Sunday, September 15, 2013

PKR terbuka dengan kajian politik Pas

Datuk Saifuddin Nasution Ismail

SHAH ALAM - PKR menyatakan keterbukaannya terhadap syor Dewan Ulama Pas untuk mengkaji semula kerjasama politik (tahaluf siasi) dengan parti reformasi itu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution berkata, kajian itu adalah cadangan daripada sayap parti dan ia tidak akan menggugat kerjasama yang sedia ada dalam PR.

Menurutnya, PKR akan terus komited menjalinkan kerjasama politik seperti yang telah dipersetujui oleh tiga parti perikatan PR iaitu DAP, PKR dan Pas.


"Itu hanya keputusan daripada sayap parti, kita akan respon untuk keputusan daripada pucuk pimpinan Pas secara total sahaja bukan Pemuda dan sebagainya.

"Kita berpegang kepada apa yang telah dipersetujui dalam perjanjian kerjasama PR. Jadi tidak timbul untuk PKR juga untuk mengkaji semula kerjasama politik itu.

"Kita akan terus komited untuk bekerjasama dengan Pas dalam PR, apabila kita telah diberi kepercayaan oleh rakyat melalui undi popular pada PRU lalu," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Semalam, Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib mencadangkan supaya kerjasama politik di antara perlu PKR dikaji semula.

"Amat wajar sekali tahaluf siasi bersama PKR ini dikaji setelah berlaku perkara-perkara yang boleh melemahkan Pas dan merosakkan hubungan di dalam tahaluf siasi," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pemuda Pas, Nasruddin Hassan menyokong supaya tahaluf siasi wajar dikaji semula.

Nasrudin yang dipetik sebagai berkata, sekiranya hasil kajian itu mendapati tahaluf siasi yang berlangsung selama empat tahun lepas tidak menepati syarat yang telah digariskan oleh para alim ulama Islam dan mendatangkan keburukan atau kemudaratan buat perjuangan Islam yang didokong oleh Pas maka haram tahaluf itu diteruskan.

Mengulas perkara sama, Saifuddin yang juga bekas Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, parti perikatan itu akan terus berpegang kepada konsensi yang telah dipersetujui PR.


sumber - sinar harian

No comments: