Tuesday, December 3, 2013

Kematian 3 beradik: Puteri nak balik kampung



NOOR FAIZAL GHAZALI
2 Disember 2013
Jenazah Nur Izzati Husna, 12, dan adiknya, Puteri Nurul Akma, 3, dikebumikan dalam satu liang lahad bersebelahan pusara kakak mereka, Noor Syafikah Nadia, 14 di tanah perkuburan Islam Kampung Alor Semela, hari ini.



ALOR SETAR - “Adik nak balik rumah mak (nenek), nak balik Ganung (Terengganu).”

Itulah kata-kata terakhir Puteri Nurul Akma Rusdi, 3, yang masih tergiang-ngiang dalam ingatan neneknya sebelum hilang dan ditemui meninggal dunia bersama kakaknya, Nur Izzati Husna, 12, dan Noor Syafikah Nadia, 14, di dua lokasi berasingan, semalam.

Nenek mangsa, Robiah Daud, 59, berkata, dia dapat bercakap dengan cucunya itu melalui perbualan telefon sehari sebelum tiga beradik terbabit didapati hilang.

Katanya, Puteri yang lebih mesra dipanggi 'adik' selalu menelefonnya untuk bertanya khabar.

“Dia kalau telefon mak cik tanya dah makan ke belum? Mak duk buat apa? Itu sajalah dia tahu cakap, di samping gelak ketawa bersama dua kakaknya.

“Sebelum hari kejadian pula adik telefon.... rasa dia seronok sangat cakap nak balik kampung. Nak balik rumah mak Ganung (Terengganu) adik kata,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Robiah berkata, selepas diberitahu anaknya mengenai kejadian itu, dia bersama anak-anak terus datang ke rumah anaknya di Kampung Alor Semela, Jalan Datuk Kumbar, dekat sini.

“Kami semua sangat terkejut macam tak percaya dengan apa yang berlaku. Tiga cucu pergi sekali gus...Tuhan saja yang tahu perasaan kami.

“Mak cik reda kerana sudah ditakdirkan... tapi apa dosa cucu-cucu mak cik sampai ada orang buat begitu. Kami sekeluarga berharap orang yang melakukan perbuatan jahat itu dapat hukuman setimpal,” katanya.

Sementara itu bapa mangsa, Rusdi Rani, 38, berkata, dia sekeluarga sememangnya merancang untuk pulang ke kampung orang tuanya di Jertih, Terengganu.

“Saya dan isteri dah minta cuti dua minggu nak balik kampung sebab agak lama tak balik. Anak-anak pun seronok terutama Puteri yang asyik tanya bila nak balik rumah mak di Terengganu.

“Tapi benda ni pula yang terjadi, saya tak tahu nak kata apa. Isteri saya sampai tak lena tidur, berlinang air mata sepanjang masa,” katanya.

Ditanya mengenai kelakuan anak-anaknya sebelum kejadian, Rusdi berkata, ketiga-tiga anaknya tidak mempunyai ramai kawan termasuk tidak mengetahui sama ada anaknya mempunyai kawan lelaki atau tidak.

“Mereka banyak berada di rumah, kawan-kawan pun perempuan dan saya pun kenal. Bila tanya kawan anak, mereka pun kata tak ada berkawan dengan lelaki.

“Lagipun kami baru tinggal di sini setahun lebih, sejak duduk sini kami anak beranak tak ada masalah apa-apa...orang kampung pun OK,” katanya.


sinar harian


artikel sebelum ini - KLIK


http://omarbinabdulaziz.blogspot.com/p/hari-berganti-hari-berlalu-dan-kematian.html

No comments: