Thursday, July 11, 2013

Ayahku mendoakan aku hidup, tetapi aku mendoanya mati



Ayahku mendoakan aku hidup, tetapi aku mendoanya mati

Suatu hari Saidina Umar berjalan memasuki sabuah perkampungan, dari jauh ia melihat seorang lelaki sedang menggendong seseorang tua di belakangnya, sekejap ia duduk, sekejap berlari-lari anak, sekejap ia bermain-main mengeliling lelaki tua itu, sekejap ia berhenti menyuapkan makan ke mulut lelaki itu. 

Melihatkan hal itu Saidina Umar menghampiri lelaki tersebut lalu Saidina Umar memujinya kerana sangat memuliakan lelaki tua itu. 

Kata lelaki itu: 
"Dia ni ayah ku. Usianya telah lanjut, bila aku jauh darinya dia menangis memanggil-manggil aku, sekejap dia minta aku suapkan makanan, lalu aku menyuapnya, kamudian dia minta aku mendukungnya, lalu aku mendukungnya. Dia telah nyanyuk ya Umar.” 


Lalu Saidina Umar memuji anak tersebut dengan menyatakan: 
"Kamu seorang anak yang soleh, kamu telah memuliakan ayah kamu sebegini rupa.” 

Lalu jawab lelaki tersebut: 
"Jangan kamu kata begitu ya Umar, Aku baru menyuapkan makanan ke mulutnya baru seminggu dua ya Umar, sedangkan ayahku dahulu menyuapkan makanan ke mulutku dua tahun ya Umar. Begitu juga aku baharu menggendongnya dua tiga minggu ini, sedangkan ayahku dahulu menggendongku bertahun ya Umar. Bahkan sewaktu aku kecil ayahku sentiasa menginginkan aku hidup dan sihat, sedangkan terselit di dalam hatiku menginginkan agar ayahku mati ya Umar.” 

Marilah kita renungi kisah ini sebagai tauladan di bulan Ramadhan ini. 

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, menyatakan:
"Suatu hari Rasulullah s.a.w menaiki mimbar, setelah Baginda menaiki tangga mimbar pertama, baginda berkata Amin, Baginda melangkah tangga kedua, Baginda berkata Amin, Baginda melangkah tangga ke tiga Baginda berkata amin. 

Setelah siap khutbah, lalu sahabat bertanya, kami mendengar kamu berkata amin pada setiap tangga mimbar tadi, kenapa ya Rasulullah, lalu sabda Baginda, Jibril telah datang kepadaku, apabila aku menaiki tangga pertama aku dengar Jibril berdoa, “Rugi dan binasalah sesiapa yang mendengar nama kamu disebut, tetapi mereka tidak berselawat ke atas kamu,” lalu aku berkata Amin. 

Bila aku melangkah tangga kedua, Jibril berkata, "Rugi dan binasalah sesiapa mendapati ibubapanya telah tua, ia tidak memuliakannya sehingga Allah humbankannya ke neraka,” lalu aku berkata Amin. 

Bila aku melangkah tangga mimbar ketiga, Jibril berkata "Rugi dan binasalah sesiapa yang hidup dalam bulan Ramadhan, lalu Allah tidak mengampuni dosanya.”

Bayangkan yang mendoakan adalah Malaikat Jibril, dan yang mengaminkannya adalah Rasulullah. 

Marilah kita melihat sejauh mana kita yang masih mempunyai ayah ibu meluangkan masa untuk menggembirakannya di saat-saat usia mereka berada di penghujung ini. 

Apakah kita tidak punyai sedikit masa untuk pulang berbuka bersama ayah ibu, sedang saat kita masih kecil, kita tentu ingat bagaimana susah payah ibu menyediakan makanan kegemaran kita untuk berbuka? 

Saya masih ingat seorang ibu tua menyiapkan makanan untuk juadah berbuka, bilamana mendengar azan, tiba-tiba ibu ini menyuapkan sedikit makanan, lalu ia tercekik, tidak mampu menelannya. 

Bila ditanya, kenapa? Ibu itu menjawab ia teringatkan anaknya, kerana kuih yang disediakan untuk berbuka adalah kuih yang paling anaknya sukai. Dia menjangka anaknya pulang petang itu untuk berbuka bersama, namun ia hampa. 

Anaknya tidak pulang sebagaimana dijanjikan. "Mungkin ada urusan,” keluhnya dengan hampa. Bagaimana kalau anda berada di posisi ibu itu? 

Buatlah sesuatu bagi memuliakan mereka pada bulan yang diberkati ini. Ingatlah, kalau anda sayangi ayah ibu tunjukkan agar mereka menikmati kasih sayang anda. 

Selamat berpuasa, dan jangan lupa senyumlah, kerana anda adalah anak soleh. InsyaAllah.

No comments: