Monday, September 10, 2012

Kejayaan Hasihin dedah isu OKU

Hasihin Sanawi hanya insan biasa yang tidak pernah disebut namanya sebelum ini. Dia bukan Datuk Lee Chong Wei dan ratu terjun, Pandelela Rinong Pamg yang pantas menjadi idola negara kerana memenangi pingat perak dan gangsa pada Sukan Olimpik London 2012.

Kecekalan, semangat dan harapan Hasihin jarang dilaporkan media kerana dia hanya pemanah orang kelainan upaya (OKU) yang menyertai saingan recurve individu lelaki W1/W2 di Sukan Paralimpik London 2012.

Hasihin menang pingat perak selepas kalah kepada pencabar dari Itali, Oscar de Pellegrin, dalam pusingan penentuan selepas terikat kedudukan 5-5, perlawanan lima set peringkat akhir di Lapang Sasar Memanah Royal Artillery Barrack, London.
Sebahagian anggota masyarakat sinis dengan pencapaian atlit OKU kerana status fizikal mereka yang dicurigai.

Bagaimanapun Hasihin membuktikan kekurangan fizikal ekoran terbabit dalam kemalangan ketika bekerja di sektor pembinaan tidak mencacatkan cita-citanya. Dia meraih pingat perak dan Malaysia mula menyebut namanya, walaupun tiada siapa yang tahu latar belakang kehidupan dan pencapaiannya sebelum ini.

Memenangi pingat, apatah lagi pada status Olimpik untuk golongan OKU suatu pencapaian luar biasa. Jutaan manusia memerhati perkembangan jaguh paralimpik kita, tetapi malang nasibnya di Malaysia hanya sekadar ucapan tahniah.

Hasihin disahkan tidak akan menerima sebarang pencen sepanjang hayat daripada kerajaan. Jika Chong Wei menerima RM3,000 sebulan dan Pandelela (RM2,000 sebulan) di samping pelbagai ganjaran kewangan lain, dia sekadar mengintai dari jauh. Hasihin hanya boleh berbangga menatap pingat perak yang seakan-akan tidak memberikan apa-apa makna bagi mengubah nasib masa depannya.
Kerajaan hanya bermurah hati memberi ganjaran RM200,000 tanpa jaminan memberi peluang pekerjaan demi masa depan Hasihin.

Pada hari ini nilai RM200,000 terlalu kecil. Apakah demikian nasib seseorang OKU yang berjasa untuk negara tetapi sumbangan terlalu kerdil untuk dinilai?



Apa yang berlaku kepada Hasihin hampir sama dialami 2.8 juta OKU lain. Mereka hanya warga kecil yang jarang diperhatikan dalam apa bidang sekali pun. Malah, sebahagian besar mereka tersenarai dalam statistik kemiskinan walaupun negara sudah 55 tahun merdeka. Sebanyak 90 peratus OKU mempunyai pendapatan di bawah RM1,500 sebulan. Nasib mereka tidak berubah walaupun kerajaan sentiasa berbangga pencapaian ekonomi yang bakal meletakkan Malaysia sebagai negara maju menjelang 2020.

Kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mudah dimengertikan: kurang minat menghargai pencapaian atlit OKU.

Walaupun Kementerian Belia dan Sukan mempunyai alasan tersendiri, masyarakat berhak mempersoalkan bentuk layanan terhadap atlit normal dan OKU. Tidak mungkin Hasihin boleh dianggap setanding Chong Wei, Pandelela atau Datuk Nicol David, tetapi apa salahnya jika kerajaan juga melihat Hasihin sebagai rakyat yang berbangga mengibarkan Jalur Gemilang di Kota London. Apa pun pertimbangan yang disebut oleh seorang menteri, masyarakat masih meyakini keadaan tidak wajar sengaja ditimbulkan.

Hasihin sekadar dijanjikan menerima ganjaran lain, selain imbuhan yang diterima menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM). Kita yakin keadaan sama akan berlaku kepada atlit paralimpik lain pada masa akan datang walaupun mereka meraih emas. Jika keadaan ini berterusan, tindakan holistik, kemanusiaan dan profesional perlu dilakukan.

Hasihin mungkin lima tahun lagi tidak aktif kerana faktor usia dan kesihatan. Kita tidak pasti apakah ada pihak yang bakal mengenang dan membantunya menghabiskan sisa hidup pada masa depan.

Ketika pelbagai pihak mendesak kerajaan mewujudkan skim bayaran pencen untuk atlit paralimpik, Ahmad Shabery sekadar berjanji: “Saya akan melakukan perbincangan pada peringkat Kabinet bagi mengenal pasti bentuk imbuhan lain yang lebih sesuai bagi kebajikan atlit paralimpik.”

Ahmad Shabery berkata, jika dibandingkan negara lain seperti Singapura dan Australia, Malaysia memberi elaun dan kemudahan yang lebih baik kepada atlit paralimpik.

Kita tidak pasti sejauh mana nasib atlit OKU di negara lain terutama Australia tetapi yang kita pasti, kerajaan mereka menyediakan dana kebajikan OKU walaupun tidak menyertai mana-mana kejohanan bertaraf dunia. Kebajikan, jaminan masa depan dan skim insurans disediakan kerajaan untuk membantu rakyat menghadapi pelbagai masalah kehidupan. Tidak adil membandingkan ganjaran di Malaysia dengan negara lain kerana peluang prasarana juga berbeza.

Apa yang berlaku sekarang membuktikan Hasihin berjaya menyelongkar isu sebenar nasib OKU di Malaysia. Penghargaan, simpati dan peluang sekadar ungkapan.

Tindakan lebih manusiawi perlu dilakukan selaras slogan Janji Ditepati yang berulang kali disebut menjelang sambutan kemerdekaan ke-55.

SUMBER - BERITA HARIAN


No comments: