Sunday, July 22, 2012

PM umum 19 Julai Hari Pesara tanda hargai golongan pesara

KUALA LUMPUR 19 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan tarikh 19 Julai sebagai Hari Pesara bagi menghargai jasa serta pengorbanan pesara-pesara di sektor awam dan swasta.

Perdana Menteri mengisytiharkan demikian ketika berucap melancarkan Kelab Pesara Kerajaan 1Malaysia (Kupekmas) sempena perhimpunan perdana pesara kerajaan 1Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Ia sebagai maklum balas spontan Najib terhadap permintaan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman yang mahu kerajaan menetapkan satu tarikh bagi meraikan golongan pesara.

Dalam ucapannya, Najib berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini telah membela kebajikan lebih 400,000 pesara penjawat awam dengan baik dan mengharapkan mereka memberi sokongan padu kepada kerajaan.

"Apabila kita memberi hak kepada rakyat untuk menentukan pihak mana yang layak, patut dan pihak mana yang kita perlu beri sokongan, penentuannya ialah kepada sejauh manakah keyakinan kita terhadap sesuatu pihak itu untuk memimpin negara.

"Kalaulah kita timbulkan persoalan itu, saya ajukan (perlu dilihat) kepada track record kerajaan selama ini. Maknanya sejauh mana kita sebagai kerajaan telah berjaya membangunkan negara, memakmurkan rakyat dan khususnya kepada penjawat-penjawat awam, sejauh mana kita telah membela mereka selama ini," katanya di hadapan lebih 3,000 pesara penjawat awam yang menghadiri perhimpunan itu.



Najib berkata, Malaysia ketika ini adalah antara negara yang menyediakan skim pencen terbaik kepada pesara penjawat awam hasil dasar ekonomi negara yang bersifat inklusif sejajar dengan gagasan 1Malaysia.

Namun, tegasnya, sesuatu kenaikan atau imbuhan buat penjawat awam atau pencen adalah tertakluk kepada kemampuan kerajaan.

"Kita tidak boleh berbelanja lebih daripada pendapatan. Greece merudum, Itali goyah dan Perancis dalam keadaan cemas kerana mereka berbelanja lebih daripada pendapatan.

"Itu resipi, sifir yang membawa kepada keruntuhan ekonomi. Jadi kita (kerajaan) nak tolong, mesti ada asas. Asas itu kena betul," katanya.

Sementara itu, pada sesi dialog, Najib menjelaskan, kerajaan akan menilai secara terperinci cadangan memberikan pencen kepada anggota tentera yang bersara awal.

Sambil melahirkan rasa simpati terhadap nasib golongan itu, katanya, penilaian tersebut akan mengambil kira faktor kewangan negara.

Terdahulu, beliau mengumumkan kesediaan kerajaan membantu mewujudkan Wisma Pesara bagi membolehkan pesara kakitangan awam menjalankan pelbagai aktiviti.

SUMBER

No comments: