Makna Berselawat:
Makna berselawat atas Nabi Muhammad s.a.w. ialah berdoa memohon supaya Allah Taala melimpahkan rahmat menambahkan kemuliaan, kehormatan dan kepujian kepada penghulu kita Nabi Muhammad s.a.w
Maksud dan tujuan berselawat:
Maksud dan tujuan berselawat atas Nabi Muhammad ialah
(1) Mematuhi perintah Allah s.w.t yang tersebut dengan jelas iaitu di dalam ayat 56 Surah Al-Ahzab yang menyuruh orang-orang yang beriman berselawat dan bertaslim kepada Nabinya, Muhammad s.a.w.
(2) Menunaikan maksud yang terkandung pada sepotong dari ayat 77 Surah al-Qasas yang memerintahkan kita melakukan kebaikan dan kemurahan sebagai menghargai dan mensyukuri nikmat-nikmat ihsan pengurniaan-Nya kepada kita dan sememang maklum bahawa sebahagian yang terbesar daripada-nya ialah nikmat ihsan-Nya mengurniakan kita seorang Rasul yang teragung, Nabi Muhammad s.a.w.
(3) Mengenang budi dan jasa baik Nabi Muhammad s.a.w. yang tidak putus-putus sekalipun Baginda s.a.w. telah meninggal dunia dan berada di alam barzakh sebagaimana sabdanya s.a.w., pada hadis lbn Mas'ud yang diriwayatkan oleh al-Bazzaar yang bererti: "Hidupku adalah kebaikan kepada kamu dan wafatku adalah kebaikan juga kepada kamu, kerana segala amal kamu sentiasa dibentangkan kepadaku, maka apa sahaja amal yang aku dapati baik, aku ucapkan: Alhamdulillah, dan apa sahaja amal kamu yang aku dapati jahat, aku :! memohon keampunan Allah untuk kamu."
(a) Dan (b) hadis lbn Umar, r.a. yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud juga Nasa'i dan hadis Jabir r.a. yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi dan Abu Daud yang menyatakan bahawa. Sesiapa yang menerima budi orang, sama ada yang berupa harta benda, ilmu pengetahuan atau
perkara lain maka orang yang menerima budi itu disuruh membalasnya
dengan sebarang yang ada padanya, setidak-tidaknya dengan berdoa untuk
orang yang berbuat budi itu seberapa banyak yang ia fikir berpadanan dengan budi yang Ia terima; orang yang tidak berbuat demikian adalah orang yang kufurkan nikmat, orang yang tidak mengenang budi
(c)
Hadis Usamah bin Zaid, r.a. yang diriwayatkan oleh Tirmizi yang
menyatakan bahawa: Sesiapa yang menerima budi orang lalu ia setelah
tidak berdaya hendak membalasnya - berkata kepada yang berbuat budi itu: `Tuhan jualah yang membalasmu dengan kebaikan di dunia dan akhirat', maka bererti ia telah membalas budi itu dengan sepenuhnya.
(d)Hadis Abu Hurairah yang diriwayatkan oleh Tirmizi dan Abu Daud
yang menyatakan bahawa: Sesiapa yang tidak syukurkan dan tidak
mengenangkan budi yang dibuat orang kepadanya adalah orang yang tidak
menghargai dan tidak mensyukuri nikmat Allah s.w.t.
Hukum Berselawat:
Berdasarkan
ayat-ayat dan hadis yang tersebut maka aIim ulama telah sekata
menetapkan bahawa hukum berselawat kepada Nabi s.a.w. adalah wajib pada keseluruhannya, tetapi mereka tidak sekata tentang bilakah masa wajib berselawat dan berapakah bilangan kalinya, bahkan mereka berselisih kepada beberapa pendapat, di antaranya:
(1) Wajib berselawat dalam masa mengerjakan tiap-tiap sembahyang.
(2) Wajib berselawat dalam masa membaca Tasyahud (Tahyat).
(3) Wajib berselawat dalam masa membaca Tasyahud selepas membaca dua: Kalimah Syahadah. (Tahyat) akhir
(4) Dalam seumur hidup cukuplah satu kali berselawat untuk menunaikan hukum wajibnya dan yang lebih dari itu adalah satu sunat yang digalakkan oleh Islam dan yang menjadi syiar ahli Islam.
(5) Wajib berselawat pada tiap-tiap kali menyebut, menulis atau mendengar nama Nabi Muhammad s.a.w., atau ganti namanya atau pun pangkat kenabiannya juga pangkat kerasulannya s.a.w.. Pendapat ini ialah pendapat sebahagian besar daripada penyokong-penyokong Mazhab Maliki, Mazhab Hanafi, Mazhab Syafie dan Mazhab Hambali, mereka berpendapat bahawa sesiapa yang tidak berselawat pada masa-masa yang tersebut maka ia telah melakukan dosa besar kerana banyak hadis yang menjelaskan bahawa Rasulullah s.a.w., telah memberi amaran menyatakan bahawa sesiapa yang tidak berselawat kepada Baginda s.a.w., pada masa disebutkan nama atau ganti nama Baginda s.a.w. maka dialah orang yang sebakhil-bakhil manusia, dialah yang mendapat kehinaan yang memalukan dan memuramkan mukanya, dialah yang beroleh kepayahan dan kesusahan, dialah yang jauh dari rahmat Allah dan dialah yang akan masuk ke dalam neraka sekiranya tidak diampunkan dosanya meninggalkan berselawat
itu, (sebagaimana yang tersebut dalam hadis Abu Zar al-Ghifari, yang
diriwayatkan oleh Ibn Abu Asim; Hadis Abu Hurairah riwayat Tirmizi dan al-Hakim; riwayat at-Tabari dan Bukhari pada al-Adab al-Mufrad; Hadis Abu Hurairah riwayat Ibn Hibban dan al-Bukhari pada al-Adab al-Mufrad dan hadis Abdullah bin Jarad riwayat ad-Dailami).
Peringatan: Hendaklah diketahui dan diingat bahawa meringkaskan susun kata " صلى الله عليه وسلم" dengan "ص" atau pun dengan "صلعم" adalah cara perbuatan orang bakhil.
Faedah berselawat:
Banyak
hadis-hadis yang menyatakan faedah-faedah berselawat kepada Nabi
Muhammad s.a.w. dan ramai pula ulama yang telah menyusun kitab-kitab dan
risalah-risalah khas untuk menerangkan faedah-faedah yang ternyata daripada hadis-hadis yang tersebut.
Jelasnya
sesiapa yang berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w. dengan maksud dan
tujuan yang telah dinyatakan dahulu dapatlah Ia menerima:
(1) Berganda-ganda rahmat yang dilimpahkan Allah kepadanya;
dan sememang maklum bahawa rahmat Allah adalah satu perkara yang
sangat-sangat dikehendaki dan yang sungguh-sungguh dipohon oleh
tiap-tiap orang mukmin, kerana sebarang nikmat - ilmu pengetahuan, anak pinak, harta benda, pengaruh dan kebesaran - kalau tidak disertai oleh rahmat Allah, akan menjadi "Niqmat" dan bala' bencana, oleh sebab itu Tuhan menyuruh kita bergembira dengan rahmat kasih sayangNya sahaja (58 Surah Yunus).
(2) Tempat-tempat yang berdekatan dengan Nabi Muhammad s.a.w. pada hari qiamat kelak di mana sahaja Baginda s.a.w., berada.
(3) Keutamaan beroleh syafaat yang khas dari Nabi Muhammad s.a.w. pada hari qiamat.
(4) Doa selawat Malaikat yang sentiasa berselawat kepadanya selama Ia berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w.
(5) Jaminan terpeliharanya
dan terselamatnya daripada segala apa yang mendukacitakannya dan yang
membimbangkannya dari perkara-perkara dunia dan akhirat.
(6) Habuan yang menyelamatkan dia daripada ditimpa keburukan yang menimpa orang yang tidak berselawat kepada Nabi Muhammad yang telah disebutkan dahulu.
Semuanya ini, kecuali yang tersebut pada nombor 6 ditegaskan oleh hadis-hadis yang berikut:
33- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ " مَنْ صَلَّى عَلَيَّ وَاحِدَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ بها عَشْرًا ". (مسلم والترمذي وأبو داود والنسائي والإمام أحمد وابن حبان)
33- Dari Abu Hurairah, r.a. bahawa Nabi s.a.w., bersabda: "Sesiapa yang berselawat kepada-ku sekali selawat nescaya Allah limpahkan sepuluh rahmat kepadanya dengan sebab sekali selawat itu."
(Muslim, Tirmizi, Abu Daud, Nasa'i, Imam Ahmad dan Ibn Hibban)
34- عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ "إِنَّ أَقْرَبَكُمْ مِنِّي يَوْمَ الْقِيَامَةِ فِي كُلِّ مَوْطِنٍ أَكْثَرُكُمْ عَلَيَّ صَلَاةً فِي الدُّنْيَا …." (البيهقي)
34- Dari Anas, r.a., bahawa Nabi s.a.w., bersabda: "Sesungguhnya orang yang lebih hampir kepadaku dari kalangan kamu pada ban qiamat pada setiap tempat yang aku berada padanya ialah orang yang lebih banyak selawatnya kepadaku di dunia
(al-Baihaqi)
35- عَنْ
ابْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَوْلَى النَّاسِ بِي يَوْمَ
الْقِيَامَةِ أَكْثَرُهُمْ عَلَيَّ صَلَاةً ". (الترمذي)
35- Dari Ibn Mas'ud, r.a. bahawa Nabi s.a.w., bersabda: "Orang yang lebih berhak mendapat syafaatku pada hari qiamat ialah orang yang lebih banyak selawatnya kepadaku."
(Tirmizi)
36- عَنْ
عَامِرِ بْنِ رَبِيعَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً لَمْ
تَزَلْ الْمَلَائِكَةُ تُصَلِّي عَلَيْهِ مَا صَلَّى عَلَيَّ فَلْيُقِلَّ
عَبْدٌ مِنْ ذَلِكَ أَوْ لِيُكْثِرْ ". (الإمام أحمد وابن ماجه)
36- Dari Amir bin Rabi'ah, r.a., bahawa Rasulullah s.a.w.
bersabda: "Sesiapa yang berselawat kepadaku dengan sesuatu selawat,
sentiasalah Malaikat berdoa untuknya selama ia. berselawat kepadaku oleh
itu terpulanglah kepada seseorang sama ada ia hendak berselawat sedikit atau banyak. "
(Imam Ahmad dan Ibn Majah)
37- عَنْ
أُبَيِّ بْنِ كَعْبٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ
إِنِّي أُكْثِرُ الصَّلَاةَ عَلَيْكَ فَكَمْ أَجْعَلُ لَكَ مِنْ صَلَاتِي
قَالَ مَا شِئْتَ قُلْتُ الرُّبُعَ قَالَ مَا شِئْتَ وإِنْ زِدْتَ فَهُوَ
خَيْرٌ لَكَ قُلْتُ فالنِّصْفَ قَالَ مَا شِئْتَ وَإِنْ زِدْتَ فَهُوَ
خَيْرٌ لَكَ قَالَ قُلْتُ فَالثُّلُثَيْنِ قَالَ مَا شِئْتَ وَإِنْ زِدْتَ
فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ قُلْتُ أَجْعَلُ لَكَ صَلَاتِي كُلَّهَا قَالَ إِذن
تُكْفَى هَمَّكَ وَيُغْفَرُ لَكَ ذَنْبُكَ …". (الترمذي وأحمد والحاكم)
37- Dari Ubai bin Ka'ab, r.a. katanya: "Ya Rasulullah! Aku banyak menggunakan masa berdoa, memohon rahmat untuk diriku, sekarang aku hendak untukkan masa berselawat bagi tuan maka sebanyak mana yang elok aku untukkan?" Baginda s.a.w., menjawab: "Sekadar mana yang engkau suka"; Aku berkata: "Aku hendak untukkan sesuku dari masaku"; Baginda s.a.w., bersabda: "Sekadar mana yang engkau suka, dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik untukmu"; Aku berkata: "Kalau begitu aku untukkan setengah dari masaku" Baginda s.a.w bersabda: "Suka hatimulah dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik untukmu"; Aku berkata: "Kalau demikian, aku untukkan dua pertiga dari masa Baginda s.a.w., bersabda: "Suka hatimulah, dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik -
untukmu"; Aku berkata: "(Kalau begitu) aku jadikan masa berdoaku
semuanya untuk berselawat kepada tuan"; Baginda s.a.w., bersabda: "Jika
demikian, terpeliharalah dan terselamatlah engkau dari apa yang
mendukacitakan dan membimbangkanmu, sama ada perkara dunia mahu pun perkara akhirat dan diampunkan dosamu ..."
(Tirmizi, Imam Ahmad dan al-Hakim)
Masa yang dituntut berselawat padanya:
Penghulu kita Nabi Muhammad, sangat inginkan kita beroleh faedah-faedah kebaikan yang di antaranya faedah berselawat kepadanya s.a.w., oleh sebab itu maka banyak hadis-hadis yang menggalakkan kita
memberi seberapa banyak masa untuk berselawat kepadanya s.a.w khasnya
pada tiap-tiap malam Jumaat dan harinya, kerana hari Jumaat adalah hari
raya mingguan kepada tiap-tiap orang yang mempercayakan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. , hari yang padanya tiap-tiap orang mukmin dituntut membanyakkan ibadat lebih daripada hari-hari yang lain maka kepada orang mukmin hari itu bukanlah hari permainan atau hiburan
Di antara masa-masa dituntut lagi berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w. ialah:
(1) Setelah selesai habis menjawab azan (bang) dan sebelum membaca doa azan.
(2) Pada masa berada di mana-mana tempat perhimpunan yang baik dan pada masa meninggalkan tempat itu.
(3) Pada masa berdoa iaitu pada permulaannya, pertengahannya dan pada penghabisannya, bahkan ada hadis yang menyatakan bahawa doa tidak diangkat ke langit selagi yang berdoa itu tidak berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w.
(4) Setelah selesai mengambil wuduk iaitu di antara tasyahudnya dan doanya yang termaklum.
(5) Pada masa masuk ke masjid dan pada masa keluar daripadanya.
Selepas berselawat elok ditambah dengan berdoa: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي ذُنُوبِي وَافْتَحْ لِي أَبْوَابَ رَحْمَتِكَ pada masa masuk dan dengan: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي ذُنُوبِي وَافْتَحْ لِي أَبْوَابَ فَضْلِكَ apabila keluar.
(6) Pada masa telinga berdesing iaitu dengan berkata:
" محمدا رسول الله صلى الله عليه وسلم ذكر الله من ذكرنى بخير"
(7) Pada masa seseorang lupakan satu-satu perkara. Tentang ini Rasulullah s.a.w., menyatakan, maksudnya: "Sesiapa yang berbuat demikian diberikannya kemudahan mengingati perkara itu Insya Allah. "
Cara Berselawat:
Selain daripada berselawat di dalam tahiyat sembahyang maka tidak dimestikan berselawat dengan satu-satu cara yang tertentu bahkan boleh berselawat dengan mana-mana "Susun kata" yang halus manis dan beradab sopan, yang bererti menzahirkan kesempurnaan sifat kemuliaan Nabi Muhammad s.a.w., dan keagungan darjat kehormatannya s.a.w., serta kebaikan jasa dan budinya s.a.w., yang berkekalan hingga ke akhirat, tetapi seelok-eloknya berselawat dengan mana-mana satu cara yang diriwayatkan daripada Nabi Muhammad s.a.w., yang telah pun dihimpunkan oleh alim ulama; dan yang seafdal-afdalnya ialah selawat yang biasa dibaca selepas tahiyat akhir tiap-tiap sembahyang kerana ulama telah menetapkan bahawa sesiapa yang bersumpah atau bernazar hendak berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w., dengan seafdal-afdal selawat maka tidak dihukum terlepasnya daripada wajib menepati sumpah atau nazarnya itu melainkan dengan membaca selawat:
اللَّهُمَّ
صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى
إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى
آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ
إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِيْنَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
sumber - IslamGRID
sumber - IslamGRID
No comments:
Post a Comment