Sunday, September 22, 2013
KEILMUAN DAN KEFAQIHAN TENTANG ISLAM MERIT PEMIMPIN UTAMA GERAKAN ISLAM
Kenyataan Media DUPP:-
KEILMUAN DAN KEFAQIHAN TENTANG ISLAM MERIT PEMIMPIN UTAMA GERAKAN ISLAM
1. Individu yang faqih memahami al-Quran dan al-Sunnah mempunyai kedudukan yang tinggi dan mulia di sisi Allah dengan syarat disertai dengan taqwa sebagaimana sabit dalam al-Quran dan al-Hadis. Nabi bersabda: ُ مَنْ يُرِدْ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ Sesiapa yang Allah mahukan untuk dirinya satu kebaikan maka Allah bagi kefaqihan (kefahaman mendalam) dalam agama. Hadis Bukhari.
2. Menjelaskan kedudukan dan kelebihan ulamak secara umum sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam hadis tidak bererti mensucikan individu yg alim daripada kelemahan dan kesilapan.
3. Ulamak bukan jenama eksklusif milik golongan atau institusi tertentu seperti Majlis Syura Ulamak, Dewan Ulamak, Persatuan-persatuan Ulamak, Majlis-majlis Ulamak dan seumpamanya tetapi ia adalah sifat yg boleh dimiliki oleh sesiapa yg menguasai disiplin ilmu wahyu yang baik dgn kemampuan bahasa arab yg mantap dan mampu merujuk kepada al-Quran dan al-Hadis meskipun dia seorang peniaga, petani, kerani, ahli politik, doktor, jurutera dan sebagainya.
4. Mencadangkan Presiden dan Timbalan di kalangan "ulamak yang faqih dan memahami realiti semasa" adalah cadangan berasaskan merit dan kelayakan untuk diberi keutamaan (afdhal/lebih baik) untuk menjadi pemimpin iaitu ilmu agama di samping sifat kepimpinan yg lain seperti beriman, bertaqwa, bijak dan amanah.
5 . Cadangan tersebut tidak menafikan kelayakan untuk memimpin bagi individu-individu yang mempunyai sifat-sifat pemimpin seperti beriman, bertaqwa, bijak dan amanah namun memiliki kekurangan pada keilmuan dan kefaqihan agamanya.
6. Cadangan tersebut juga tidak menghalang mana-mana individu yg mempunyai sifat kepimpinan seperti beriman, bertaqwa, bijak dan amanah tetapi masih kekurangan pada keilmuan dan kefaqihan agamanya, meskipun latarbelakang pekerjaannya pelbagai tetapi masih tetap berkelayakan untuk menjadi pemimpin di semua peringkat parti sama ada cawangan, kawasan mahupun pusat. Dan itulah yang telah berlaku selama berdekad dalam PAS sejak awal penubuhannya.
7. Cadangan ilmu dan faqih agama sebagai merit kelayakan pemimpin utama gerakan Islam bukanlah cadangan yg undur ke belakang sebagaimana dakwaan setengah pihak kerana ia selari dgn Islam sebagaimana yg telah dicontohkan oleh para rasul dan khulafa rashidin. Kegemilangan mereka menjadi teladan kepada kita dalam mengemudi gerakan Islam pada masa kini. Merit ini perlu turut digabungkan dengan sifat quwwah dan amanah yg menjadi sebahagian kriteria umum kepada sesebuah kepimpinan. Malah menentang cadangan tersebut adalah langkah mundur meninggalkan Islam yg menjadi asas rujukan gerakan islam.
8. Gerakan Islam bermatlamat memandu manusia kepada Islam dan mendapatkan kuasa untuk memerintah dengan Islam. Usaha gerakan Islam ialah membentuk kerajaan yang berfungsi إقامة الدين وسياسة الدنيا به "Menegakkan agama dan mentadbir bumi dengan agama" Justeru selayaknya dan sewajarnya keilmuan dan kefaqihan mendalam tentang Islam menjadi pra syarat dan merit tambahan untuk menjadi pemimpin utama gerakan Islam. Sebagaimana organisasi perubatan selayak dan sebaiknya dipimpin oleh mereka yg paling berkepakaran tentang perubatan tanpa menafikan kelayakan orang-orang yang juga berada di bidang perubatan.
9. Seorang individu yg alim tetapi tidak memiliki sifat2 kepimpinan yg lain seperti beriman, bertaqwa, bijak dan amanah sewajarnya tidak diberikan amanah kepimpinan.
10. Serangan berbentuk cemuhan dan tohmahan terhadap resolusi Multaqa Ulamak Se-Malaysia ini dibimbangi hanya berasaskan emosi dan bukannya berasaskan ilmu. Ahli2 PAS tidak sewajarnya terikut-ikut dengan segelintir penulis maya yg berbahasa kotor, jijik dan sinis. Nabi saw bersabda : لَيْسَ الْمُؤْمِنُ بِالطَّعَّانِ وَلا اللَّعَّانِ وَلا الْفَاحِشِ وَلا الْبَذِيءِ " . Bukanlah mukmin itu seorang yg terlalu suka mengecam dan membuat tohmahan, tidak juga yg terlalu suka melaknat, tidak juga berbahasa lucah dan tidak juga berbahasa kotor dan jijik. (Hadis riwayat Ahmad dan Hakim )
11 . Sikap memperbodohkan pandangan dan resolusi multaqa yang dibuat secara jamaei oleh ulamak bukanlah sebahagian daripada akhlak Islam kerana ia gambaran keegoan dan keangkuhan pandangan. Jauh sekali menjadi akhlak kepada pendokong gerakan Islam. Dibimbangi akan termasuk dalam kategori peringatan Nabi saw: أَخْوَفُ مَا أَخَافُ عَلَيْكُمْ ثَلاثُ مُهْلِكَاتٍ : شُحٌّ مُطَاعٌ ، وَهَوًى مُتَّبَعٌ ، وَإِعْجَابُ كُلِّ ذِي رَأْيٍ بِرَأْيِهِ " . Yang paling saya bimbang terhadap kamu tiga perkara yang membinasakan; kebakhilan yang ditaati, nafsu yang diikuti dan kekaguman setiap individu yang memberikan pandangan dengan pandangannya. (Riwayat al- Bazzar dan al-Asbahani)
12. Tidak ada sebab untuk ahli-ahli gerakan Islam yang tidak mempunyai ilmu mendalam tentang Islam terasa dipinggirkan daripada kepimpinan gerakan Islam sekiranya mereka memahami fungsi dan matlamat perjuangan gerakan Islam. Ia sepatutnya menjadi cabaran kepada setiap ahli-ahli gerakan Islam untuk berusaha menambahkan ilmu tentang Islam untuk melayakkan mereka juga mempunyai merit tambahan sebagai pemimpin gerakan Islam sementelah lagi mendalami Islam itu sememangnya tuntutan Islam dan tuntutan perjuangan. Malah setiap ahli PAS boleh berperanan dan menyumbang untuk kemajuan dakwah dan perjuangan PAS dengan pelbagai cara berdasarkan kelebihan yang dimiliki oleh setiap orang kerana nilaian di sisi Allah pada kerja dan amal. {وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ} [التوبة:105] Dan katakanlah oleh kamu semua; bekerjalah pasti nanti Allah melihat kerja kamu dan juga ia dilihat oleh Rasul-Nya dan orang2 beriman"
13. Perjawatan dalam gerakan Islam adalah amanah dan tanggungjawab membawa Islam dan bukannya kemuliaan yang menjadi rebutan individu yang menganggotainya. Resolusi Multaqa mencadangkan merit kelayakan memikul amanah dan tanggungjawab bagi menjadi pertimbangan ahli dalam memilih pemimpin yang menggalas amanah.
14. Apatah lagi resolusi hanya menegaskan syarat tambahan itu khususnya untuk perjawatan Presiden dan Timbalan dan sebahagian Naib Presiden yang merupakan pengemudi utama gerakan Islam. Ia tidak merujuk kepada perjawatan-perjawatan lain.
15. Tidakkah selama ini sejak awal penubuhan PAS, kuliah ilmu Islam dalam pelbagai bentuk merupakan sebahagian daripada agenda utama Parti Islam Semalaysia PAS. Dengan penyebaran ilmu inilah masyarakat semakin meninggalkan kejahilan dan jahiliyyah pemerintah BN dan UMNO harini. Maka selayaknya kefahaman agama menjadi nilaian dalam menentukan kepimpinan oleh ahli-ahli PAS. Atau adakah kerana leka berpolitik semata-mata menyebabkan ahli2 PAS tidak lagi melihat kefahaman agama mendalam sebagai suatu yang mendasar dan paksi dalam perjuangan serta nilai tambah kepimpinanan?
16. Cadangan Presiden dan Timbalan di kalangan "ulamak yg memahami dan faqih tentang Islam dan realiti semasa" bukanlah satu bentuk "meminta jawatan" sebagaimana dakwaan sebahagian pihak. Ia adalah penegasan prinsip dan kaedah penilaian kepimpinan. Multaqa Ulamak mencadangkan sebagai satu kewajipan orang berilmu untuk menyatakan pandangan Islam dalam kepimpinan. Jika para alim ulamak tidak menyatakannya, siapakah lagi yang diharapkan untuk menjelaskan prinsip tersebut. Malah ulamak tidak perlu malu untuk bertindak sedemikian bahkan malu menyatakan kebenaran adalah usikan syaitan supaya ulamak menyembunyikan kebenaran.
17 . Jawatan dalam Islam tidak boleh diminta atau dituntut oleh individu Islam sebagaimana seseorang individu meminta dirinya dipilih menjadi Presiden dan Timbalan. Inilah penegasan hadis-hadis Nabi saw. Resolusi Multaqa adalah resolusi jamaei secara beramai-ramai oleh ulamak untuk menegaskan nilai tambah syarat kepimpinan iaitu "faqih" dan bukannya perlakuan meminta jawatan oleh individu untuk dirinya sendiri secara individu. Kekeliruan memahami hukum "meminta jawatan" ini perlu dirungkai supaya tidak berlaku kekeliruan hukum lalu menempelak ulamak kononnya meminta jawatan.
18. DUPP sangat yakin dengan perjalanan panjang PAS yang berusia 62 tahun, ia memiliki sangat ramai ahli-ahli yang mempunyai nilai tambah kepimpinan yang "faqih" tentang Islam dan realiti semasa meskipun ia belum dikedepankan lagi kepada ahli untuk alternatif pilihan dalam muktamar pemilihan.
19 . DUPP menegaskan bahawa resolusi Multaqa agar Presiden dan Timbalan sewajarnya daripada kalangan ulamak (orang-orang berilmu) yang faqih tentang Islam (memahami dgn mendalam al-Quran dan al-Sunnah) dan realiti semasa (seperti isu politik semasa) adalah resolusi yang selaras dengan saranan Islam. Ia dilontarkan kepada seluruh ahli-ahli PAS untuk bahan penilaian atas kesedaran bahawa perlembagaan PAS tidak meletakkan syarat tersebut sebagai syarat wajib maka ia terbuka untuk menjadi syarat nilai tambah kepada kelayakan berasaskan Islam.
20. Merit kefahaman agama mendalam sebagai kelayakan terbaik menjadi pemimpin sangat penting dan mendasar. Nabi saw bersabda : إِذَا ضُيِّعَتْ الْأَمَانَةُ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ قَالَ كَيْفَ إِضَاعَتُهَا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ إِذَا أُسْنِدَ الْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ Apabila amanah dipersiakan maka tunggulah kiamat. Sahabat bertanya; bagaimana amanah dipersiakan? Baginda menegaskan "apabila sesuatu urusan disandarkan kepada bukan ahlinya (tidak berkelayakan) maka tunggulah kiamat" Hadis Bukhari
YB Ustaz Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Setiausaha
Dewan Ulamak PAS Pusat
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment