isteri berlaku engkar, hendaklah menasihatkannya supaya taat semula. Sekiranya engkar itu berpunca diantara kedua belah pihak, maka hendaklah dicari orang tengah untuk menyelesaikannya. Jika tidak juga kembali taat, maka suami hendaklah meninggalkannya dari seketiduran dengannya dan jika tidak juga berkesan, maka sebagai langkah terakhir, para suami dinasihatkan jika keengkaran isteri itu berterusan, hendaklah dilaporkan perkara ini ke pejabat agama untuk mendapatkan nasihat.

10. Didalam memberikan nafkah batin, seorang suami hendaklah sedaya upaya menghiburkan isteri dengan mendapat kepuasan dan hendaklah saling meminta kerelaan diatas perhubungan itu dan saling mengucapkan terima kasih. Suami harus mengetahui hukum larangan ketika isteri haid atau sakit atau menghadapi masalah yang berat supaya tidak mendatangkan kesan yang buruk kepada isteri.

11. Apabila isteri melahirkan anak, jangan terlalu gembira anak itu lelaki atau dukacita bila anak itu perempuan kerana semuanya itu adalah kurniaan Allah yang wajib disyukuri dan hendaklah di azan dan di iqamatkan, di berikan nama yang baik-baik dan sebagainya.

12. Penceraian adalah jalan terakhir apabila penyelesaian sudah tidak didapati. Sekalipun Islam menghalalkan penceraian tetapi Allah sangat benci.  Maka, sebab itu seorang suami hendaklah faham bab perceraian supaya tidak mendatangkan bencana yang lebih kepada kedua-duanya.
  • Selain dari itu, hendaklah mentalakkan didalam keadaan isteri suci daripada haid yang belum ia bersatu dengannya, kerana kalau isteri itu mengandung, maka boleh menyebabkan memanjangkan edah isteri. Begitu juga lafaz talak tidak menunjukkan rasa kesal dan perasaan marah, bahkan hendaklah dengan suara yang lemah-lembut, seolah-olah ia terpaksa menjatuhkan kerana tidak ada pilihan lain.

  • Adalah digalakkan didalam Islam, seorang suami apabila mentalakkan isteri, menggembirakannya dengan memberi sedikit bayaran sebagai saguhati kepada isteri supaya tidak tersangat dukacita.  Bukan itu sahaja, bahkan suami harus menyimpan rahsia isteri supaya tidak membocorkan kepada orang lain.

TANGGUNGJAWAB ISTERI

1. Isteri wajib mentaati suaminya akan segala yang dikehendaki selama tidak terlibat dengan perkara-perkara maksiat dan hendaklah menyerahkan tubuh badan apabila suami mengingininya.  Seperti mana Hadis Nabi yang bermaksud seperti berikut  :
“Tiga orang tidak disentuh oleh api neraka, iaitu isteri yang taat kepada suami, anak yang berbuat baik terhadap ibubapanya, dan hamba yang melakukan hak Allah dan hak tuannya.”
  • Jihad seorang isteri ialah dengan memperelokkan layanan kepada suaminya.
2. Isteri jangan memberikan apa-apa barang di rumah kepada orang lain melainkan dengan izin suaminya kerana mungkin barang-barang itu dihajati oleh suami. Begitu juga puasa sunat, jangan puasa sunat jika tidak diizinkan oleh suami. Sekiranya ingin keluar rumah hendaklah mendapatkan kebenaran suami kerana malaikat akan melaknat hingga isteri itu kembali ke rumah atau bertaubat.

3. Memelihara diri dengan pakaian yang menutup aurat jika dengan orang ajnabi dan menutup rahsia rumahtangganya, dan berhias untuk suami adalah satu perkara yang menyenangkan suami yang melihat isterinya sentiasa bersih, indah, menarik dan kemas. Ini dapat menambat hati suami lebih daripada susuk emas yang ditanam dicelah kulit dan serapah jampi untuk menundukkan suami.

4. Tidak terlampau menuntut perkara-perkara yang diperlukan lebih-lebih lagi sampai tidak memperhitungkan haram, itulah yang ditegah oleh islam. Isteri yang baik pandai mengatur ekonomi rumahtangga, tidak kikir dan tidak boros sesuai dengan perintah Allah dalam Surah Al-Isra’, ayat 29 :-
“Dan janganlah engkau jadikan tanganmu dilehermu dan jangan pula kamu terlalu boros menghulurkannya tanpa berkira kelak kamu akan dicela dan menyesal sendiri”
Rasulullah pernah bersabda, maksudnya :-
“Orang yang paling baik ialah orang bersifat sederhana ketika kaya, miskin dan ketika beribadat.”
5. Jangan banyak bercakap dengan jiran tetangga. Lebih elok kiranya masa lapang mengerjakan perkara-perkara yang baik seperti jahit-menjahit, memelihara hak suami semasa suami di rumah dan di luar rumah, sentiasa menimbulkan kegembiraan hati suami dan tidak mengkhianati suami.

6. Jika di izinkan keluar rumah, janganlah berjalan di khalayak ramai atau mencari jalan yang tidak mendatangkan faedah.

7. Hendaklah isteri merasa puas dengan segala yang diberikan oleh suaminya dan merasa belas kasihan kepadanya, tidak mengeluarkan lebih had suara untuk menjawab dan menentang suaminya. Isteri tahu berterima kasih adalah amalan yang baik ungkapan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW seperti yang bermaksud :-  “Semoga Allah memberi ganjaran kepada abang dengan kebaikan”  Adalah satu ungkapan yang baik untuk diamalkan selain daripada ucapan terima kasih.  Ini akan mendorong suami untuk memberikan layanan kepada lebih baik.

Rasulullah bersabda yang bermaksud :-
“Wanita yang paling baik ialah yang tahu berterima kasih apabila diberi, jika tidak diberikan apa-apa ia sabar, kalau engkau melihat ia menggembirakan engkau, kalau disuruh ia patuh.
8. Jangan bermegah-megah diatas kecantikan diri dan tiada pula menjadi kupu-kupu malam atau serba bebas bergerak menggoda orang lain dan mempamerkan perhiasan atau kecantikan untuk menjadi tontonon dan idaman orang ramai.
  • Isteri yang solehah sentiasa menjaga nama baik, menghindarkan diri dari berada atau hadir di tempat yang menimbulkan prasangka dan tuduhan orang ramai, pendek kata ia hendaklah sentiasa berada di rumah.
  • Ia sentiasa menjaga gerak-geri, perhiasannya sederhana, hatinya tertumpu untuk mencari kerelaan suaminya daripada kerelaan orang lain. Ia adalah seorang isteri yang mulia dan diredhai oleh Allah.
  • Mendidik anak, adalah juga tanggungjawab isteri dan setiap anggota keluarga mempunyai kewajipan. Tugas isteri mendidik dan mengasuh anak-anaknya. Isteri yang mengabaikan anak-anak mereka dan menyerahkan asuhan kepada orang gaji yang tidak berpelajaran dan tidak arif tentang ilmu mengasuh anak bermakna menyerahkan mereka kepada nasib sahaja, sebenarnya menyerahkan anak-anak tersebut untuk menjadi habuan api neraka. Mereka mensia-siakan masa depan anak-anak tersebut dan umat.
  • Tentang persoalan berkabung diatas kematian suami, Imam Al-Ghazali menerangkan bahawa ia adalah amalan yang wajib dilakukan oleh isteri sebagai tuntutan perkahwinan. Tetapi ia tidak boleh lebih daripada empat bulan. Terhadap kematian bukan suami, ia tidak boleh lebih daripada 3 hari. Sewaktu berkabung, isteri harus mengelak daripada menggunakan bau-bauan atau perhiasan.
Kesimpulannya, isteri hendaklah sentiasa memberi layanan baik kepada suaminya. Allah aka memberi ganjaran yang berlipat ganda kepadanya sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam banyak hadith-hadith yang lain :-
  • Sekali suami minum air yang disediakan oleh isterinya adalah lebih baik dari berpuasa setahun.
  • Makanan yang disediakan oleh isteri kepada suaminya dalah lebih baik dari isteri itu mengerjakan haji dan umrah.
  • Mandi junub siisteri disebabkan jima’ dengan suaminya adalah lebih baik baginya dari mengorbankan 1,000 ekor kambing sebagai sedekah kepada fakir miskin.
  • Apabila isteri hamil, ia dicatatkan sebagai seorang yang syahid dan khidmatnya kepada suaminya sebagai jihad.
  • Pemeliharaan terhadap anak-anak adalah menjadi benteng neraka.
  • Pandangan yang baik dan harmonis terhadap suami adalah menjadi tasbih (zikir) .
  • Tidak akan putus ganjaran dari Allah kepada seorang isteri yang siang dan malam menggembirakan suaminya.
  • Apabila meninggal dunia seorang isteri sedang hamil dan suaminya meredhainya, nescaya dimasukkan ia dalam syurga.
  • Seseorang wanita apabila ia megerjakan sembahyang yang difardhukan keatasnya, berpuasa pada bulan ramadhan, menjaga kehormatan dirinya dan suaminya, maka berhak masuk ke syurga dari mana-mana pintu yang ia suka.
Adalah diharapkan kertas kerja yang tidak sepertinya ini sedikit sebanyak akan dapat dijadikan panduan dan dicadangkan juga membaca kitab-kitab yang lebih luas untuk pengetahuan para suami dan isteri supaya rumahtangga yang dilayari akan memberi kebahagiaan dan mendapat keredhaan Allah SWT.

Wassalam.

Semuga dengan perkongsian ilmu ini dapat mendatangkan kebaikan bersama bagi membentuk sebuah masyarakat yang baik melalui institusi keluarga yang sangat di redhai ALLAH...



Amiin.


No comments: