DR MASZLEE MALEK / 29 Ogos 2014 / SH
AMAT menarik, dalam kebanyakan agama dan kepercayaan manusia, sikap ihsan atau belas terhadap yang lemah merupakan tema utama yang begitu bermakna.
Hubungan vertikal antara penganut kebanyakan agama dan kepercayaan tidak akan cukup tanpa wujudnya hubungan horizontal yang menghubungkan antara penganut tersebut dengan sesama manusia, haiwan dan alam sekitar.
Tidak hairanlah, kebanyakan agama menyeru kepada mentaati ibu bapa, berbuat baik kepada sesama manusia, menghormati jiran, membantu mereka yang kurang bernasib baik.
Nilai kemanusiaan inilah yang memberi makna dan simbolik kepada mana-mana ajaran yang dibawa golongan nabi, pengasas agama dan juga mana-mana ahli filusuf dalam menjadikan kehidupan manusia itu lebih manusiawi.
Bagi umat Islam meyakini bertitik tolak daripada tujuan untuk memanusiawikan wahyulah, maka dalam al-Quran, sering ditekankan mengenai sikap kemanusiaan Nabi Muhammad SAW.
Bersikap manusiawi
Dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW, ciri-ciri kemanusiaan yang manusiawi lebih menonjol berbanding sikap luar biasa ubermensch (superman) yang sering terdapat pada cerita nabi dan rasul sebelumnya.
Jika tokoh, pengasas agama dan ajaran lain lebih dikenali dengan mukjizat, kuasa hikmat dan sakti, Nabi Muhammad SAW lebih dikenali dengan sikap manusiawi. Dalam keadaan Baginda SAW teralpa sikap manusiawi, langsung ditegur ALLAH SWT di dalam al-Quran
seperti yang termaktub di dalam Surah ‘Abasa ayat 1 hingga 10.
Dalam surah tersebut, ALLAH menegur Nabi Muhammad SAW kerana mengutamakan golongan pembesar Makkah dan tidak mengendahkan kepada Abdullah bin Umm Maktum yang buta.
Dalam Islam terdapatnya konsep ukhuwah ataupun solidariti sejagat. Syariat Islam meletakkan tema ukhuwah sebagai tapak falsafah kukuh menyeimbangkan di antara hak individu dan tanggungjawabnya kepada masyarakat berteraskan konsep solidariti sejagat. Konsep solidariti sejagat yang bertitik tolak daripada akidah tauhid ini menjelaskan manusia itu semuanya sama dan bersaudara.
Ukhuwah membawa konotasi seorang Muslim itu mempunyai tanggungjawab berinspirasikan akidah terhadap saudara seakidahnya, dan juga terhadap bukan Muslim, selaras dengan tugasnya sebagai ejen pembawa rahmat (rahmatan lil ‘alamin).
Ruh ukhuwwah inilah yang akan menghasilkan ahli masyarakat yang aktif melalui mekanisme takaful (bantu-membantu).
Banyak sekali pesanan dan contoh perilaku Nabi Muhammad SAW yang menjurus ke arah tersebut. Sabda Baginda SAW: “Bukanlah seorang itu dianggap beriman jika dia tidur di dalam keadaan perutnya yang penuh dan jirannya sedang kelaparan” (Riwayat al-Haythami)
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Setiap manusia itu akan sentiasa melakukan kebajikan pada setiap matahari terbit: (iaitu) dengan mengadili secara adil atau mendamaikan di antara dua pihak yang bertelagah merupakan satu kebajikan; membantu seseorang mengangkat barangnya juga merupakan satu kebajikan; perkataan yang baik juga merupakan satu kebajikan; setiap langkah menuju solat juga merupakan satu kebajikan; dan membuang halangan di tengah jalan juga merupakan satu kebajikan.” (Riwayat Bukhari & Muslim)
Al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW begitu sarat menyeru agar umat Islam dan juga manusia sekaliannya yang berupaya memahami mesej universal agar bersikap manusiawi.
Begitu juga halnya dalam isu kewujudan komuniti OKU dalam kalangan masyarakat. OKU adalah sebahagian daripada keindahan ciptaan Tuhan kepada manusia yang penuh dengan hikmah. Kewujudan mereka adalah pelengkap kepada manusiawi manusia itu sendiri.
Erti manusiawi pada manusia ialah apabila mereka dapat merasakan kewujudan mereka sebagai individu adalah sebagai pelengkap kepada kehidupan individu lain di muka bumi ini.
Begitu jugalah kewujudan individu lain juga merupakan kesempurnaan kepada kewujudannya. Kefahaman terhadap konsep saling lengkap melengkapi inilah yang menjadikan hidup manusia itu lebih bermakna dan lebih manusiawi.
Konsep ukhuwah dalam Islam yang menjadi tema kepada tunjang kehidupan bersama (co-exist) memberikan pandangan sarwa yang lebih holistik agar setiap individu sedar mereka dilahirkan dengan tanggungjawab untuk saling memperlengkapkan kehidupan sesama sendiri.
Inspirasi OKU
Menjadi kewajipan setiap pihak yang beriman dengan naluri manusiawi untuk bersikap pro-aktif di dalam menyikapi isu OKU.
OKU bukanlah bebanan mahupun kelompok tersisih, apatah lagi dilihat sebagai makhluk yang ditimpa bala ataupun komoditi untuk penguasa meraih dokongan di atas tunjuk rasa simpati dan melakukan usaha sekadar melepaskan batuk di tangga.
OKU merupakan kurniaan Tuhan kepada masyarakat agar mereka menghayati sikap kemanusiaan.
Kewujudan OKU akan menyebabkan manusia akan lebih inovatif di dalam menghasilkan polisi yang dapat memberikan OKU hak mereka.
Golongan ini juga akan menjadikan politikus dan ahli legislatif sedar mereka perlu mengusahakan prasarana, undang-undang dan keperluan kondusif untuk OKU menjalani kehidupan yang lebih bermakna selari dengan keperluan khusus mereka.
Kewujudan OKU juga menjadikan golongan pencipta, pengusaha teknologi untuk lebih inovatif dan kreatif di dalam mengusahakan sebarang infrastruktur yang mesra dengan keperluan OKU bukan untuk komersil, tetapi sebagai khidmat kepada sesama bani insani.
Mereka juga memberikan inspirasi dan ilham kepada penggiat sastera, seni dan cereka untuk mereka berkarya bersumberkan naluri manusiawi yang luhur dan suci. Kewujudan OKU juga memberikan makna kepada ibu bapa dan keluarga untuk memahami kasih sayang, sikap cinta dan ihsan kepada mereka.
Kewujudan OKU juga menyedarkan golongan agamawan mengenai tugas mereka adalah untuk mendidik masyarakat untuk sedar tanggungjawab mereka berteraskan kitab suci dan sabda wahyu untuk menghulurkan tangan, bahu dan empat kerat tulang bersama membahu beban kesengsaraan yang dilalui OKU agar yang berat sama dipikul dan ringan sama dijinjing.
Kewujudan OKU juga menyedarkan masyarakat mengenai kehidupan ini amat indah, berwarna-warni, dan perlunya mereka menyedari kita saling memerlukan dan saling melengkapkan kehidupan satu-sama lain di dunia ini.
Amat malang, jika dilihat realiti negara membangun pada hari ini yang tidak mempunyai polisi yang agak mesra OKU berbanding negara-negara maju.
Malah Convention on Rights of Persons With Disabilities yang diluluskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 13 Disember 2006 dan dikuatkuasakan ke atas negara-negara anggota yang menandatanganinya pada 3 Mei 2008 pun tidak diamalkan dan tidak dijadikan polisi dari segi penguatkuasaannya di negara-negara membangun hatta negara-negara Islam sekalipun.
Begitu juga halnya dengan Malaysia, yang mungkin agak terkehadapan sedikit berbanding negara membangun dan negara Islam yang lain, terutamanya dengan Akta OKU 2008.
Bagaimanapun, masih terdapat banyak lagi ruang untuk usaha pembaikan agar suasana yang benar-benar kondusif bagi OKU di dalam segenap aspek kehidupan mereka dapat diwujudkan sama ada melalui polisi-mahupun melalui kesedaran warga dan masyarakat sivil terhadap segala isu berkaitan OKU.
Memo Suhakam OKU bangkit 2012 yang diusahakan oleh komuniti OKU yang menggelar diri mereka sebagai ‘OKU Bangkit’ merupakan usaha quantum leap yang perlu difahami -oleh warga Malaysia yang manusiawi dan percayakan kepada perubahan sosial.
sumber - sinar harian
No comments:
Post a Comment