Berikan peluang TENDER KERAJAAN untuk OKU

Pada 13 Jun 2011 dalam rancangan MHI TV3 ada dibicarakan tajuk Program Return To Work yang mana antara apa yang dapat saya fahami pencarum PERKESO ini setelah di beri pencen ILAT sebanyak RM700.00 sebulan, turut di beri pula di bantu dalam "Program Return To Work" untuk membantu mereka yang hilang upaya dalam ertikata lain menjadi OKU dengan pekerjaan lain yang sesuai dengan kemampuan keupayaan mereka.

Timbul persoalan kenapa kakitangan KERAJAAN yang di tadbir oleh BARISAN NASIONAL hari ini tidak di beri peluang yang sama?  Walaupun kakitangan kerajaan bukan pencarum PERKESO, namun sebagai sebuah kerajaan yang kukuh dan kuat serta mampu mengendalikan ekonomi dengan stabil dan saksama, pasti ada ruang untuk membantu golongan-golongan OKU mencari lebihan pendapatan agar hak mereka untuk hidup seperti insan lain tidak di nafikan.

1 ~ Pencen yang diberikan kepada pemuda itu sebanyak RM700.00 berbanding pencen saya RM190.92 sebulan sudah cukup jauh bezanya.  Saya banyak kali menhantar EMAIL kepada Jabatan-jabatan berkaitan untuk mendapatkan pertimbangan agar perkara ini boleh di kaji semula, namun ianya hanyalah seperti perumpamaan ANJING MENYALAK BUKIT.  Anjing akan penat dan bukit tidak akan bergerak.

2 ~ Sudahlah pemuda itu mendapat pencen sebanyak RM700.00,  beliau di PROGRAM kan pula untuk mendapat kerja semula yang sesuai dengan ke OKU an beliau setelah menjadi insan pilihan untuk menerima ujian dari Allah sebagai insan OKU untuk meneruskan kehidupan seperti orang lain.

Saya sering mencadangkan dalam perjumpaan-perjumpaan yang jarang-jarang sekali di adakan, agar kerajaan memberi peluang untuk mendapat kerja dari pejabat-pejabat kerajaan.  Seperti contoh,  Isteri dan anak sebagai kakitangan perniagaan yang saya kendalikan turun naik sekolah dan pejabat sekitar, mereka akan mendapat jawapan yang serupa. Kontrak kecil-kecil di bawah RM10,000.00 dah tak ada. Sekarang semua kementerian yang kendalikan baikpulih komputer. Mereka dah ada kontrak dengan syarikat besar untuk kerja-kerja pembekalan komputer dan baikpulihnya.  Dan sudah pasti anak dan isteri turun dari pejabat tersebut dengan hati yang hampa. Dan apabila perkara ini di beritahu pada saya, lagilah hampa kerana di mana lagi peniaga-peniaga OKU nak mencari peluang untuk menjalankan perniagaan.

Untuk di jadikan rujukan, saya telah meng google kan rancangan MHI tersebut, namun tidak berjumpa video atau siri tersebut dalam versi video internet.
Namun saya terjumpa keratan Akhbar berkaitan perkara berikut yang saya lampirkan di bawah ini,  dengan harapan rayuan ini dapat di majukan kepada pihak-pihak berkenaan, untuk saling sempurna menyempurnakan dalam kehidupan ini.  BANTUAN sahaja tidak cukup selagi PELUANG PEKERJAAN itu sendiri tiada untuk di usahakan oleh peniaga-peniaga OKU yang menanggungi PEMIS dan segala bil dan tuntutan untuk mencari lebihan pendapatan. RUGIkah KERAJAAN jika memperuntukkan 20% dari peruntukkan TENDER tersebut kepada warga OKU yang berniaga?  Kalau ada rakan-rakan OKU yang menjual tisu dan sebagainya, ianya selalu disalah ertikan dengan tajuk-tajuk yang melemahkan orang ramai dari punya sifat ingin membantu, tetapi jika OKU yang ingin menjalankan perniagaan dengan cara yang betul beginilah akibat yang perlu di tanggunginya.


Tak kira siapa yang membaca coretan ini, wakil rakyat, ahli parlimen, ketua JKK, media-media, akhbar-akhbar, menteri-menteri badan-badan politik atau NGO, atau PERDANA MENTERI fikirkanlah sesuatu untuk memberi pengharapan kepada golongan ini seperti mana peruntukan yang banyak boleh di keluarkan semata-mata untuk pengendalian FACEBOOK.  Yang nilai bayarannya jika di beri kepada aku nescaya aku juga boleh jadi kaya seperti kalian yang memilikinya. Atau seperti peruntukan yang di keluarkan untuk menjayakan PERMATA.

SUMBER



Program Return To Work: PERKESO Selamatkan 2,938 Pencarum Hilang Upaya





KUALA LUMPUR: Seramai 2,938 orang pekerja kurang upaya dan mempunyai masalah kesihatan berjaya mendapat pekerjaan semula menerusi program Return To Work yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Keselamatan dan Sosial Pekerja (PERKESO).


Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi PERKESO, Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, badan itu telah menjalankan proses pemulihan terhadap 4,751 orang pencarum yang mempunyai masalah tersebut yang bersetuju dan berminat mengikuti program itu.


"Daripada jumlah itu, 62 peratus atau 2,938 peserta berjaya mendapat pekerjaan baru di tempat lain malah segelintir diambil semula bekerja di tempat syarikat asal mereka," katanya dalam satu sidang media di sini, Khamis.


Program Return To Work yang diperkenalkan secara menyeluruh oleh PERKESO sejak tahun 2009 membantu pekerja yang mempunyai masalah keupayaan fizikal dan kesihatan tidak kronik mendapat pekerjaan semula melalui beberapa proses pemulihan fizikal dan latihan vokasional.


"Kami percaya, dengan memberi pampasan setiap bulan sahaja tidak akan dapat membantu sosioekonomi mereka secara menyeluruh.


"Jadi kami laksanakan program ini untuk membantu mereka meningkatkan ekonomi diri sendiri dan keluarga untuk jangka masa panjang," katanya.


Menerusi program ini, pencarum sasaran yang telah mendapat pekerjaan semula masih lagi layak menerima pampasan bulanan daripada kecederaan yang dialami mereka seperti biasa.


"Kami mempunyai 25 pengurus kes untuk bersama membantu mengurus pencarum sasaran menjalani program ini dari peringkat pemulihan fizikal sehinggalah ke peringkat latihan vokasional.


"Tidak berhenti di situ, kami melantik lima pegawai khas untuk membantu pencarum yang telah berjaya menjalani pemulihan dan latihan untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai," tambahnya.


Selain program pemulihan dan latihan itu sendiri, PERKESO juga melangkah ke tahap seterusnya dengan menganjurkan Persidangan Return To Work yang bakal diadakan kali kedua di Pusat Dagangan Dunia Putra PWTC.


Persidangan yang akan diadakan selama dua hari iaitu daripada 4 sehingga 5 Julai bertujuan meningkatkan tahap kefahaman dan kesedaran di kalangan majikan, pekerja, pengamal perubatan serta pihak yang terlibat mengenai peranan bersama yang perlu dimainkan dalam menjayakan program tersebut.


Selain itu, persidangan ini diharap dapat memperkenalkan konsep pengurusan hilang upaya dalam sistem keselamatan sosial negara ini kepada para pengunjung dan kumpulan sasaran.


Bebanding tahun sebelumnya, persidangan kali ini mempunyai pameran kerjaya di mana sebanyak lebih daripada 30 buah syarikat terkemuka membuka gerai yang membolehkan pencarum sasaran malah pengunjung biasa mendapat pelbagai maklumat tentang tawaran pekerjaan dan terus membuat permohonan di situ.