Saturday, August 31, 2013

Kisah Mangkuk Yang Cantik



Pada satu ketika, Rasulullah SAW telah mengajak para sahabatnya Abu Bakar RA, Umar RA dan Usman RA, berziarah ke rumah menantunya Ali RA. Ketika berada di rumah mereka Ali RA dan Fatimah menghidangkan mereka madu yang diletakkan di dalam mangkuk yang cantik.

Ketika madu itu dihidangkan dan hendak dimakan, terdapat sehelai rambut termasuk di dalam madu berkenaan. Sebelum mereka makan, Rasulullah SAW berkata sesuatu kepada para sahabatnya.

"Ya sahabatku, cuba kita masing-masing buat perbandingan dengan apa yang dilihat di depan mata iaitu sebuah mangkuk yang cantik, madu yang manis dan sehelai rambut." kata Rasulullah SAW.

Para sahabatnya memerhatikan mangkuk yang berisi madu, memang ada sehelai rambut yang sudah pastinya tidak disengajakan diletak di situ bersama madu.

"Iman itu lebih cantik daripada mangkuk yang cantik ini. Orang yang beriman itu lebih manis daripada madu dan mempertahankan iman itu lebih susah daripada meniti sehelai rambut." Abu Bakar RA memulakan pandangannya. Kemudian diikuti oleh Umar RA.

Kata Umar RA, "Kerajaan itu lebih cantik daripada mangkuk yang cantik ini. Seorang raja itu lebih manis daripada madu dan memerintah dengan adil itu lebih sulit daripada meniti sehelai rambut."

Setelah mendengar dua pandangan itu, giliran Usman RA pula memberikan pandangannya. Katanya, "Ilmu itu lebih cantik daripada mangkuk yang cantik ini. Menjamu tetamu itu lebih manis daripada madu dan beramal dengan ilmu itu lebih yang dimiliki itu lebih sulit daripada meniti sehelai rambut".

Manakala Ali RA pula berpendapat, "Tetamu itu lebih cantik daripada mangkuk yang cantik ini, menjamu tetamu itu lebih manis daripada madu dan membuat senang sampai kembali ke rumah mereka adalah lebih sulit daripada meniti sehelai rambut".

Sementara itu Fatimah RA pula berkata, "Seorang wanita itu lebih cantik daripada mangkuk yang cantik itu. Wanita yang berpurdah itu lebih manis daripada madu dan mendapatkan wanita yang tidak pernah dilihat orang lain kecuali muhrimnya lebih sulit daripada meniti sehelai rambut."

Rasulullah SAW tersenyum mendengar pandangan daripada para sahabatnya. Semua pandangan itu benar dan tidak ada salahnya.

Kemudian Rasulullah SAW pula memberikan pandangannya. " Seseorang yang mendapat taufik untuk beramal adalah lebih cantik daripada mangkuk yang cantik itu. Beramal dengan amal yang baik itu lebih manis daripada madu dan berbuat amal dengan ikhlas itu lebih sulit daripada meniti sehelai rambut."

Mendengarkan para sahabat memberikan pandangan, malaikat Jibril AS juga memberikan pandangannya. Katanya, "Menegakkan tiang-tiang agama itu lebih cantik daripada mangkuk yang cantik itu. Menyerahkan diri, harta dan waktu untuk menyebarkan agama lebih manis daripada madu dan mempertahankan syiar agama sehingga akhir hayat itu lebih sulit daripada meniti sehelai rambut."

Manakala Allah pula berfirman, "Syurga-Ku itu lebih cantik daripada mangkuk itu. Nikmat syurga-Ku itu lebih manis daripada madu dan jalan menuju syurga-Ku itu lebih sulit daripada meniti sehelai rambut."

Begitulah, berpandukan kepada apa yang dilihat di dalam hidup ini, pelbagai tafsiran dapat dirumuskan. Walaupun sebahagiannya ada yang mudah dan menyulitkan tetapi semua itu memerlukan kebijaksanaan untuk melaksanakannya.

Sumber : Buku 'Aku Sanggup Duhai Muhammad'
Pengarang : Muhd Nasruddin Dasuki

No comments: