Dari
Usamah bin Zaid r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda “Tidak ada suatu fitnah
(bencana) yang lebih besar bahayanya dan lebih bermaharajalela-selepas
wafatku terhadap kaum lelaki selain daripada fitnah yang berpunca
daripada kaum wanita”
(Bukhari, Muslim, Imam Ahmad, at-Tirmidzi, Nasa’i dan Ibnu Majah)
|
Islam telah menegaskan kepada kita bahawa suara perempuan adalah aurat yang mesti ditutup dengan diam, kerana suara mereka adalah kunci hati lelaki yang dapat membuka pintu kepada pelbagai fitnah. Atas sebab yang sama Allah melarang perempuan melembut-lembutkan suara di hadapan lelaki, sebab suara yang demikian akan mengundang reaksi tidak baik di hati-hati lelaki yang menghidap penyakit. Maka jika mata suka memandang kepada sesuatu yang cantik dan indah, telinga pula amat gemar mendengar suara yang merdu dan manja. Fitnah yang ditimbulkan suara tidak terbatas kepada suara para penyanyi wanita sahaja, tetapi boleh juga timbul dari suara semua wanita. Hatta dalam solat, berhadapan dengan Allah pun, tidak diharuskan wanita mengangkat dan meninggikan suara sekiranya imam solat tersalah, tapi disuruh menepuk tangan sahaja. Suara wanita ditakuti mengganggu kekhusyukan solat orang lain.
Bergurau
senda dengan perempuan adalah salah satu sebab paling kuat untuk
mendengar suara mereka, suara yang menjadi pesona luar biasa bagi
lelaki. Sering kita terdengar orang berkata: si dia memiliki suara
manja, merdu, lunak dan memikat hati dan lain-lain. Atau, dia mempunyai
suara serak-serak basah dan berirama dan sebagainya. Kerana tertariknya
mereka kepada suara wanita, mereka memandangnya sebagai perkara yang
harus dipuja lebih daripada segalanya. Apakah hal seperti itu bukan
fitnah namanya? Lebih-lebih lagi apabila kalmat-kalimat yang
diucapkannya disertai dengan senyuman yang mengandungi pelbagai makna
dan tafsiran. Kebanyakan wanita, setiap kali bercakap akan diikuti
dengan senyuman. Ini adalah adat mereka. Dengan cara begini barangkali
mereka merasakan harga diri mereka terjaga dan terpelihara. Ini juga
termasuk fitnah yang dahsyat!!!
Ada
sesetengah wanita gemar bercakap dengan kaum lelaki, mereka tidak
merasakan hal itu suatu kesalahan. Di samping bercakap dengan mulut,
mereka juga bercakap dengan isyarat mata dan pandangannya. Tetapi ada
juga di kalangan wanita yang tidak gemar bercakap dengan kaum lelaki,
cukup dengan pandangan mata sahaja. Mereka mengutarakan isi hati mereka
melalui mata dan pandangan sahaja. Hubungan antara mata dan hati adalah
hubungan yang tidak dapat disembunyikan. Apa yang terdetik di dalam hati
akan kelihatan di mata. Di dalam al-Quran telah digambarkan bahawa
selamanya hati dan mata mempunyai hubungan yang erat. Allah menjelaskan
bahawa setiap yang tersembunyi di dalam relung hati dan yang terkandung
di dalam mata adalah jelas dalam ilmu-Nya.
Yang
menjadi fitnah bukanlah kerana mata itu indah dan mempesona sahaja,
bukan pula kerana wanita itu memiliki bulu mata yang panjang dan alis
mata yang lentik sehingga dengan mudah menerobos ke dalam hati tanpa
izin, bukan pula kerana anak mata yang hitam berkilat atau yang
kebiru-biruan. Tetapi, sebenarnya yang menjadi fitnah itu ialah
kemampuan mata wanita itu menyatakan keinginan hatinya, melontarkan
pandangan yang lembut, seolah-olah dia memanggil-manggil dan mengajak
pada suatu ketika, dan dia menjanjikan sesuatu pada ketika yang lain.
Agar tidak
terpengaruh oleh kecantikan dan pesona mata wanita, Islam menyarankan
supaya tidak memandang mereka dan menundukkan pandangan bila berhadapan
dengan wanita. Demikian juga, kaum wanita juga dituntut supaya tidak
memandang lelaki dan mengelakkan diri mereka daripada pandangan kaum
lelaki. Hal yang demikian disebabkan kerana dirinya sendiri adalah
fitnah yang berganda. Kata orang, fitnah yang timbul dari mata dan dari
suara wanita, sama-sama berbahaya. Dan, seorang fitnah itu tahu bahawa
mereka memiliki kedua-dua senjata ini. Mereka kadang-kadang
menggunakannya tidak kepada yang disuruh dan yang dibolehkan iaitu
kepada suami mereka, tetapi mereka menggunakannya kepada yang tidak
sepatutnya.
Oleh sebab
itu, Islam melarang memandang kepada benda-benda yang haram, seperti
seorang wanita memandang kepada lelaki ajnabi dan seorang lelaki
memandang kepada wanita. Kerana pandangan mata itu lamanya mungkin cuma
satu atau dua saat, namun bekasnya dapat kekal di dalam hati sepanjang
hayat!!
Tubuh
wanita juga boleh menimbulkan fitnah. Fitnah yang bagaimana? Mempamerkan
kecantikan tubuh terutamanya dengan membuka aurat adalah satu fitnah
yang pasti. Hal ini akan membawa fitnah bagi setiap lelaki apabila
seorang wanita tidak menutup auratnya, apalagi kalau ia memamerkan
bentuk tubuhnya yang seharusnya mereka tutupi dan sembunyikan. Apatah
lagi dengan ‘trend’ golongan kini yang suka menggayakan busana-busana
‘muslimah’ yang kononnya berpakaian menurut Islam dan berhias
berlebih-lebihan (bertabaruj)sehingga menyebabkan lelaki tergoda. Ini
juga merupakan suatu fitnah.
Keluar
rumah tanpa ada keperluan, atau meninggalkan tanggung jawab rumahtangga
merupakan satu fitnah wanita yang timbul dari golongan wanita kini
terutamanya yang telah bekerjaya ataupun golongan wanita muada-mudi.
Betapa ramai kaum wanita disebabkan mengejar urusan dunia, mereka
tinggalkan anak-anak mereka, mereka serahkan urusan anak mereka
sepenuhnya kepada pembantu sehingga menimbulkan akibat dimana tidak
terjalinnya kasih sayang antara anak dengan ibunya.
Apa yang
lebih teruk lagi apabila wanita ingin dijadikan ‘barang dagangan’ atau
dalam bahasa yang lebih lembutnya, inginkan diri mereka dipaparkan di
dalam iklan, media massa, majalah, televisyen, suratkhabar, dan
sebagainya. Bahkan penilaian terhadap mereka dilakukan secara fizikal
sahaja yakni pada luaran.
Bercampurgaul
antara lelaki dan perempuan dalam berbagai tempat, baik di dalam
lingkungan pekerjaan, pendidikan dan sebagainya,mengakibatkan terjadinya
perbuatan maksiat seperti ziena, pergaulan bebas, perselingkuhan dan
lain sebagainya. Hal ini sebenarnya merupakan satu propoganda
musuh-musuh Islam, musuh-musuh syariat Islam yang ingin merosakkan umat
Islam melalui wanita. Mereka membuka ‘laluan’ pekerjaan yang hanya untuk
wanita, sehingga terjadinya pengangguran di kalangan lelaki, akhirnya
timbullah kerosakan. Mereka merosakkan aqidah umat Islam melalui wanita
dengan menanamkan pelbagai syubhat, diantaranya persamaan taraf lelaki
dan wanita.
Adab-adab yang perlu dijaga oleh wanita
i)Pandang Memandang
Firman Allah yang bermaksud :-
“Dan
katakanlah olehmu (Muhammad), kepada orang-orang perempuan yang
beriman: Hendaklah mereka itu memejamkan setengah daripada pandangan
mata mereka….” (Surah An Nur : Ayat 31)
Buraidah
r.a. berkata: Bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda kepada Saidina Ali
r.a. : “Ya Ali! Janganlah kamu ikutkan satu pandangandengan satu
pandangan yang kedua, kerana sesungguhnya hanya pandangan yang pertama
sahaja (terpandang) dan tidak bagi kamu pandangan yang kedua.” (Riwayat Imam Ahmad, Abu Dawud, Turmudzy dan Al Hakim)
ii)Bertemu Muka Sendirian
Rasulullah
SAW telah bersabda : “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan Hari
Kemudian, maka janganlah ia bertemu sendirian di satu tempat dengan
seorang wanita yang tidak ada sertanya mahram daripadanya, kerana
sesungguhnya yang ketiganya tentu syaitan.” (Riwayat Imam Ahmad dari Jabir r.a.)
“Janganlah
seorang lelaki bertemu sendirian dengan seorang wanita yang tidak halal
baginya, kerana bahawasanya yang ketiganya tentu syaitan, kecuali jika
dengan mahram.”(Riwayat Imam Ahmad dari Amir bin Rabie’ah r.a.).
iii)Berjabat Tangan
Aisyah
r.a. berkata: “Tidak, demi Allah! Tidak pernah Rasulullah s.a.w.
menyentuhkan tangannya dengan tangan seorang perempuan lain, hanya ia
membai’at mereka itu dengan percakapan.”(Riwayat Imam-Imam Bukhari, Muslim dan Turmudzy).
iv)Pakaian Di Luar Rumah
Firman Allah yang ertinya :
“Dan
janganlah mereka memperlihatkan perhiasan mereka, melainkan barang apa
yang telah tampak daripadanya; dan hendaklah mereka itu mengulurkan
tudungkepala mereka atas leher dan dada mereka.” (Surah An Nur: Ayat 31)
v) Adab Bermusafir
Sabda
Rasulullah SAW :”Tidak halal bagi seorang perempuan yang beriman kepada
Allah dan Hari Kemudian, jika hendak bepergian sejauh perjalanan sehari
dan semalam, melainkan jika bersama seorang mahramnya.” (Riwayat Imam-Imam Ahmad, Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan Turmudzy dari sh. Abi Hurairah r.a.)
vi) Hak Pendidikan
Kata
Abu Said r.a. : “Ada seorang wanita datang kepada Rasulullah s.a.w.
lalu berkata: “Ya Rasulullah! Orang-orang lelaki telah dapat pengajaran
dengan hadith (sabda) engkau, maka itu jadikanlah bagi kita, orang-orang
wanita, dari engkau suatu hari yang kita agar dapat datang kepada
engkau,agar engkau memberikan pengajaran atas kita dari pada apa yang
telah Allah berikan atas engkau (berupa tazkirah).” Maka Rasulullah
s.a.w. bersabda: “Hendaklah kamu sekalian berkumpul pada hari ini di
tempat ini.”(Riwayat Imam Bukhari)
vii) Larangan Menunjukkan Perhiasan
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
“Dan
janganlah mereka menghentakkan kaki-kaki mereka, agar diketahui barang
apa yang tersembunyi daripada perhiasaan-perhiasan mereka.” (Surah An Nur: Ayat 31)
Ke mana perginya adab-adab ini?
Islam
sebenarnya mengangkat darjat wanita, memuliakannya sesuai dengan fitrah
yang Allah S.W.T ciptakan, sehingga Islam membuat aturan-aturan yang
adil terhadap wanita. Oleh kerana itu, hendaklah kaum lelaki bertaqwa kepada Allah dalam menghadapi pelbagai fitnah wanita, kerana Rasulullah
S.A.W bersabda: “Tidaklah aku tinggalkan fitnah yang lebih besar yang
dihadapi kaum lelaki kecuali fitnah para wanita.” (HR Bukhari dan Muslim)
Sedarilah
duhai para wanita muslimah yang ingin menyelamatkan dirinya dan agamanya
dari pelbagai macam fitnah. Tunjukkan kebaikan diri anda dengan
memelihara diri dari hal-hal yang terlarang dalam agama. Janganlah
terpedaya dengan tipu daya dan gemerlapnya dunia. Wahai para wanita
muslimah, jangan kalian tertipu dengan slogan; hak asasi manusia ataupun
hak asasi wanita, lalu anda mau menjual diri anda dengan harga yang
sedikit. Anda korbankan diri dan kehormatan anda hanya untuk sekedar
memenuhi kehidupan yang sementara ini. Ingatlah bahawasanya kita
tidaklah hidup selamanya. Ketika kematian menjemput kita, apakah yang
akan kita bawa sebagai bekal di akhirat kelak ? Renungkanlah wahai
saudariku, mudah-mudahan dengan mengamalkan wasiat ini akan menjadikan
kita golongan orang yang selamat, kerana sesungguhnya kebanyakan dari
isi neraka adalah kaum wanita, berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W: “Aku
telah melihat syurga dan ku lihat kebanyakan dari penghuninya adalah
orang-orang miskin dan aku telah melihat neraka maka kebanyakan dari
penghuninya adalah para wanita.” (HR Bukhari dan Muslim).
sumber: -> http://abunasralkhairy.blogspot.com
-
No comments:
Post a Comment