Sunday, February 19, 2012
Delema kehidupan OKU (1)
KECACATAN yang dialami oleh seseorang Orang Kurang Upaya (OKU) akan menjadikan seseorang itu dilihat daif. Kecacatan juga akan menjadikan OKU itu dilihat serba lemah dan serba kekurangan. Natijah dari persepsi itulah golongan OKU akan dijadikan salah satu dari kumpulan yang harus diberi perhatian dalam program kebajikan.
Persepsi kebajikan seterusnya menjadikan OKU dilihat sebagai golongan yang perlu dibantu sebagaimana kelompok-kelompok minority lain termasuk orang miskin dan ibu tunggal.
Program untuk OKU dirangka sekadar memastikan OKU itu dapat hidup dengan keperluan paling asas. Sebagaimana program-program kumpulan lain, sehabis jauh OKU dimasukkan dalam program untuk berupaya menjana kehidupan sendiri sepertimana yang dijalankan dalam e-kasih dan 1 azam.
Dalam bidang-bidang lain seperti pendidikan, kesihatan, perumahan dan pekerjaan, pembangunan OKU dilaksanakan tidak seragam dan jarang sekali ianya bersifat berterusan dan berkesinambungan.
Hal sebegini boleh terjadi bilamana pembangunan untuk OKU itu diperhatikan dari persepsi kebajikan. Dengan erti kata lain, kedaifan yang dipalitkan kepada OKU menjadikan tindakan perancangan dan perlaksanaan lebih cederung kepada rasa simpati.
Menyedari hal inilah gerakan antarabangsa melalui kerangka Biwaco Millennium menyatakan bahawa pembangunan OKU perlu didasari kepada hak dan bukan lagi kebajikan atau simpati.
Sebagai manusia, OKU seharusnya berfungsi sebagai insan lain yang hidup dalam masyarakat. Pihak pemerintah perlu menyediakan satu suasana yang membolehkan OKU turut menyumbang kepada masyarakat di keliling kehidupannya seterusnya menjadi penyumbang kepada Negara menaunginya.
Bagi memastikan fungsi itu dapat dilaksanakan, sebarang halangan atau rintangan yang berbangkit dari kecacatan dialami oleh individu OKU bilamana ia keluar kepada masyarakat perlulah dihilangkan. Bagi tujuan itu, OKU perlu diberikan kekuatan dalaman yang cukup, suasana keliling yang tersedia untuk OKU berfungsi dan system masarakat yang faham peri potensi dan kekurangan yang ada. – 3 Safar 1433h. (MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF)
Lagi Video Beliau di SalamFM - KLIK